EVIAN-LES-BAINS, Perancis: Pemimpin Eropah dijangka memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, bahawa perjanjian sementara dengan Iran yang terlalu longgar berisiko mengukuhkan lagi program nuklear dan peluru berpandu Teheran, ketika sidang kemuncak G7 berlangsung di Evian-les-Bains, Perancis.

Sidang dari 15 hingga 17 Jun itu menghimpunkan pemimpin Perancis, Britain, Canada, Jerman, Italy, Jepun dan Amerika Syarikat bersama Kesatuan Eropah (EU).

Encik Trump tiba di Perancis pada 15 Jun dalam suasana optimis selepas Washington dan Teheran mencapai persetujuan awal bagi menamatkan konflik lebih luas di Asia Barat, dengan perjanjian rasmi dijangka ditandatangani pada 19 Jun ini.

“Perjanjian Iran ini akan membawa banyak kejayaan,” kata Encik Trump sejurus tiba di Evian-les-Bains di tepi Tasik Geneva.

Namun di sebalik nada positif Washington, beberapa negara Eropah dilaporkan bimbang pasukan rundingan Amerika mungkin gagal mendapatkan perjanjian nuklear yang benar-benar kukuh dalam rundingan seterusnya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berkata keutamaan sekarang ialah memastikan perjanjian itu benar-benar menyeluruh dan berkekalan.

“Kita memerlukan satu perjanjian yang kukuh, serius dan dimuktamadkan dengan baik,” katanya.

Menurut Encik Macron, sesi makan tengah hari pemimpin G7 pada 16 Jun akan memberi tumpuan kepada usaha membuka semula Selat Hormuz secara selamat, termasuk kemungkinan misi keselamatan maritim yang diterajui Perancis dan Britain.

Perbincangan itu turut melibatkan pencarian laluan tenaga alternatif bagi mengurangkan pergantungan kepada Selat Hormuz yang menjadi laluan utama eksport minyak dunia.

Encik Trump pula berkata selat strategik itu akan “dibuka sepenuhnya” menjelang 19 Jun.

Pemimpin Amiriah Arab Bersatu, Qatar dan Mesir turut dijadual menghadiri sesi tersebut, namun diplomat berkata mereka tidak dijangka membincangkan secara terperinci program nuklear Iran.

Sebaliknya, negara-negara Arab dijangka menyampaikan jangkaan mereka terhadap pelaksanaan perjanjian damai tersebut.

Perjanjian sementara Amerika-Iran dijangka membuka ruang rundingan teknikal selama 60 hari, termasuk mengenai nasib uranium diperkaya tinggi milik Iran dan kemungkinan pelonggaran sekatan ekonomi.

Bagaimanapun, Perancis, Britain dan Jerman mahu memainkan peranan lebih besar dalam rundingan akan datang selepas diketepikan sejak beberapa bulan lalu.

Tiga negara itu sebelum ini memainkan peranan penting dalam rundingan program nuklear Iran sejak 2003 dan turut membantu mencapai perjanjian nuklear 2015 bersama pentadbiran bekas Presiden Amerika, Barack Obama.

Encik Trump sebelum ini menarik keluar Amerika daripada perjanjian tersebut ketika penggal pertamanya sebagai presiden.

“Ia bukan seperti dokumen Obama. Itu perjanjian yang teruk,” kata Encik Trump ketika bertemu Encik Macron.

Selain isu Iran, pemimpin Eropah turut mahu menggunakan sidang kemuncak G7 untuk mendesak Encik Trump mengubah pendekatan terhadap perang Russia-Ukraine.

Diplomat Eropah percaya beberapa cadangan damai Amerika sebelum ini terlalu memihak kepada Moscow.

Negara Eropah mahu menunjukkan bahawa mereka bersedia berbincang dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, tetapi pada masa sama mahu meningkatkan sekatan terhadap Moscow dan memperkukuh bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Mereka menegaskan Russia, bukannya Ukraine, menjadi penghalang utama kepada usaha damai.

Encik Trump berkata beliau percaya Encik Putin dan Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, masih terbuka untuk menamatkan perang yang sudah memasuki tahun keempat.

“Saya rasa mereka mahu melakukan sesuatu mengenai perang ini,” katanya.

Encik Zelensky dijadual menyertai sesi khas mengenai keamanan di Ukraine dan mungkin mengadakan pertemuan berasingan dengan Encik Trump.

Presiden Ukraine itu sebelum ini berkata beliau bersedia bertemu Encik Putin di sidang G7 bagi membincangkan penamatan perang, namun mendakwa pemimpin Russia itu belum bersedia untuk berunding.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, berkata Ukraine masih mampu mempertahankan kedudukannya di medan perang walaupun berdepan tekanan besar.

“Ukraine mempertahankan barisan hadapan dan sebahagiannya berjaya merampas semula wilayah,” katanya.

Beliau turut mendakwa Ukraine kini mempunyai kemampuan menyerang sasaran strategik jauh di dalam wilayah Russia menggunakan dron.

Pada masa sama, beliau berkata ekonomi perang Russia semakin tertekan akibat sekatan antarabangsa.

“Ekonomi perang Putin tidak pernah menjadi selemah ini,” katanya.

Encik Zelensky bagaimanapun bimbang konflik Iran telah mengalihkan perhatian Amerika daripada perang Ukraine.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Ukraine meningkatkan serangan dron jauh ke dalam wilayah Russia bagi memutuskan laluan bekalan tentera dan melemahkan prasarana tenaga negara itu.

Namun Kremlin menegaskan serangan Ukraine tidak akan mengubah keadaan sebenar di medan perang.

Sidang kemuncak G7 kali ini dilihat penting dalam menentukan hala tuju baharu konflik global, terutama membabitkan Iran, Ukraine dan keselamatan tenaga dunia ketika ketegangan geopolitik terus meningkat. - Agensi berita