Iran beri amaran harga minyak naik AS$200 setong ketika ia bedil kapal dagang
Iran beri amaran harga minyak naik AS$200 setong ketika ia bedil kapal dagang
DUBAI/TEL AVIV: Iran berkata dunia sepatutnya bersedia dengan kenaikan harga minyak kepada AS$200 ($255) setong ketika pasukannya menyerang kapal-kapal dagang pada 11 Mac.
Menyusulinya, Agensi Tenaga Antarabangsa mengesyorkan pelepasan rizab strategik secara besar-besaran bagi meredakan salah satu kejutan bekalan minyak terburuk sejak 1970-an.
Perang yang dilancarkan Amerika Syarikat bersama Israel terhadap Iran hampir dua minggu lalu, telah membunuh sekitar 2,000 orang, kebanyakannya rakyat Iran dan Lebanon, ketika ia telah merebak ke Lebanon dan menyebabkan pasaran tenaga global dan pengangkutan menjadi huru-hara.
Meskipun Pentagon menggambarkan serangan udara paling sengit sejak permulaan perang, Iran juga membedil Israel dan sasaran di seluruh Timur Tengah pada 11 Mac – tanda ia masih mampu melawan balik.
Pada hari yang sama, tiga kapal dilaporkan telah diserang di perairan Teluk ketika Pengawal Revolusi Iran menyatakan pasukannya telah membedil kapal yang ingkar perintah mereka.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyatakan bahawa beliau belum bersedia untuk menamatkan perang.
Pada satu perhimpunan di Kentucky, beliau berkata “kita menang” perang itu, tetapi Amerika tidak mahu terpaksa berundur setiap dua tahun.
“Kita tidak mahu berlepas lebih awal, bukan?” katanya. “Kita perlu menyelesaikan tugas itu.”
Encik Trump berkata tentera Amerika telah memusnahkan 58 kapal tentera laut Iran dan harga minyak akan turun dan di Washington beliau berkata Iran “hampir berada di penghujung garisan.”
Menurutnya, Amerika akan “memusatkan perhatian” di Selat Hormuz, sambil menambah: “Selat-selat itu berada dalam keadaan yang sangat baik. Kami telah menghancurkan semua kapal mereka.
“Mereka mempunyai beberapa peluru berpandu, tetapi tidak banyak,” tambahnya.
Di sebalik kata-kata Encik Trump, tiada tanda bahawa kapal boleh belayar dengan selamat melalui selat itu.
Seorang jurucakap tentera Iran berkata Selat Hormuz berada di bawah kawalan Iran.
Encik Trump berkata kapal “sepatutnya” transit melalui selat itu tetapi sumber berkata Iran telah memasang kira-kira sedozen periuk api dan sekali gus merumitkan sekatan yang berlaku.
Pada 11 Mac, negara Kumpulan Tujuh (G7) – Amerika, Canada, Jepun, Italy, Britain, Jerman dan Perancis – bersetuju mengkaji pilihan untuk menyediakan pengiring kapal supaya mereka boleh belayar dengan bebas di Teluk.
ABC News berkata Biro Siasatan Persekutuan telah memberi amaran tentang dron Iran yang berpotensi menyerang Pantai Barat Amerika.
Encik Trump berkata beliau tidak bimbang Iran mungkin melancarkan serangan ke atas negaranya.
Jabatan Negara juga memberi amaran bahawa Iran dan sekutu militianya mungkin merancang menyerang infrastruktur minyak dan tenaga milik Amerika di Iraq.
Harga minyak melonjak awal minggu ini kepada hampir AS$120 setong sebelum kembali kepada sekitar AS$90 setong. – Reuters.

