WASHINGTON: Lembaga Simpanan Federal (Fed) Amerika Syarikat telah menaikkan kadar faedah pada 16 September dan memberi isyarat mengenai peningkatan berterusan kos pinjaman dalam beberapa bulan akan datang.

Langkah ini menyusul apabila pengerusi baharu bank pusat Amerika, Encik Kevin Warsh, menyertai keputusan sebulat suara yang mengakui ketidakupayaan pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dalam mengawal inflasi, yang para pembuat dasar khuatiri boleh menjadi semakin meruncing. 

Meskipun Encik Trump berjanji untuk menurunkan harga barangan di bawah pentadbirannya, kesan gabungan tarif import global beliau, lonjakan harga tenaga menyusuli perang Amerika-Israel ke atas Iran, serta perbelanjaan modal daripada lonjakan kecerdasan buatan (AI) telah mengekalkan tekanan harga pada kadar yang tinggi.

Tekanan harga itu cukup hebat sehingga Fed melihat keperluan untuk menaikkan kadar faedah penanda aras semalaman sebanyak suku mata peratusan kepada julat 3.75 peratus hingga 4 peratus.

Unjuran ekonomi suku tahunan terkini menunjukkan bahawa 16 daripada 18 pembuat dasar menjangkakan sekurang-kurangnya satu lagi kenaikan suku mata peratusan menjelang akhir 2026, dengan hanya dua daripada mereka melihat kadar faedah akan kekal stabil.

Kesemua pembuat dasar kecuali seorang berpandangan risiko kenaikan inflasi kini semakin tinggi, dan ia tidak lagi boleh dianggap sebagai kesan gangguan bekalan yang bersifat sekali sahaja.

Encik Warsh berkata dasar kewangan lebih ketat diperlukan memandangkan ekonomi semakin rancak, dengan pertumbuhan ekonomi dan pasaran kerja yang semakin kukuh menambah kepada tekanan harga, melebihi faktor kos minyak atau tarif import semata-mata.

“Terdapat set data agak luas, termasuk pasaran buruh, yang menunjukkan bahawa ekonomi semakin kukuh,” kata Encik Warsh.

Demikian jelas beliau kepada wartawan ketika menyenaraikan sebab yang mendorongnya menyokong kenaikan kadar faedah, meskipun pada mesyuarat Fed akhir Julai lalu, beliau telah menyuarakan pandangan bahawa kadar itu patut dikekalkan. 

“Perbelanjaan domestik kekal berdaya tahan, pertumbuhan daya pengeluaran juga teguh dan pelaburan modal semakin berkembang kukuh,” katanya.

Kenaikan kadar faedah itu merupakan langkah pertama seumpamanya dalam tempoh tiga tahun dan menjadi peralihan dasar pertama di bawah ketua baharu Fed itu.

Encik Warsh mula memegang peranan tersebut pada akhir Mei selepas dipilih oleh Encik Trump dengan harapan beliau akan menurunkan kadar faedah.

“Inflasi kekal tinggi. Tindakan dasar hari ini akan menyokong usaha mengembalikan sasaran 2 peratus jawatankuasa ini lebih tepat pada waktunya,” kata Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bank pusat itu dalam satu kenyataan dasarnya selepas menamatkan mesyuarat selama dua hari.

Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut, Encik Warsh menyifatkan kenaikan kadar faedah itu sebagai “keputusan yang betul”.

“Sukar untuk saya katakan bahawa keadaan kewangan semasa sudah cukup ketat,” katanya.

“Pandangan ini turut dipersetujui secara meluas oleh jawatankuasa, justeru kami menarik balik sedikit kelonggaran dalam dasar kewangan.”

Encik Trump memberi reaksi dengan pantas, mengulangi gesaan konsisten beliau agar kadar faedah di Amerika dipotong mungkin sehingga 1 peratus – paras yang biasanya dikaitkan dengan usaha Fed untuk memulihkan ekonomi daripada krisis dan sesuatu yang berisiko memacu inflasi dalam keadaan biasa.

Reaksi Encik Trump itu jelas menonjolkan kesan besar langkah yang diambil oleh Fed di bawah pimpinan Encik Warsh pada 16 September. – Reuters.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti