Risikan AS: Iran kekal teguh, semakin kuat walau digempur Israel-Amerika

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Risikan AS: Iran kekal teguh, semakin kuat walau digempur Israel-Amerika

Mar 18, 2026 | 2:23 PM

Risikan AS: Iran kekal teguh, semakin kuat walau digempur Israel-Amerika

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
risikan as, iran, israel-amerika
Gambar yang diedarkan di media sosial menunjukkan sebuah motosikal dijilat api ekoran serangan Israel ke atas Pusat Pemeriksaan Basij di Teheran, Iran, pada 17 Mac 2026. - Foto AFP

WASHINGTON: Penilaian perisikan Amerika Syarikat mendapati bahawa pemerintah Iran kekal kukuh dan “semakin berdaya tahan” walaupun diserang bertubi-tubi oleh Amerika dan Israel sejak perang lebih dua minggu lalu.

Malah, kemungkinan besar Iran akan kekal seperti keadaannya buat masa ini, tambah laporan itu.

Dalam laporannya pada 17 Mac, Washington Post, memetik sumber berkaitan sebagai menyatakan bahawa dapatan hasil perisikan Amerika menunjukkan bahawa serangan Amerika dan Israel sejak 28 Februari tidak menyebabkan “keretakan atau pembelotan” dalam struktur kuasa Iran.

Sumber itu berkata bahawa walaupun serangan itu melemahkan Iran secara ketenteraan, namun ia tidak menyebabkan berlakunya kejatuhan dalam pemerintahan.

Sebaliknya, ia meneguhkan sistem “yang semakin kukuh” di bawah kawalan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Laporan itu juga berkata perisikan Amerika menganggarkan pemerintah Iran “akan kekal utuh dan mungkin akan menjadi lebih yakin, merasakan ia boleh mengatasi Presiden Donald Trump dan bertahan,” sebelum beliau “memberi lampu hijau untuk melancarkan perang bersama Israel.”

Di samping itu, laporan itu menyatakan bahawa sekutu Amerika di rantau Teluk “marah dan bimbang” tentang konflik yang berpanjangan dan potensi untuk menjadi sasaran pembalasan langsung daripada Iran.

Ia menambah bahawa infrastruktur awam di negara-negara rantau tersebut kini berada dalam ancaman.

Ketegangan di Teluk Parsi telah meningkat sejak Israel dan Amerika melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang menyebabkan 1,300 orang terkorban, termasuk Pemimpin Agung Ayatollah Ali Khamenei.

Iran membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menjadi tuan rumah aset ketenteraan Amerika.

Serangan Iran itu menyebabkan korban nyawa, kerosakan infrastruktur, dan gangguan kepada pasaran global dan penerbangan dunia.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Presiden Trump memberitahu pemimpin negara Kumpulan Tujuh (G7) bahawa Iran “hampir menyerah kalah” dalam konflik yang sedang berlangsung di Asia Barat, menurut laporan portal berita Axios yang memetik tiga pegawai negara G7 yang diberi taklimat mengenai perbualan tersebut.

Menurut laporan itu, Presiden Trump membuat kenyataan tersebut ketika satu mesyuarat maya bersama pemimpin G7.

Dalam perbincangan tersebut, beliau turut memuji kejayaan operasi ketenteraan yang dikenali sebagai Operasi “Epic Fury”, yang dilancarkan oleh Amerika dalam konflik dengan Iran. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg