Topik diikuti
Pergi ke BHkuFlotila Gaza: 9 aktivis Indonesia saman Israel susulan dakwaan penderaan
Flotila Gaza: 9 aktivis Indonesia saman Israel susulan dakwaan penderaan
Flotila Gaza: 9 aktivis Indonesia saman Israel susulan dakwaan penderaan
JAKARTA: Sembilan aktivis Indonesia yang ditahan oleh tentera Israel selepas menyertai misi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza memfailkan laporan jenayah di Pejabat Peguam Negara Indonesia, dengan mendakwa mereka menjadi mangsa penculikan, penderaan dan pelanggaran hak asasi manusia ketika ditahan selama empat hari.
Laporan itu dikemukakan pada 29 Julai bersama mantan Peguam Negara Indonesia, Encik Marzuki Darusman, serta peguam daripada Themis Indonesia.
Seorang sukarelawan, Encik Herman Budianto, berkata laporan itu dibuat bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
“Kami datang hari ini (29 Julai) untuk melaporkan apa yang kami alami selepas diculik dan dipenjarakan oleh Israel selama empat hari,” katanya kepada pemberita di Jakarta.
Beliau berkata tindakan undang-undang itu bukan sahaja bertujuan menuntut keadilan terhadap dakwaan pencabulan hak asasi manusia, malah sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin.
Menurut Encik Herman, kumpulan itu menyerahkan pelbagai bukti kepada pihak pendakwa raya, termasuk gambar kecederaan, laporan perubatan dan kronologi lengkap daripada kesemua sembilan sukarelawan Indonesia.
“Kami telah mengumpulkan semua bukti, termasuk gambar kecederaan, laporan pemeriksaan perubatan dan kronologi terperinci mengenai apa yang berlaku.
“Selepas ini, kami menyerahkan sepenuhnya kepada Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan lanjut,” katanya.
Encik Marzuki pula berkata penahanan aktivis terbabit berlaku ketika mereka berada di perairan antarabangsa, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Beliau menjelaskan bahawa Kanun Keseksaan baharu Indonesia memberi ruang kepada pihak pendakwa untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan hak asasi manusia yang dilakukan di luar negara sekiranya melibatkan rakyat Indonesia.
“Peruntukan dalam Kanun Keseksaan baharu mengiktiraf prinsip bidang kuasa sejagat yang membolehkan pendakwaan dijalankan terhadap pelanggaran hak asasi manusia di luar Indonesia apabila mangsanya ialah warga Indonesia,” katanya.
Beliau merujuk kepada Perkara 6 Kanun Keseksaan baharu sebagai asas undang-undang untuk memulakan prosiding berkenaan.
“Laporan ini adalah sebahagian daripada bantahan masyarakat antarabangsa dan usaha mendapatkan keadilan melalui saluran perundangan,” katanya.
Peguam aktivis terbabit, Encik Shaleh Al Ghifari, berkata undang-undang Indonesia turut mengiktiraf prinsip kewarganegaraan pasif yang membolehkan jenayah terhadap rakyat Indonesia di luar negara didakwa di mahkamah Indonesia jika kesalahan itu turut diiktiraf sebagai jenayah di negara berkenaan.
Bagaimanapun, beliau mengakui sebarang tindakan undang-undang memerlukan sokongan diplomatik daripada Kementerian Luar Indonesia.
“Kami mengemukakan sembilan laporan berasingan bagi setiap sukarelawan.
“Ada yang didakwa dikenakan renjatan elektrik, dipijak di kepala, dipukul, diterajang dan turut mengalami gangguan ketika dalam tahanan,” katanya.
Menurut Encik Shaleh, tindakan undang-undang serupa turut diambil oleh sukarelawan dari beberapa negara lain terhadap pihak berkuasa Israel di negara masing-masing.
Beliau berkata laporan itu menamakan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, anggota pemerintah Israel serta anggota tentera Israel sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan.
Rakyat Indonesia yang terbabit itu adalah sebahagian daripada ratusan aktivis antarabangsa yang menyertai misi Global Sumud Flotilla untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Konvoi berkenaan dipintas tentera Israel berhampiran Cyprus pada Mei lalu ketika dalam perjalanan untuk memecahkan sekatan yang dikenakan ke atas Gaza sejak 2007.
Kesemua sukarelawan ditahan selama beberapa hari sebelum dibebaskan dan dihantar pulang ke Turkey.
Ketika kejadian, Kementerian Luar Indonesia mengecam layanan terhadap sukarelawan terbabit sebagai tidak berperikemanusiaan dan menyifatkan tindakan memintas konvoi di perairan antarabangsa sebagai pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Indonesia yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel menggunakan saluran negara ketiga, termasuk Turkey, bagi memastikan pembebasan kesemua rakyatnya.
Sebelum ini, pemerintah Indonesia turut mengecam tindakan tentera Israel memintas konvoi bantuan berkenaan yang membawa 426 peserta dari 40 negara.
Antara peserta misi itu ialah 96 aktivis dari Turkey serta sukarelawan dari Indonesia, Amerika Syarikat, Britain, France, Jerman, Italy, Ireland, Sepanyol, Brazil, Algeria, Maghribi, Pakistan, Mesir, Oman, Tunisia, Australia, Bahrain, New Zealand, Argentina, Afrika Selatan dan Canada.
Ketika itu Menteri Komunikasi Indonesia, Cik Meutya Hafid, turut menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan sembilan rakyat Indonesia, termasuk dua wartawan, yang menyertai misi tersebut.
Insiden itu bukan yang pertama membabitkan Global Sumud Flotilla.
Pada 29 April lalu, satu lagi konvoi bantuan kemanusiaan diserang berhampiran Pulau Crete, Greece, ketika dalam perjalanan menuju Gaza. – Agensi berita.