MANILA: Jumlah korban gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang melanda luar pantai Maasim di Sarangani, Mindanao, meningkat kepada 68 orang pada 16 Jun, manakala 33 lagi masih hilang, menurut pihak berkuasa pengurusan bencana Filipina.

Majlis Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Nasional (NDRRMC) dalam laporan terbaharu berkata kebanyakan kematian direkodkan di Wilayah XII, dengan Sarangani mencatatkan 33 korban dan Cotabato Selatan dengan 24 korban.

Di Wilayah XI pula, Davao Occidental mencatatkan 10 kematian manakala seorang lagi maut di Davao del Sur.

Gempa kuat yang berlaku pada 8 Jun lalu itu turut menjejaskan sekitar 338,000 keluarga atau kira-kira 1.38 juta penduduk di seluruh Mindanao.

Selain korban jiwa, seramai 1,339 penduduk dilaporkan sakit atau cedera akibat bencana tersebut.

Daripada jumlah itu, 20 mangsa dilaporkan sakit, 18 cedera, manakala lebih 1,300 lagi kes masih dalam proses pengelasan oleh pihak berkuasa.

Kerugian prasarana pula dianggarkan mencecah 1.07 bilion peso ($24.7 juta), sementara sektor pertanian mengalami kerosakan sekitar 29.8 juta peso.

Pada masa sama, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) memaklumkan lebih 6,600 gegaran susulan direkodkan sejak gempa besar itu berlaku lebih seminggu lalu.

Sehingga 9 pagi 16 Jun, sebanyak 6,652 gegaran susulan direkodkan, dengan 1,575 daripadanya telah dianalisis.

Daripada jumlah itu, 80 gegaran dirasakan penduduk di beberapa kawasan di Mindanao dan wilayah berhampiran.

Kekuatan gegaran susulan itu direkodkan antara magnitud 1.2 hingga 6.4.

Gempa luar pantai Sarangani itu disifatkan antara kejadian seismik paling kuat melanda rantau tersebut dalam tempoh beberapa dekad.

Rakaman video kejadian yang tular di media sosial menunjukkan suasana panik ketika bangunan kecil runtuh dan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri ketika bumi bergegar.

Di beberapa sekolah, pelajar dilihat menjerit ketakutan ketika majlis sekolah bertukar kecoh akibat gegaran kuat yang berlaku pada hari pertama sesi persekolahan selepas cuti panjang.

Namun pihak berkuasa berkata latihan kesiapsiagaan bencana yang dijalankan selama bertahun-tahun membantu mengurangkan jumlah korban.

Pengarah Phivolcs, Encik Teresito Bacolcol, berkata pendidikan dan latihan berkaitan gempa bumi banyak membantu penduduk bertindak lebih pantas ketika bencana berlaku.

“Adalah sesuatu yang baik apabila usaha kita mendidik masyarakat mengenai apa yang perlu dilakukan ketika gempa bumi akhirnya membuahkan hasil,” katanya kepada Associated Press.

Menurut beliau, waktu kejadian pada 7.37 pagi juga membantu mengurangkan jumlah korban kerana kebanyakan orang belum memasuki bangunan pejabat atau bilik darjah.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap beberapa bangunan yang runtuh walaupun sepatutnya mampu bertahan jika piawaian pembinaan dipatuhi sepenuhnya.

“Saya bimbang kerana terdapat bangunan yang runtuh walaupun ia sepatutnya tahan gempa jika kod bangunan dipatuhi,” katanya.

Pengarah Pejabat Pertahanan Awam di wilayah terjejas, Encik Ednar Dayanghirang, berkata latihan berkala di sekolah dan komuniti membantu mengelakkan keadaan lebih buruk termasuk rempuhan yang boleh mengorbankan lebih ramai orang.

“Kami mewajibkan semua pengetua sekolah mengikuti kursus pengurusan insiden sebelum mereka membentuk pasukan tindak balas bencana dalam kalangan guru,” katanya.

“Mereka mendengar dan mereka belajar,” tambah beliau.

Salah satu video yang mendapat perhatian meluas menunjukkan puluhan murid sekolah rendah menangis ketakutan ketika duduk di kawasan lapang sekolah yang bergoyang akibat gegaran.

Sebuah bumbung zink berhampiran kemudian runtuh dengan bunyi kuat sehingga menyebabkan beberapa murid cuba melarikan diri sebelum diarahkan guru supaya kekal bertenang.

Sekolah rendah Mahayahay di bandar pesisir Malita, Davao Occidental, bagaimanapun mengesahkan tiada pelajar cedera dalam kejadian itu.

“Insiden ini menjadi peringatan penting mengenai kepentingan persediaan menghadapi gempa bumi dan nilai latihan bencana secara berkala,” menurut kenyataan sekolah itu.

Ramai penduduk yang dipindahkan pula masih enggan pulang ke rumah kerana trauma akibat gegaran susulan yang berterusan.

Lebih 45,000 penduduk dilaporkan kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar masih berlindung di pusat pemindahan sementara selepas lebih 12,600 rumah rosak.

Filipina merupakan antara negara paling terdedah kepada bencana alam di dunia kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, kawasan yang sering mengalami gempa bumi dan letusan gunung berapi. – Agensi berita.