Trump umum bantuan bilion dolar untuk Gaza pada mesyuarat sulung Lembaga Keamanan
Trump umum bantuan bilion dolar untuk Gaza pada mesyuarat sulung Lembaga Keamanan
Turut umum pelan penempatan pasukan keselamatan antarabangsa
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan dana pembinaan semula Gaza bernilai berbilion dolar serta rancangan penempatan pasukan keselamatan antarabangsa ketika mempengerusikan mesyuarat pertama inisiatif Lembaga Keamanan.
Encik Trump berkata negara penyumbang telah mengumpulkan kira kira AS$7 bilion ($8.8 billion) sebagai bayaran awal bagi dana pembinaan semula itu, manakala Washington sendiri akan menyumbang AS$10 bilion.
“Kita akan membina semula Gaza dan melakukannya dengan cara yang betul,” katanya. “Tetapi ia hanya boleh berlaku apabila senjata diserahkan dan keamanan sebenar wujud.”
Negara-negara yang membuat sumbangan awal termasuk Kazakhstan, Azerbaijan, Amiriah Arab Bersatu, Maghribi, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Uzbekistan dan Kuwait.
“Setiap dolar adalah pelaburan untuk kestabilan dan harapan masa depan,” kata Encik Trump.
Namun beliau tidak memperincikan penggunaan wang tersebut.
Lebih 40 negara dan Kesatuan Eropah (EU) turut menghadiri mesyuarat tersebut sebagai peserta atau pemerhati.
Indonesia, Maghribi, Kazakhstan, Kosovo dan Albania bersetuju menghantar anggota tentera sebagai pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza, sebahagian daripada pelan 20 perkara Encik Trump untuk menamatkan perang Israel-Gaza.
Mesir dan Jordan pula akan melatih anggota polis Palestin.
Menurut pelan awal, Lembaga Keamanan akan membina 100,000 rumah di Rafah sebagai fasa pertama dengan peruntukan kira kira AS$5 bilion untuk prasarana asas termasuk air, elektrik dan jalan raya.
Projek itu kemudian akan diperluas kepada 400,000 rumah di seluruh wilayah Gaza.
Komander Amerika, Mejar Jeneral Jasper Jeffers, berkata Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) seramai 20,000 anggota akan ditempatkan secara berperingkat.
“Pasukan akan bermula di Rafah sebelum diperluas ke lima sektor keselamatan berbeza,” katanya.
Pegawai kanan Amerika turut memaklumkan beberapa negara telah bersetuju menghantar ribuan anggota bagi membantu mengekalkan keamanan selepas gencatan senjata.
Selain itu, Encik Trump berkata Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akan menyumbang AS$75 juta untuk projek berkaitan sukan di Gaza manakala Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) akan menyediakan AS$2 bilion bantuan kemanusiaan.
Walaupun pelan itu diumumkan secara meluas, beberapa persoalan utama masih belum jelas termasuk pelucutan senjata Hamas, pengunduran tentera Israel dan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza yang terjejas perang itu.
Encik Trump berkata beliau berharap penggunaan kekerasan dapat dielakkan.
“Mereka memberitahu kami mereka akan melucutkan senjata. Nampaknya begitu, tetapi kita perlu lihat,” katanya.
Namun Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran lebih tegas.
“Hamas akan dilucutkan senjata sama ada secara aman atau secara paksa,” katanya.
Jurucakap Hamas, Encik Hazem Qassem, berkata sebarang pasukan antarabangsa mesti memastikan Israel menghentikan serangan.
“Peranan sebenar mereka ialah memantau gencatan senjata dan menghalang pencerobohan berterusan,” katanya.
Beliau berkata pelucutan senjata boleh dibincangkan tetapi tidak memberi komitmen jelas.
Hamas juga menyatakan kesediaan menyerahkan pentadbiran kepada jawatankuasa teknokrat Palestin yang disokong Amerika, namun mendakwa Israel belum membenarkan mekanisme itu beroperasi.
“Ujian sebenar anggota lembaga ialah memaksa pendudukan menghentikan pelanggaran gencatan senjata dan memulakan bantuan serta pembinaan semula sebenar,” katanya.
“Pengalaman beberapa bulan lalu menunjukkan Israel tidak mengendahkan kenyataan selagi tiada tekanan nyata.”
Lembaga Keamanan dicadangkan oleh Encik Trump pada September 2025 sebagai sebahagian pelan 20 perkara untuk menamatkan perang Gaza.
Namun skopnya kini diperluas kepada konflik lain, mencetuskan kebimbangan ia mungkin menjejaskan peranan PBB.
Encik Trump menolak kebimbangan tersebut. “Kita akan memperkukuh Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu. Ia sangat penting,” katanya.
Mesyuarat itu berlangsung dalam suasana yang lebih menyerupai perhimpunan politik apabila muzik dimainkan dan topi merah Encik Trump diedarkan kepada para peserta.
Encik Trump mempengerusikan sesi tersebut dengan mengetuk tukul di bangunan bekas Institut Keamanan Amerika di Washington yang telah diubah suai semula dan dinamakan sempena beliau.
Dalam ucapannya, beliau memuji tokoh tokoh berpengaruh yang menyertai Lembaga Keamanan itu.
“Kita akan membantu Gaza. Kita akan memperbetulkannya. Kita akan menjadikannya berjaya,” kata Encik Trump sambil mengangkat dokumen ikrar sumbangan, sebelum lagu pilihannya, YMCA, berkumandang di dewan tersebut.
Encik Trump akan mempunyai kuasa veto terhadap Lembaga Keamanan itu dan boleh kekal sebagai ketuanya walaupun selepas meninggalkan jawatan, manakala negara yang mahu kekal secara tetap – bukan sekadar tempoh dua tahun – perlu membayar AS$1 billion.
Lembaga Keamanan itu diwujudkan selepas pentadbiran Encik Trump, dengan kerjasama Qatar dan Mesir, merundingkan gencatan senjata pada Oktober 2025 bagi menamatkan dua tahun perang dahsyat di Gaza.
Walaupun gencatan senjata itu berkuat kuasa, Kementerian Kesihatan Gaza yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas mendakwa sekurang-kurangnya 601 orang terbunuh akibat tindakan tentera Israel sejak ia dilaksanakan.
Menteri Luar Israel, Encik Gideon Sa’ar, yang mewakili Israel pada mesyuarat itu, menuntut pelucutan senjata Hamas serta proses penghapusan radikalisasi menyeluruh di Gaza. – Agensi berita.

