Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

G20 terus dilanda isu serangan Russia ke atas Ukraine

Jul 23, 2022 | 05:30 AM



MESYUARAT menteri kewangan dan gabenor bank pusat kumpulan 20 negara (G20) di Bali, Indonesia, baru-baru ini tidak menghasilkan satu kenyataan bersama seperti lazimnya.



Ini setelah mesyuarat dua hari itu dipengaruhi isu berkaitan pencerobohan Russia ke atas Ukraine. Banyak negara dalam kumpulan itu mengutuk Russia dan mendesaknya supaya menamatkan perang tersebut.



Bahkan, perkara sama berlaku semasa mesyuarat menteri luar G20 di pulau itu pada awal bulan ini sehingga mendorong Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, meninggalkan mesyuarat.



Tuan rumah Indonesia, dalam satu deklarasi sempena mesyuarat menteri kewangan G20 itu, berkata:



"Ramai anggota (G20) bersetuju bahawa pemulihan ekonomi sejagat telah bertambah perlahan dan menghadapi kegenjotan besar akibat perang Russia ke atas Ukraine, yang dikecam sekeras-kerasnya, dan menggesa perang dihentikan.



"Seorang anggota menyatakan pandangannya bahawa sekatan yang ada menambah kepada cabaran semasa."



Kenyataan itu jelas merujuk kepada Russia yang telah menafikan serangannya ke atas Ukraine telah menyebabkan masalah ekonomi sejagat.



Perbalahan antara anggota



Indonesia, sebagai pengerusi G20, perlu mengamalkan dasar berkecuali sedang adanya desakan negara Barat seperti Amerika Syarikat, Britain dan Kesatuan Eropah (EU) supaya Russia tidak diundang bagi sidang kumpulan itu di samping sidang puncak yang dijadual November ini.



Mereka menyelar pencerobohan tersebut sambil menyatakan tindakan itu tidak wajar sama sekali, selain pencerobohan terhadap sebuah negara berdaulat adalah bertentangan dengan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Namun ada anggota G20 lain seperti Russia sendiri dan China menolak desakan itu sambil menegaskan kumpulan itu adalah wadah ekonomi dan bukan politik.



Indonesia mengambil alih jawatan pengerusi G20 daripada Italy pada Disember lalu.



G20 merupakan gabungan 20 ekonomi utama dunia dengan kumpulan itu membentuk 80 peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) dunia; 75 peratus perdagangan sejagat; dan 60 peratus penduduk dunia.



Singapura bukan anggota G20, tetapi sering diundang mengambil bahagian dalam banyak sidang kumpulan itu.



Politik antarabangsa



Ditanya Berita Harian (BH) mengenai 'kekecohan' yang berlaku semasa mesyuarat menteri kewangan G20 itu, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun, berkata adalah sukar untuk mengetepikan sesebuah anggota kumpulan antarabangsa itu begitu sahaja.



"Sebab itu, semasa diadakan mesyuarat, ada menteri luar dan menteri kewangan yang (gunakan sidang itu untuk) mengutuk tindakan Russia itu.



"Hakikat politik antarabangsa adalah, walaupun ada musuh anda, anda mungkin masih perlu hadir di forum sama," terangnya.



Paling lantang mengecam pencerobohan Russia itu adalah Setiausaha Kewangan Amerika, Cik Janet Yellen.



Beliau mengutuk "perang tanpa provokasi Russia terhadap Ukraine, yang telah menyebabkan kesan buruk sejagat dari segi makanan, tenaga, dan komoditi lain", selain menggalak negara lain supaya bertindak untuk menyekat aliran pendapatan Russia.



Putin hadiri sidang puncak?



Sementara itu, masih menjadi teka-teki sama ada Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, akan hadir di sidang puncak pemimpin G20 yang dijadual diadakan di Bali pada November ini.



Isu kehadiran beliau terus hangat diperkatakan dalam kalangan anggota G20.



Negara Barat mendesak Indonesia supaya tidak mengundang pemimpin itu atas alasan tindakan pencerobohan ke atas Ukraine, sambil menegaskan Russia tidak lagi mempunyai tempat dalam masyarakat antarabangsa - satu usaha pihak Barat mahu mengasingkan Russia dan Encik Putin.



Sejauh ini, Encik Putin belum dipastikan kehadirannya, sementara Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, telah diundang presiden Indonesia, Encik Joko Widodo, untuk menghadirinya.



Memberi pandangannya, Dr Oh berkata jika Encik Putin disahkan hadir, ada kemungkinan sebilangan pemimpin tertinggi negara G20, seperti presiden dan perdana menteri, tidak akan hadir, sebagai isyarat bantahan.



"Mereka mungkin menghantar pemegang jawatan lebih rendah untuk hadir dan bukan presiden atau perdana menterinya.



"Perkara ini mungkin boleh berlaku dalam sidang puncak G20," katanya.



Perkara itu pastinya bukan satu perkara positif buat Indonesia sebagai pengerusi kumpulan itu, dan ia kini masih terus berusaha bagai menarik rambut daripada tepung.




"Sebab itu, semasa diadakan mesyuarat, ada menteri luar dan menteri kewangan yang (gunakan sidang itu untuk) mengutuk tindakan Russia itu.

Hakikat politik antarabangsa adalah walaupun ada musuh anda, anda mungkin masih perlu hadir di forum sama."

- Dr Oh Ei Sun, Felo Kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >