Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump tidak mahu berdebat lagi dengan Harris

Sep 13, 2024 | 2:16 PM
Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kiri), berkata bahawa beliau tidak akan menyertai satu lagi perdebatan dengan pesaingnya daripada Demokrat, Cik Kamala Harris.
Mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kiri), berkata bahawa beliau tidak akan menyertai satu lagi perdebatan dengan pesaingnya daripada Demokrat, Cik Kamala Harris. - Foto AFP

CHARLOTTE (North Carolina): Mantan presiden Donald Trump berkata pada 12 September beliau tidak akan menyertai satu lagi perbahasan dengan Naib Presiden Kamala Harris, sedang dua pesaing bagi jawatan Presiden itu sibuk berkempen di negeri-negeri medan persaingan sengit yang bakal menentukan keputusan pilihan raya Amerika Syarikat.

Encik Trump, calon presiden daripada parti Republikan, menyelar Cik Harris dua hari selepas perbahasan pertama mereka di televisyen, apabila calon parti Demokrat itu meletak Encik Trump dalam keadaan defensif.

“Tiada perbahasan ketiga!” tulis Encik Trump, 78 tahun, di wadah Truth Social beliau, sambil merujuk juga kepada perbahasannya dengan Presiden Joe Biden pada Jun yang mendorong Encik Biden berundur daripada bertanding dalam pilihan raya.

Encik Trump mendakwa “hasil tinjauan jelas menunjukkan saya memenangi debat menentang Harris”, walaupun beberapa tinjauan segera menunjukkan kelakonan Cik Harris lebih baik dalam perbahasan itu, yang disaksikan secara langsung oleh lebih 67 juta rakyat Amerika.

Dalam kempen di Carolina Utara, Cik Harris menegaskan mereka harus berdebat semula sebelum pilihan raya presiden pada 5 November.

“Dua malam lalu Donald Trump dan saya mengadakan perbahasan pertama kami dan saya percaya kami berhutang kepada pengundi untuk mengadakan satu lagi,” kata beliau, yang disambut dengan sorakan penyokongnya di bandar Charlotte.

“Kerana pilihan raya ini dan apa yang dipertaruhkan adalah paling penting,” tambahnya, yang akan mengadakan rapat kedua di Greensboro, North Carolina, pada 12 September.

Penganjur kempen Cik Harris berkata sebelum ini bahawa beliau kini memasuki fasa “lebih agresif” dalam usahanya menduduki Rumah Putih dan “berusaha untuk memanfaatkan kemenangannya yang jelas pada perbahasan itu dan membina momentum daripada situ.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg