NEW YORK: Amerika Syarikat memperingati mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas oleh serangan pengganas 11 September 2001, sempena ulang tahun tragedi itu yang mengorbankan hampir 3,000 orang pada 2001.
Acara kali ini juga ‘dipengaruhi’ dengan kempen politik yang menyaksikan Presiden Joe Biden, mantan Presiden Donald Trump dan Naib Presiden Kamala Harris berdiri bersama di bekas tapak Menara Kembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York pada 11 September.
Tarikh 11 September merupakan kejadian serangan pesawat yang dirampas pengganas dan mengorbankan ribuan nyawa.
Kali ini, ia diperingati semasa musim pilihan raya presiden setiap empat tahun dan pada saat yang sangat penting.
Majlis ulang tahun di WTC membawa Cik Harris dan Encik Trump, calon Demokrat dan Republikan, bersemuka hanya beberapa jam selepas perbahasan pertama mereka pada malam 10 September.
Encik Trump dan pasangan calon naib presidennya, Senator J.D. Vance, tiba di tapak pusat perdagangan itu sekitar 8 pagi sementara Cik Harris bersama Presiden Biden tiba kira-kira setengah jam kemudian.
Ketibaan mereka disambut dengan sorakan “Donald!” dan “Kamala!” oleh hadirin.
Encik Biden dan Encik Trump dilihat berjabat tangan, dan mantan Datuk Bandar New York, Encik Michael Bloomberg, muncul untuk memudahkan Cik Harris berjabat tangan dengan Encik Trump.
Mereka kemudian bertafakur seketika sama-sama apabila loceng dibunyikan.
Dalam pada itu, perdebatan pertama dan mungkin satu-satunya antara Cik Harris dengan Encik Trump, terus hangat dibincangkan pada 11 September dengan ulasan positif berkaitan prestasi Cik Harris.
Encik Trump pula mengadu tentang moderator sambil menegaskan beliau telah memenangi perdebatan itu.
Perdebatan itu menarik 67.1 juta penonton, lebih ramai daripada perdebatan sebelum ini.
Penderma yang menonton mempunyai pendapat mereka sendiri dan terdapat tanda bahawa perdebatan itu mungkin melebarkan jurang kewangan antara calon terbabit.
Tetapi, ketika kedua-dua Cik Harris dan Encik Trump menghadiri beberapa siri acara peringatan – sebuah bandar di Ohio telah menjadi tumpuan salah satu detik perdebatan yang tidak dapat dipadamkan iaitu dakwaan kesat Encik Trump tentang pembunuhan dan perbuatan memakan haiwan peliharaan oleh pendatang di sana.
Dakwaan palsu itu telah mendorong pengurus bandar tersebut menepisnya menerusi kenyataan video yang mengecam “maklumat salah yang tersebar di media sosial dan diperkuatkan lagi oleh retorik politik”.
Akaun X kempen Cik Harris menyiarkan keseluruhan perbahasan selama 100 minit, dengan hantaran berbunyi:
“Iklan terbaru kami baru sahaja digugurkan”.
Encik Trump menghubungi Fox News sebelum upacara peringatan 11 September dan mengadu tentang moderator ABC News, yang menganggap mereka “tidak jujur”.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bersetuju menyertai satu lagi perdebatan, Encik Trump membantah cadangan moderator dan dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak memerlukan lagi perdebatan dengan Cik Harris kerana “saya memenangi perdebatan dengan meyakinkan”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg