Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gabenor gesa siasat Elon Musk janji beri AS$1j sehari hingga pilihan raya AS

Oct 21, 2024 | 12:12 PM
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, yang menyokong calon presiden Republican, Encik Donald Trump, berjanji memberi AS1 juta sehari sehingga pilihan raya presiden pada 5 November.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Encik Elon Musk, yang menyokong calon presiden Republican, Encik Donald Trump, berjanji memberi AS1 juta sehari sehingga pilihan raya presiden pada 5 November. - Foto REUTERS

HARRISBURG (Pennsylvania): Gabenor Demokrat Pennsylvania, Encik Josh Shapiro, pada 20 Oktober menggesa penguat kuasa undang-undang supaya menyiasat jutawan, Encik Elon Musk, berhubung janjinya akan memberi AS$1 juta ($1.31 juta) setiap hari hingga Hari Pilihan Raya.

Janji itu dibuatnya pada satu perhimpunan pro-Encik Donald Trump, calon parti Republikan bagi pilihan raya pada 5 November.

Pada 19 Oktober, Encik Musk memberi sekeping cek bernilai AS$1 juta kepada peserta perhimpunan di Harrisburg, Pennsylvania, itu, yang dihoskan oleh America PAC, sebuah kumpulan tindakan politik yang ditubuhkan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu untuk menyokong Encik Trump.

Encik Shapiro berkata rancangan Encik Musk untuk memberi wang kepada pengundi berdaftar di Pennsylvania adalah “sangat membimbangkan” dan “ia adalah sesuatu yang perlu diteliti oleh penguat kuasa undang-undang”.

Wang itu adalah contoh terkini Encik Musk menggunakan kekayaannya yang luar biasa untuk mempengaruhi persaingan ketat antara Encik Trump dengan calon parti Demokrat, Naib Presiden, Cik Kamala Harris.

PAC memainkan peranan utama dalam membantu menggerak dan mendaftarkan pengundi di negeri medan persaingan yang boleh menentukan keputusan pilihan raya itu.

Pada 20 Oktober, Encik Musk menyerahkan cek kedua bernilai AS$1 juta kepada seorang wanita di satu acara di Pittsburgh.

Encik Musk berjanji akan memberi AS$1 juta setiap hari kepada sesiapa yang menandatangani petisyen dalam taliannya, yang tertera:

“Pindaan Pertama dan Kedua menjamin kebebasan bersuara dan hak membawa senjata. Dengan menandatangani di bawah, saya mengikrar sokongan saya bagi Pindaan Pertama dan Kedua.”

Menurut laman web PAC, penandatangan petisyen itu mestilah pengundi berdaftar dan tinggal di Arizona, Georgia, Michigan, Nevada, North Carolina, Pennsylvania dan Wisconsin.

Petisyen itu juga menawarkan AS$100 kepada setiap pengundi berdaftar Pennsylvania yang menandatangani petisyen tersebut, dan AS$100 bagi merujuk pengundi berdaftar Pennsylvania untuk menandatanganinya.

Sama ada pemberian itu dibenarkan undang-undang pasti diteliti dalam beberapa hari akan datang.

Membayar orang dengan niat mendorong atau memberi ganjaran kepada mereka supaya membuang undi atau mendaftar adalah satu kesalahan federal yang membawa kepada hukuman penjara. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg