Fifa, Lembaga Keamanan lancar pelan bola sepak bina semula Gaza
Fifa, Lembaga Keamanan lancar pelan bola sepak bina semula Gaza
WASHINGTON: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengumumkan kerjasama rasmi dengan inisiatif “Lembaga Keamanan” pimpinan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menyokong pembinaan semula Gaza, termasuk pembinaan stadium nasional berkapasiti 20,000 tempat duduk dalam tempoh tiga tahun.
Pengumuman itu dibuat selepas mesyuarat pertama lembaga berkenaan di Washington yang memfokuskan usaha pemulihan wilayah Palestin yang musnah akibat perang.
Presiden Fifa Encik Gianni Infantino berkata projek tersebut bertujuan memulihkan bukan sahaja infrastruktur fizikal tetapi juga semangat masyarakat. “Kita bukan hanya perlu membina semula rumah, hospital dan sekolah, tetapi juga membina semula manusia, emosi dan harapan dan di situlah peranan bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Fifa, pelan pemulihan akan bermula dengan pembinaan 50 padang mini Fifa Arena berhampiran sekolah dan kawasan kediaman dalam tempoh tiga hingga enam bulan, diikuti lima padang bersaiz penuh untuk kegunaan profesional dalam tempoh setahun. Dalam tempoh 18 bulan hingga tiga tahun pula, akademi bola sepak Fifa serta stadium nasional moden berkapasiti 20,000 penonton akan dibina.
Fifa turut memaklumkan program itu akan menekankan peluang pekerjaan, penglibatan belia, liga komuniti lelaki dan wanita serta merangsang aktiviti ekonomi tempatan.
Encik Trump berkata FIFA akan mengumpul dana sebanyak AS$75 juta (S$95.15 juta) bagi projek berkaitan bola sepak di Gaza. “Hari ini Fifa dan Lembaga Keamanan menandatangani perjanjian penting untuk menarik pelaburan global bagi membantu pemulihan kawasan pasca konflik,” kata Encik Infantino. “Dengan sokongan lembaga ini, projek akan memberi kesan pada setiap peringkat pembangunan.”
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan beberapa negara berikrar menyumbang kepada dana pembinaan semula Gaza, sementara Amerika Syarikat menyatakan komitmen kewangan berbilion dolar bagi usaha lebih luas. Bagaimanapun, pelaksanaan projek tertakluk kepada keadaan keselamatan di lapangan dan pemantauan berterusan.
Keberkesanan rancangan itu masih bergantung kepada beberapa faktor utama termasuk pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel serta aliran bantuan kemanusiaan kepada penduduk. Sumber Fifa berkata pihaknya masih menilai projek mana yang akan dimulakan terlebih dahulu dan negara mana yang akan menyalurkan pembiayaan.
Pengumuman kerjasama itu dibuat ketika badan bola sepak dunia berdepan tekanan daripada kumpulan hak asasi manusia. Satu aduan difailkan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa menuduh kepimpinan bola sepak antarabangsa membantu jenayah perang berkaitan wilayah Palestin yang diduduki. Sebelum ini pemnatau hak asasi Amnesty International turut menggesa penggantungan Persatuan Bola Sepak Israel daripada pertandingan antarabangsa.
Encik Infantino bagaimanapun menolak idea penggantungan negara daripada bola sepak. “Melarang sesebuah negara bermain bola sepak kerana tindakan pemimpin politiknya adalah satu kekalahan,” katanya dalam temu bual sebelum ini.
Kerjasama Fifa dan Lembaga Keamanan dilihat sebagai usaha menggunakan sukan sebagai alat diplomasi dan pemulihan sosial. Encik Trump sebelum ini mendakwa inisiatif lembaga itu bertujuan menstabilkan Gaza selepas gencatan senjata, namun penganalisis melihat kejayaannya bergantung kepada perkembangan politik di rantau berkenaan. Buat masa ini, projek stadium dan pembangunan bola sepak menjadi simbol awal usaha membina semula kehidupan normal di Gaza walaupun keamanan jangka panjang masih belum terjamin. - Agensi berita

