NEW YORK: Pegawai Lembaga Simpanan Federal (Fed) dijangka mengekalkan kadar faedah pada 7 Mei sementara menunggu kejelasan mengenai dasar perdagangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang mungkin akan mengecewakan beliau dan mereka yang menantikan keputusan bank pusat Amerika itu.
Tarif import yang agresif menjejaskan keyakinan pengguna Amerika, dengan isi rumah bersiap sedia menghadapi kenaikan harga dan pasaran kerja yang lemah.
Namun, data terkini menunjukkan inflasi turun pada Mac dan kadar pengangguran kekal stabil pada April.
Pegawai Fed telah menekankan dalam kenyataan awam terbaru mereka bahawa walaupun ketidaktentuan adalah lebih tinggi daripada biasa, dasar kewangan masih berada dalam keadaan yang baik untuk mereka mencapai matlamat mengekalkan pekerjaan dan kestabilan harga.
Keputusan kadar Fed akan diumumkan pada 2 petang, 7 Mei di Washington.
Pengerusi, Encik Jerome Powell, akan mengadakan sidang media 30 minit selepas mesyuarat itu bersurai.
Para pelabur akan memberi perhatian sama ada Encik Powell akan sekali lagi menegaskan bahawa para penggubal dasar tidak tergesa-gesa untuk mengubah kadar faedah, seperti yang telah beliau nyatakan beberapa kali sebelum ini.
Harga dalam pasaran hadapan kini menunjukkan kemungkinan pemotongan kadar sebanyak suku mata semasa mesyuarat Fed yang akan berlangsung pada 29 hingga 30 Julai dan dua atau tiga lagi pemotongan menjelang akhir tahun.
Pakar ekonomi yang ditinjau Bloomberg meramalkan hanya dua pemotongan, bermula pada September.
Fed dijangka mengekalkan kadar faedah penanda aras antara 4.25 peratus hingga 4.5 peratus, sambil mengulangi komitmen mereka untuk pantau risiko terhadap inflasi dan pekerjaan.
Kekuatan pasaran buruh – termasuk pengambilan pekerja melebihi jangkaan dan kadar pengangguran kekal pada 4.2 peratus – menyokong pendekatan tunggu dan lihat ini.
Tiada unjuran ekonomi baru akan diumumkan, jadi pelabur akan beri tumpuan pada sidang media Encik Powell untuk petunjuk mengenai kemungkinan pemotongan kadar dan bila ia akan berlaku.
Cik Diane Swonk, seorang pakar ekonomi, berkata Fed lebih berhati-hati selepas pengalaman inflasi pada 1970-an dan semasa pandemik Covid-19.
Encik Powell juga telah menyatakan bahawa lonjakan harga sementara tidak boleh dibiarkan berubah menjadi inflasi jangka panjang.
Indeks inflasi pilihan Fed turun kepada 2.6 peratus pada Mac, melebihi sasaran 2 peratus.
Encik Powell juga dijangka berhadapan dengan soalan tentang tekanan politik daripada Encik Trump, yang mengkritiknya secara terbuka kerana enggan turunkan kadar.
Namun, Encik Trump baru-baru ini menyatakan beliau tidak berniat memecat Encik Powell.
Encik Powell dijangka akan menekankan kebebasan Fed daripada campur tangan politik. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg