Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filipina henti usaha menyelamat, bantu 20,000 mangsa gempa hilang tempat tinggal

Oct 3, 2025 | 2:01 PM
Para penduduk memerhatikan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap  dalam puing-puing bangunan runtuh akibat gempa bumi di Bogo, Cebu, Filipina, pada 1 Oktober 2025.
Para penduduk memerhatikan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam puing-puing bangunan runtuh akibat gempa bumi di Bogo, Cebu, Filipina, pada 1 Oktober 2025. - Foto: REUTERS

BOGO, Filipina: Pihak berkuasa Filipina berkata pada 2 Oktober bahawa operasi mencari dan menyelamat di wilayah Cebu yang dilanda gempa bumi telah ditamatkan.

Ini kerana jumlah kematian yang kini kekal 72 orang, dijangka tidak meningkat lebih tinggi dan bilangan orang hilang telah diambil kira.

Perhatian kini beralih kepada penyampaian bantuan kepada mangsa yang terselamat daripada gempa bumi berukuran 6.9 magnitud - paling dahsyat di negara itu dalam tempoh lebih sedekad.

Melanda perairan pulau Cebu lewat 30 September, gempa itu telah menyebabkan lebih 20,000 orang kehilangan tempat tinggal, manakala lebih 300 lagi cedera.

Pada 2 Oktober, Presiden Filipina Encik Ferdinand Marcos Jr melawat Bogo, sebuah bandar dengan kira-kira 90,000 penduduk yang paling teruk terjejas, dengan menyatakan kepada mangsa bahawa operasi bantuan telah menjadi rumit akibat kerosakan yang meluas pada infrastruktur.

“Kami menghadapi sedikit kesukaran kerana kami tidak mempunyai kemudahan untuk menempatkan keluarga yang dipindahkan kerana kami tidak pasti dengan integriti pusat pemindahan,” katanya lagi.

“Namun, kami akan pastikan ada bekalan makanan, bekalan air dan elektrik - satu set penjanaan jika perlu. Apa sahaja keperluan rakyat, kami akan pastikan kami dapat menyediakannya,” ujar beliau lagi.

Ramai mangsa terbunuh apabila bangunan dan rumah runtuh — sama ada akibat gempa itu sendiri atau tanah runtuh selepas itu.

Hujan lebat dan ketiadaan bekalan elektrik turut membantutkan usaha mencari dan menyelamat.

Dalam satu kenyataan, pasukan bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Filipina menyatakan “simpati yang amat dalam dan perpaduan yang tidak berbelah bahagi” terhadap mangsa yang terjejas, memuji tindak balas segera, kakitangan perubatan dan sukarelawan yang membantu selepas bencana itu berlaku.

Pengarah Serantau Pejabat Pasifik Barat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Encik Saia Ma’u Piukala, pula berkata: “Kakitangan pejabat WHO berada di kawasan terjejas untuk menyokong tindak balas kesihatan yang diterajui pemerintah dalam apa jua cara yang diperlukan.”

Filipina terletak di “Ring of Fire” Pasifik - kawasan gunung berapi yang terdedah kepada gempa bumi terbentang dari Amerika Selatan ke Russia. Ia mengalami lebih daripada 800 gempa bumi setiap tahun.

Lebih 340 gegaran susulan pada kadar magnitud sekitar 4.8 telah direkodkan sejak gempa itu. Pihak berkuasa memberi amaran bahawa gegaran boleh berterusan dalam beberapa hari akan datang. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg