Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Firma binaan China disiasat kejadian bangunan runtuh di Bangkok

Apr 2, 2025 | 1:19 PM
Para pekerja penyelamat yang dibantu jentera berat giat menjalankan usaha mencari mangsa yang mungkin terperangkap dalam kejadian bangunan runtuh menyusuli gempa bumi yang melanda Myanmar pada 28 Mac.
Para pekerja penyelamat yang dibantu jentera berat giat menjalankan usaha mencari mangsa yang mungkin terperangkap dalam kejadian bangunan runtuh menyusuli gempa bumi yang melanda Myanmar pada 28 Mac. - Foto Reuters

BANGKOK: Kerajaan Thailand sedang giat menjalankan siasatan terhadap projek binaan lain yang dikaitkan dengan kontraktor China yang terlibat dalam pembinaan Pejabat Audit Negara (SAO) yang runtuh di Bangkok semasa gempa bumi pada 28 Mac.

Perdana Menteri Encik Paetongtarn Shinawatra berkata beliau telah mengarahkan pelbagai agensi supaya menyiasat semua projek pembinaan yang diberikan kepada syarikat kontraktor China Railway No.10 Engineering Group.

SAO telah mengikat kontrak dengan konsortium Italian-Thai Development Plc dan China Railway No.10 untuk membina bangunan bernilai 2.1 bilion baht (S$82,608 juta) itu.

Beliau berkata bangunan yang runtuh itu telah mengorbankan nyawa dan menjejaskan imej Thailand.

“Semua bangunan di Bangkok mesti memenuhi piawaian undang-undang. Keselamatan mesti menjadi keutamaan,” tegasnya.

Selain bangunan SAO, projek lain yang dijalankan oleh China Railway No.10 Engineering Group termasuk pembinaan bangunan Pejabat Sumber Air Negara dan beberapa bahagian projek kereta api laju Bangkok-Nong Khai.

Bloomberg melaporkan bahawa kontraktor bangunan menara pejabat dalam pembinaan yang runtuh di Bangkok itu dikatakan menggunakan bar keluli substandard yang dibuat oleh sebuah kilang yang telah ditutup oleh pihak berkuasa.

Bangunan setinggi 30 tingkat itu merupakan satu-satunya bangunan yang runtuh di ibu negara Thailand berikutan gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar.

Kejadian itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya sedozen pekerja dan memerangkap berpuluh-puluh lagi.

Dalam pada itu, Encik Mana Nimitmongkol, Presiden Pertubuhan Pencegahan Rasuah Thailand, memberitahu Reuters pada 30 Mac bahawa ia telah memaklumkan pejabat audit mengenai kebimbangannya mengenai projek itu.

Kerajaan telah mengancam untuk membatalkan projek itu pada Januari kerana kelewatan, kata Encik Mana sambil memberitahu pihaknya telah meneliti sekitar 170 projek kerajaan di seluruh Thailand.

Italian Thai Development dan China Railway Group tidak segera mengulas mengenai komen oleh badan pemantau atau ujian keluli kementerian industri ketika dihubungi Reuters.

Menara itu pada asalnya siap menjelang 2026 tetapi terlambat daripada jadual. Timbalan Pengarah juruaudit, Encik Sutthipong Boonnithi, memberitahu pemberita bahawa pembinaan hanya “30 peratus siap” sebelum ia runtuh. - Agensi berita, Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg