Flotila bantuan ke Gaza rancang misi lebih besar pada Mac, sasar 100 bot dan ribuan aktivis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flotila bantuan ke Gaza rancang misi lebih besar pada Mac, sasar 100 bot dan ribuan aktivis

Feb 6, 2026 | 9:56 AM

Flotila bantuan ke Gaza rancang misi lebih besar pada Mac, sasar 100 bot dan ribuan aktivis

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
FOTO FAIL: Aktivis Sweden daripada Global Sumud Flotilla, Greta Thunberg (kiri), Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, serta aktivis Brazil, Thiago Avila, melaungkan slogan ketika tiba dengan bot semasa satu demonstrasi pro-Palestin, yang merupakan sebahagian daripada mogok umum peringkat nasional membantah pemerintah Italy, di Genoa, pada 28 November 2025.
FOTO FAIL: Aktivis Sweden daripada Global Sumud Flotilla, Greta Thunberg (kiri), Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, serta aktivis Brazil, Thiago Avila, melaungkan slogan ketika tiba dengan bot semasa satu demonstrasi pro-Palestin, yang merupakan sebahagian daripada mogok umum peringkat nasional membantah pemerintah Italy, di Genoa, pada 28 November 2025. - Foto AFP

JOHANNESBURG:  Penganjur flotila bantuan yang menuju ke Jaluran Gaza mengumumkan rancangan untuk melancarkan misi baharu yang jauh lebih besar pada Mac ini, selepas cubaan mereka tahun lalu dihalang oleh Israel di perairan antarabangsa.

Inisiatif yang dinamakan Global Sumud Flotilla itu menyasarkan untuk menghantar lebih 100 bot, melibatkan sehingga 1,000 aktivis dari seluruh dunia, termasuk doktor, jururawat, profesional kesihatan, penyiasat jenayah perang dan pembina lestari - individu yang berhasrat membantu membina semula kemudahan asas di Gaza dalam usaha menembusi sekatan ke atas Gaza yang telah berlarutan bertahun-tahun.

Pengumuman tersebut dibuat dalam satu perhimpunan di Johannesburg pada 4 Februari, bertempat di yayasan mendiang pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela. Penganjur menyifatkan misi itu sebagai mobilisasi awam terbesar pernah dirancang bagi membantah tindakan Israel di Gaza.

“Ia adalah satu perjuangan untuk mereka yang mahu bangkit dan berdiri demi keadilan serta maruah untuk semua,” kata Encik Mandla Mandela, cucu Nelson Mandela, yang turut menyertai flotila pada 2025 dan pernah ditahan oleh pihak berkuasa Israel.

Pada Oktober 2025, tentera Israel telah memintas kira-kira 40 bot Global Sumud Flotilla ketika ia cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza. Lebih 450 peserta ditahan, termasuk aktivis Sweden Cik Greta Thunberg dan ahli Parlimen Eropah, Cik Rima Hassan. Beberapa tahanan kemudiannya mendakwa mereka mengalami penderaan fizikal dan psikologi semasa dalam tahanan.

Bagi penganjur, kegagalan misi terdahulu tidak melemahkan semangat mereka, sebaliknya menguatkan tekad untuk kembali dengan kekuatan yang lebih besar. “Kami mungkin tidak sampai ke Gaza secara fizikal, tetapi kami telah sampai kepada rakyat Gaza,” kata salah seorang aktivis, Cik Susan Abdallah. “Mereka tahu bahawa kami peduli, dan kami tidak akan berhenti sehingga sekatan ini benar-benar dipecahkan.”

Menurut aktivis Cik Sumeyra Akdeniz Ordu, flotila kali ini akan berlepas secara berperingkat dari beberapa pelabuhan Mediterranean, bermula dari Barcelona pada 29 Mac, diikuti Tunisia, Italy dan beberapa lokasi lain.

“Kali ini kami akan belayar bersama ribuan peserta, termasuk lebih 1,000 doktor, jururawat dan profesional kesihatan,” katanya. “Kami juga akan membawa penyiasat jenayah perang dan pembina lestari. Inilah perbezaan besar berbanding misi sebelumnya.”

Selain laluan laut, penganjur turut mengumumkan persiapan bagi satu konvoi darat baru yang akan merentasi negara-negara Arab dan Afrika Utara, dengan sasaran membawa bantuan perubatan, makanan dan keperluan asas ke arah lintasan Rafah.

Seorang jurucakap kempen itu berkata, walaupun Israel mendakwa lintasan Rafah dibuka, keadaan sebenar di kawasan itu masih menyaksikan “penderitaan yang tidak dapat dibayangkan”, sambil menuduh apa yang disebutnya sebagai manipulasi oleh rejim Israel yang menghalang pergerakan masuk dan keluar dari Gaza.

“Koridor kemanusiaan yang digerakkan oleh orang awam ini adalah tanggungjawab kita bersama,” katanya. “Kita harus memikul tanggungjawab ini sebagai warga dunia.”

Penganjur menggambarkan misi tersebut bukan sekadar usaha kemanusiaan, tetapi juga satu tindakan politik. Cik Ordu menyifatkan flotila itu sebagai “alternatif kepada pelan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump”, sambil menegaskan bahawa rakyat Palestin harus diberi hak menentukan bagaimana mereka mahu membina semula tanah air mereka sendiri.

Pihak Israel sebelum ini berulang kali mengecam flotila bantuan ke Gaza sebagai “aksi publisiti”, dan menegaskan bahawa misi sedemikian melanggar sekatan laut yang dikenakan ke atas wilayah itu atas alasan keselamatan. Israel, yang mengawal semua laluan masuk ke Gaza, turut menafikan dakwaan bahawa ia menahan bekalan untuk lebih dua juta penduduk wilayah tersebut.

Namun, badan bantuan antarabangsa dan penduduk Palestin menyatakan bahawa bekalan yang masuk masih jauh daripada mencukupi, meskipun satu gencatan senjata bermula pada Oktober lalu dengan janji peningkatan bantuan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa tahap bantuan sedia ada gagal memenuhi keperluan mendesak penduduk Gaza.

Selepas gencatan senjata, tentera Israel kini menguasai lebih 53 peratus wilayah Gaza dan mengarahkan penduduk keluar dari kawasan tertentu. Hampir keseluruhan penduduk Gaza kini berhimpit di satu jalur sempit di sepanjang pantai, kebanyakannya tinggal di khemah sementara atau bangunan yang rosak teruk.

Bagi aktivis Global Sumud Flotilla, walaupun misi kali ini sekali lagi berdepan risiko dihalang, mereka percaya usaha tersebut tetap penting untuk mengekalkan perhatian dunia terhadap penderitaan di Gaza.
“Jika kami dihalang sekali lagi, ia masih berbaloi,” kata Cik Susan. “Kerana dunia perlu terus diingatkan tentang apa yang sedang berlaku di Gaza, dan bahawa rakyat di sana tidak dilupakan.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg