Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Korban gempa di Filipina meningkat kepada lebih 70 nyawa

Oct 2, 2025 | 1:31 PM
gempa, Cebu, Filipina
Gambar yang dirakam daripada dron menunjukkan para pegawai kecemasan menjalankan operasi mencari dan menyelamat di sebuah bangunan yang menyembah bumi susulan gempa bumi sekuat 6.9 magnitud yang melanda Bogo, Cebu, Filipina pada 1 Oktober 2025. - Foto: REUTERS

MANILA: Angka kematian akibat gempa bumi berukuran 6.9 magnitud yang melanda tengah Filipina lewat pada 30 Sepember terus meningkat kepada 72 orang, kata agensi pertahanan awam.

Seramai 294 orang lagi cedera, kata agensi itu dalam laporan pada 2 Oktober.

Angka kematian terbaru itu merupakan peningkatan tiga mangsa daripada 1 Oktober dengan semua kematian direkodkan di wilayah tengah Visayas.

Gempa bumi cetek itu melanda perairan di pulau tengah Cebu lewat malam, merosakkan talian elektrik, jambatan dan berbilang bangunan, termasuk sebuah gereja yang berusia lebih 100 tahun. Bekalan air juga dilaporkan terputus di wilayah terjejas.

Gempa Cebu adalah yang paling dahsyat di negara itu sejak sekurang-kurangnya 2013, apabila gempa bumi berukuran 7.2 magnitud melanda pulau jiran Bohol yang mengorbankan 222 orang.

Filipina terletak di  ‘Lingkaran Api’  Pasifik dan mengalami lebih daripada 800 gempa bumi setiap tahun.

Gempa bumi itu berlaku hampir lebih seminggu selepas negara itu dilanda taufan berturut-turut yang mengorbankan lebih 20 orang.

Kebanyakan mangsa gempa bumi berasal daripada Bogo, sebuah bandar kecil di salah satu pulau terbesar di Kepulauan Visayas, wilayah tengah Filipina dan kawasan paling hampir dengan pusat gempa.

Imej yang tersebar daripada Bogo menunjukkan beg mayat berbaris di jalan dan ratusan orang dirawat di hospital khemah.

Para pegawai telah memberi amaran tentang “banyak kerosakan” yang disebabkan oleh gempa bumi itu.

Pihak berkuasa tempatan telah merayu sukarelawan yang mempunyai pengalaman perubatan untuk tampil membantu merawat mangsa-mangsa yang cedera.

Jalan yang menggelembung dan retak serta jambatan runtuh telah menyukarkan akses untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan. Talian elektrik di banyak tempat terputus, bermakna ia juga sukar untuk menghubungi mereka yang terjejas.

Tujuh daripada mereka yang maut dalam gempa bumi pada 30 September di Bogo tinggal di sebuah kampung yang dibina untuk menempatkan mangsa Taufan Haiyan, yang melanda tengah Filipina 12 tahun lalu, mengorbankan lebih 6,000 orang.

Di San Remigio, permainan bola keranjang sedang berlangsung ketika gempa bumi melanda, seorang pegawai respons kecemasan menyatakan hampir 20 orang telah dikejarkan ke hospital, dan sekurang-kurangnya seorang kemudian meninggal dunia.

Pegawai dari polis negara dan biro bomba berkata mereka mengutamakan operasi mencari dan menyelamat, bergegas memulihkan tenaga elektrik dan menghantar bekalan bantuan kepada mereka yang terjejas. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg