JAKARTA: Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, menggesa orang ramai supaya tidak mengaitkan kejadian pergaduhan maut di Matraman, yang dipercayai berpunca daripada tindakan merosakkan sebuah gerai nasi uduk (nasi yang ditanak dengan santan), dengan isu perkauman atau etnik.

Beliau menegaskan Jakarta kekal sebagai bandar yang aman dan terbuka kepada semua masyarakat.

Menurutnya, konflik yang mengorbankan seorang penduduk dan mencederakan seorang lagi itu hanyalah kes jenayah terpencil yang perlu diselesaikan mengikut saluran undang-undang, bukannya diperbesar sehingga mencetuskan ketegangan berasaskan identiti.

“Saya benar-benar tidak mahu timbul isu berkaitan etnik di Jakarta kerana Jakarta ialah bandar yang selamat, selesa dan aman.

“Kepelbagaian sentiasa diterima di Jakarta dan itulah yang membolehkan bandar ini terus hidup dalam suasana harmoni,” katanya kepada pemberita di Dewan Bandaraya Jakarta pada 28 Julai.

Menurut beliau, masyarakat perlu menahan diri daripada membuat kesimpulan berdasarkan identiti mana-mana kumpulan dan tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang belum disahkan.

“Insiden di Matraman ialah satu realiti yang berlaku. Namun, kita perlu menyelesaikannya dengan kepala yang dingin.

“Saya berharap Jakarta terus menjadi bandar yang selamat, selesa dan terbuka kepada semua orang,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan tersebarnya dakwaan di media sosial yang mengaitkan pergaduhan berkenaan dengan masyarakat etnik tertentu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan konflik identiti berkembang di ibu negara Indonesia itu.

Encik Pramono berkata pemerintah wilayah Jakarta bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Polis Republik Indonesia (Polri) sedang memperkukuh kerjasama bagi memastikan keadaan keselamatan terus terkawal.

Beliau turut mengarahkan pemerintah wilayah meningkatkan komunikasi dengan pemimpin masyarakat, tokoh agama dan pemimpin belia di kawasan terjejas bagi mengelakkan salah faham serta meredakan ketegangan.

“Saya menyeru seluruh warga Jakarta supaya bertenang, tidak melakukan tindakan provokatif yang boleh memperluaskan konflik, tidak menyebarkan maklumat yang tidak berasaskan fakta, serta tidak merosakkan kemudahan awam,” katanya.

Beliau berkata cogan kata, “Jaga Jakarta” bukan sekadar kempen, malah menjadi tanggungjawab bersama semua pihak untuk memastikan keamanan dan keharmonian bandar raya itu terus dipelihara.

Pergaduhan yang berlaku di Jalan Matraman Dalam, Jakarta Timur, sebelum ini mengorbankan seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai K, manakala seorang lagi mangsa, dikenali sebagai DS, mengalami kecederaan serius dan masih menerima rawatan di Rumah Sakit Nasional Dr. Cipto Mangunkusumo.

Menurut polis, kejadian bermula apabila beberapa penduduk menegur seorang penunggang motosikal yang berulang kali memulas enjin motosikalnya sehingga mengganggu ketenteraman kawasan kejiranan.

Siasatan mendapati penunggang terbabit kemudian kembali bersama beberapa individu lain selepas tidak berpuas hati dengan teguran itu.

Apabila individu yang menegurnya tidak lagi berada di lokasi, kumpulan berkenaan didakwa bertindak merosakkan sebuah gerai makanan nasi uduk di tepi jalan.

Perbuatan itu mengundang campur tangan penduduk berhampiran sebelum pertengkaran bertukar menjadi pergaduhan besar yang akhirnya meragut satu nyawa.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan kejadian itu turut menyebabkan sebuah bangunan separa kekal serta empat motosikal mengalami kerosakan.

Polis Metropolitan Jakarta kemudian membuka dua kertas siasatan berasingan melibatkan kes khianat dan serangan yang membawa maut.

Bagi kes khianat, Direktorat Jenayah Am telah menyoal siasat lapan saksi dan menahan empat suspek yang dikenali sebagai GNA, AJL, FAM dan ELL kerana disyaki merosakkan gerai makanan.

Sementara itu, Unit Siasatan Jenayah mengendalikan siasatan berhubung kes serangan yang mengakibatkan kematian mangsa.

Ketua unit berkenaan, Pesuruhjaya Roby Heri Saputra, berkata lapan saksi turut dipanggil memberi keterangan dan tiga suspek dikenali sebagai SK, AS dan OR telah ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, polis masih menjalankan proses pembinaan semula kejadian bagi mengenal pasti peranan setiap suspek dalam pergaduhan tersebut.

Jurucakap Polis Metropolitan Jakarta, Pesuruhjaya Kanan Budi Hermanto, berkata wakil kedua-dua kumpulan yang terbabit telah mencapai persetujuan damai menerusi proses pengantaraan di ibu pejabat polis pada 27 Julai.

Perjanjian itu disaksikan ahli keluarga mangsa, ketua masyarakat setempat dan peguam yang mewakili keluarga mangsa.

Bagaimanapun, beliau menegaskan perdamaian itu tidak akan menjejas tindakan undang-undang terhadap individu yang terbabit.

“Kedua-dua pihak telah berdamai, tetapi proses perundangan tetap diteruskan oleh Polis Metropolitan Jakarta. Mereka menyerahkan sepenuhnya proses undang-undang kepada pihak polis,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiada lagi insiden keganasan dilaporkan selepas perjanjian damai dicapai.

Kawasan Matraman dan Manggarai pernah menyaksikan beberapa pergaduhan antara kumpulan penduduk sejak bertahun-tahun lalu, yang kerap dikaitkan dengan kepadatan penduduk, perselisihan kecil dan ketegangan sosial setempat.

Sehubungan itu, pemerintah wilayah Jakarta bersama polis akan terus meningkatkan pemantauan keselamatan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah.

Encik Pramono menegaskan keamanan Jakarta hanya dapat dikekalkan sekiranya masyarakat tidak membiarkan khabar angin, sentimen perkauman atau maklumat palsu memecahbelahkan hubungan antara anggota masyarakat, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menyelesaikan kes itu secara adil mengikut lunas undang-undang. – Agensi berita.