Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan aktivis dilepaskan Israel selepas ditahan sertai flotila bantuan ke Gaza

Oct 6, 2025 | 12:55 PM
 ‘Global Sumud Flotilla’, perang Israel-Palestin
Mariana Mortagua (tengah), salah seorang daripada empat warganegara Portugal yang menyertai ‘Global Sumud Flotilla’ dan telah ditahan di Israel sejak 2 Oktober, tiba semula di Lapangan Terbang Lisbon, Portugal, pada 5 Oktober 2025. - Foto EPA

TEL AVIV: Aktivis alam sekitar Sweden, Cik Greta Thunberg, akan meninggalkan Israel pada 6 Oktober bersama lebih 70 individu pelbagai kewarganegaraan selepas mereka ditahan kerana menyertai flotila bantuan yang cuba mengatasi sekatan laut Israel ke Gaza.

Menurut pihak berkuasa, kumpulan itu termasuk 28 warga Perancis, 27 warga Greece, 15 warga Italy dan sembilan warga Sweden.

Sebelum itu, 21 warga Sepanyol pulang ke Madrid pada 5 Oktober, manakala masih terdapat 28 warga Sepanyol yang kekal dalam tahanan Israel.

Flotila yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla (GSF) itu membawa puluhan kapal dengan lebih 400 penumpang, termasuk aktivis dan ahli politik, yang berhasrat menghantar bantuan ke Gaza yang kini berdepan kebuluran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beberapa aktivis yang tiba di Turkey pada 5 Oktober selepas dihantar pulang mendakwa mereka telah didera ketika dalam tahanan, termasuk Cik Thunberg. Aktivis Sweden berusia 22 tahun itu ditahan di penjara Ketziot di Gurun Negev, di mana beliau mendakwa mengalami dehidrasi, kekurangan makanan dan keadaan sel penjara yang dipenuhi pepijat katil hingga menyebabkan ruam.

“Dia (Cik Thunberg) menceritakan tentang layanan kasar dan menyatakan terpaksa duduk berjam-jam di atas permukaan keras,” menurut laporan Kementerian Luar Sweden kepada ibu bapa Cik Thunberg yang dipetik The Guardian.

Cik Thunberg juga mendakwa dipaksa bergambar sambil memegang bendera, walaupun tidak dinyatakan bendera negara mana.

Namun, Kementerian Luar Israel menolak dakwaan itu. “Ini pembohongan keterlaluan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang dipetik media tempatan. “Semua hak undang-undang tahanan dipelihara sepenuhnya. Thunberg tidak pernah membuat aduan rasmi kerana perkara itu tidak berlaku.”

Sebahagian besar aktivis yang dibebaskan akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara masing-masing.

Kementerian Luar Perancis berkata 28 rakyatnya akan dibawa keluar dari Israel ke Athens, manakala kementerian luar Italy dan Greece mengesahkan warganegara mereka juga akan menaiki penerbangan ke Athens pada 6 Oktober.

Menteri Luar Italy, Encik Antonio Tajani, berkata di platform X bahawa 15 warga Italy yang masih ditahan akan dibantu dalam perjalanan pulang ke Rome. “Kami memantau keselamatan rakyat kami dan memastikan mereka pulang dengan selamat,” katanya.

Kumpulan pertama 26 warga Italy sudah dihantar pulang pada 4 Oktober tetapi baki 15 orang masih menunggu keputusan perintah pengusiran mahkamah kerana enggan menandatangani borang pelepasan sukarela.

Menteri Luar Sweden, Cik Maria Malmer Stenergard, mengesahkan kedutaan Sweden di Tel Aviv telah melawat sembilan rakyatnya yang ditahan.

“Pada lewat Ahad (5 Oktober), pihak berkuasa Israel memaklumkan bahawa mereka akan membenarkan rakyat Sweden meninggalkan Israel esok (6 Oktober) dengan pesawat,” katanya kepada AFP.

Penahanan flotila antarabangsa ini mencetuskan gelombang protes di pelbagai negara.

Di Rome, polis berkata kira-kira 250,000 orang memenuhi jalan raya pada 4 Oktober bagi hari keempat demonstrasi, membawa bendera Palestin dan melaungkan slogan “Kami semua rakyat Palestin” serta “Hentikan pembunuhan beramai-ramai”.

“Kami datang ke sini untuk menuntut keadilan bagi Gaza dan membebaskan mereka yang cuba menghantar bantuan,” kata Encik Matteo Ricci, seorang penunjuk perasaan di Rome.

Di Sepanyol, polis melaporkan lebih 70,000 orang berkumpul di Barcelona manakala hampir 92,000 berarak di Madrid.

Protes juga dilaporkan berlaku di Istanbul, Athens dan Buenos Aires – paparan kemarahan global terhadap serangan Israel dan sekatannya ke atas Gaza.

Israel mula memintas kapal flotila di perairan antarabangsa pada 1 Oktober lalu.

Seorang pegawai kanan Israel berkata lebih 400 orang dalam 45 kapal telah dihalang daripada memasuki kawasan Palestin.

Menteri Pertahanan Israel sebelum ini menuduh flotila itu sebagai “operasi pengganas Hamas” dan mendakwa penyeludupan senjata boleh berlaku melalui laluan laut.

Namun aktivis menegaskan matlamat mereka adalah kemanusiaan. “Kami membawa makanan, ubat dan bantuan asas. Israel menahan kami seperti penjenayah,” kata Encik Saverio Tommasi, seorang wartawan Italy yang mendakwa dipukul di belakang dan kepala ketika ditahan. “Kami dilayan seperti monyet tua dalam sarkas paling buruk pada 1920-an,” katanya kepada agensi berita ANSA.

Ini bukan kali pertama Cik Thunberg cuba menembusi sekatan Israel. Beliau turut menyertai misi flotila pro-Palestin pada Jun lalu yang juga dihalang sebelum tiba ke pantai Gaza. Cik Thunberg, yang terkenal dengan aktivisme iklim, sejak kebelakangan ini lantang bersuara menentang penderitaan rakyat Palestin.

Dalam mesej kepada penyokongnya sebelum berangkat keluar dari Israel, Cik Thunberg menulis: “Kami datang untuk menghantar bantuan dan menuntut keadilan. Namun, kami dipenjara dan dihina. Perjuangan untuk kebebasan Palestin tidak boleh dihentikan.”

Insiden ini menambah tekanan antarabangsa ke atas Israel, yang menghadapi kritikan hebat berhubung perang di Gaza.

Negara-negara Eropah menggesa pembebasan segera semua aktivis yang masih ditahan.

“Keselamatan dan hak rakyat kami mesti dihormati,” kata Menteri Luar Perancis dalam kenyataan rasmi.

Pertubuhan hak asasi manusia juga mendesak siasatan bebas ke atas dakwaan layanan buruk terhadap aktivis. Amnesty International berkata pihaknya menerima aduan tentang kekurangan akses kepada peguam dan keadaan penjara yang “tidak berperikemanusiaan”. – Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg