SPRINGFIELD (Ohio): Biro Siasatan Federal (FBI) Amerika Syarikat berkata pada 15 September, ia sedang menilai kebolehpercayaan ancaman terhadap warga Haiti di Universiti Wittenberg berikutan dakwaan tidak berasas calon presiden Republikan, Encik Donald Trump, bahawa pendatang di bandar itu memakan kucing dan anjing.
Ancaman akan menembak pendatang Haiti itu memaksa sebuah universiti di Springfield, Ohio, menutup kampusnya selama sehari.
Pelibatan FBI itu menyusuli ancaman serupa terhadap pendatang di bandar itu selepas Encik Trump dan calon naib presidennya, Senator J.D. Vance, dari Ohio, menyorot dakwaan palsu bahawa orang Haiti yang menetap di bandar itu memakan kucing dan anjing peliharaan penduduk.
Universiti Wittenberg mengumumkan pada 14 September semua acara yang dijadualkan pada hari esoknya dibatalkan berikutan ancaman e-mel itu, dan memberi amaran kepada pelajar, fakulti dan kakitangan supaya berhati-hati di kampus.
“FBI sedang bekerjasama dengan jabatan polis Springfield dan Universiti Wittenberg untuk menentukan kebolehpercayaan ancaman baru-baru ini, berkongsi maklumat, dan mengambil tindakan penyiasatan sesuai,” kata satu kenyataan daripada pejabat lapangan FBI Cincinnati.
Orang Haiti di bandar itu kini berkata mereka bimbangkan keselamatan mereka.
Jurucakap universiti itu berkata universiti tersebut menerima ancaman kedua “tetapi ia segera ditangani di kampus”.
Universiti itu juga berkata dalam maklumat terkininya, sekurang-kurangnya sebuah kampus lain, yang tidak dinamakan, di kawasan itu turut menerima ancaman serupa.
Dalam satu hantaran di media sosial X, Clark State College berkata ia membatalkan kelas di sebuah bangunan pada 12 dan 13 September “ekoran situasi keselamatan” di bandar itu.
Dalam satu siri kemunculan di siaran televisyen dan kabel pada 15 September, Encik Vance mempertahankan dakwaan tidak berasas itu, dengan mengatakan ia membantu menarik perhatian kepada masalah sosial di kawasan tersebut yang tidak diendahkan pihak media. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg