Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KL

Fenomena Mat Kilau dan kecelaruan politik Malaysia

Aug 02, 2022 | 05:30 AM



FENOMENA filem Mat Kilau yang sedang melanda Malaysia sekarang umpama satu kejutan bagi generasi muda Melayu yang terlena dibuai mimpi alam maya media sosial, Instagram dan TikTok.



Tidak dapat dibayangkan kisah perjuangan pahlawan Melayu menentang penjajahan British lebih 130 tahun lalu berupaya meniup semangat patriotisme dan arus kesedaran budaya dan bangsa.



Ada yang datang menonton dengan berbusana Melayu dan bertanjak.



Penjualan tanjak dan tengkolok tiba-tiba terlajak laris.



Sebuah pusat silat yang biasanya hanya menerima empat atau lima pelajar baru setahun dikejutkan apabila lebih 100 datang mendaftar dalam masa beberapa minggu.



Malah gelanggang Silat Cekak Harimau Malaysia di Pahang terpaksa membuka tiga lagi gelanggang untuk menampung 130 pelajar baharu berusia antara 11 dengan 40 tahun.



Belum pernah dalam sejarah sebuah filem Melayu berupaya meraih kutipan lebih RM$90 juta ($27.89 juta) dalam masa 33 hari - kutipan tertinggi di Malaysia mengatasi filem Hollywood Avengers: End Game yang mengutip RM$87 juta.



"Lihatlah betapa besarnya impak sesebuah karya apabila dijulang dengan sejarah dan peradaban, ia mekar dan menghidupkan jati diri anak-anak.



"Karya seperti Mat Kilau perlu diperbanyakkan, supaya anak cucu kita semua dapat pendedahan dan paling penting mendapat semangat pejuang yang selama ini tidur dalam diri anak-anak," kata pakar motivasi Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah.



Filem yang padat dengan adegan pertarungan silat mendebarkan melalui arahan teknik perfileman setaraf Hollywood menjadi daya tarikan utama.



Saya datang menonton sendirian. Bukan setakat mahu menghayati dan menilai filem itu dengan lebih mendalam bahkan untuk melihat gelagat penonton.



Mereka datang sekeluarga bersama anak-anak kecil berusia antara lima dengan tujuh tahun. (Filem ini mendapat rating NC16 di Singapura).



Ada yang kelihatan sudah menonton berulang kali kerana menghafal adegan dan dialog.



Di akhir tayangan, penonton bersorak dan bertepuk tangan - sesuatu yang tidak pernah berlaku untuk filem Melayu.



Namun di sebalik keghairahan penonton berasakan semangat perjuangan orang Melayu yang dizalimi penjajah British, filem Mat Kilau sebenarnya membawa mesej yang lebih berat dan serius.



Dialog yang padat dengan kiasan dan hakikat sejarah seakan-akan satu sindiran sinis pada senario politik Melayu hari ini - soal perpecahan bangsa, hasad dengki dan pembelotan.



Terasa tajam menghiris apabila Kapten Henry Syers, pegawai British yang ditugaskan merampas tanah milik orang Melayu di Pahang, mendakwa orang Melayu akan terus dijajah kerana mereka sering bertelingkah dan tidak dapat bersatu.



Walaupun luahan hati itu hanya lesen kreatif pengarah dan penulis skrip, namun dialog yang sarat dengan makna tersurat dan tersirat itu menyentap perasaan.



Apatah lagi dalam kecelaruan politik Malaysia sekarang ini.



Secara kebetulan minggu lalu, satu perbincangan tentang Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu dianjurkan sekumpulan cendekiawan di Kuala Lumpur.



Antara isu utama yang dibincangkan ialah perpecahan bangsa Melayu yang mengakibatkan mereka terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk membentuk kerajaan walaupun 70 peratus penduduk Malaysia adalah kaum Melayu.



Di akhir persidangan, para cendekiawan digesa membantu mengubah tanggapan imej politik Melayu yang dilihat sinonim dengan sikap korup dan tidak amanah.



Mereka juga perlu menangani persepsi bahawa pemimpin politik Melayu sering menggunakan bangsa dan agama demi kepentingan peribadi.



Laungan demikian bukan sesuatu yang baru.



Hakikat yang perlu diterima ialah masalah itu terlalu rumit untuk dihuraikan dalam masa terdekat.



Sementara itu fenomena filem Mat Kilau yang berkobar-kobar kelihatan sudah reda.



Persoalannya ialah apakah semangat patriotisme dan kesedaran jati diri anak Melayu juga akan turut pudar sebaik sahaja tabir tayangan dilabuhkan buat kali terakhir?




► Penulis mantan wartawan akhbar ini dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




"Dialog yang padat dengan kiasan dan hakikat sejarah seakan-akan satu sindiran sinis pada senario politik Melayu hari ini - soal perpecahan bangsa, hasad dengki dan pembelotan.
Terasa tajam menghiris apabila Kapten Henry Syers pegawai British yang ditugaskan merampas tanah milik orang Melayu di Pahang mendakwa orang Melayu akan terus dijajah kerana mereka sering bertelingkah dan tidak dapat bersatu."
- Penulis. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >