JAKARTA: Polis Indonesia menamakan tujuh suspek berhubung insiden pergaduhan maut yang tercetus akibat pertikaian ketika membeli nasi uduk (nasi yang ditanak dengan santan) di Jalan Tambak, Menteng, Jakarta Pusat, yang mengorbankan seorang lelaki dan menyebabkan seorang lagi cedera parah.

Pihak berkuasa berkata siasatan dibahagikan kepada dua kes berasingan, iaitu membabitkan perbuatan merosakkan gerai penjaja serta serangan berkumpulan yang mengakibatkan kematian mangsa.

Jurucakap Polis Jakarta, Pesuruhjaya Kanan Budi Hermanto, berkata empat suspek dikenal pasti dalam kes vandalisme terhadap gerai nasi uduk di Jalan Matraman Dalam II, manakala tiga lagi disiasat kerana didakwa menyerang seorang lelaki sehingga maut ketika pergaduhan di Jalan Tambak pada 26 Julai.

“Dalam kes membabitkan perbuatan merosakkan gerai penjaja, kami menamakan empat suspek berdasarkan keterangan lapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta bukti lain,” katanya.

Empat suspek itu hanya dikenali dengan singkatan GNA, AJL, PAM dan ELL, manakala tiga lagi suspek dalam kes serangan maut dikenal pasti sebagai SK, AS dan OR.

Menurut polis, kejadian bermula pada pagi 26 Julai apabila seorang pelanggan yang datang membeli nasi uduk di sebuah gerai berhampiran Masjid Jami’ Matraman dikatakan tidak berpuas hati kerana merasakan dirinya tidak dilayan dengan baik.

Ketua Siasatan Jenayah Polis Jakarta Pusat, Encik Roby Heri Saputra, berkata pelanggan itu kemudian meninggalkan lokasi menaiki motosikalnya sebelum kembali bersama sekumpulan rakannya.

“Mereka kembali ke lokasi dan bertindak merosakkan gerai nasi uduk berkenaan,” katanya.

Katanya, penduduk yang menegur tindakan itu dipercayai mencetuskan pertengkaran sebelum kedua-dua lelaki terbabit memanggil rakan mereka dan kembali menyerang gerai penjaja.

Beliau berkata kumpulan itu dipercayai terdiri daripada penduduk baharu yang menetap di kawasan tanah kosong berhampiran lokasi kejadian.

Tindakan merosakkan gerai berkenaan mencetuskan kemarahan penduduk setempat yang kemudian bertindak balas sehingga pergaduhan merebak ke Jalan Tambak.

Kedua-dua pihak dilaporkan saling membaling batu dan menggunakan buluh serta kayu sebagai senjata, selain merosakkan harta benda awam.

Rusuhan itu turut menyebabkan beberapa bangunan dan motosikal dibakar di kawasan tanah lapang berhampiran.

Polis menerima laporan mengenai pergaduhan itu sekitar 10 pagi sebelum mengerahkan anggota Briged Mobil (Brimob) untuk mengawal keadaan dan mengelakkan keganasan daripada terus merebak.

Dua mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM), namun seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.

“Ketika dibawa dari lokasi, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan kritikal. Bagaimanapun, seorang daripadanya meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” kata Encik Roby.

Polis turut menahan beberapa individu daripada kedua-dua kumpulan bagi membantu siasatan.

Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemukan kesan kemusnahan termasuk serpihan bangunan yang terbakar, motosikal hangus, tompokan darah dan batu yang berlumuran darah.

Bagaimanapun, polis berkata setakat ini tiada senjata tajam ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Jakarta Pusat, Pesuruhjaya Reynold Hutagalung, berkata seramai 15 saksi sudah dipanggil bagi membantu siasatan, manakala polis masih mengumpulkan bukti untuk mengenal pasti peranan setiap individu yang terbabit dalam pergaduhan itu.

Sementara itu, beberapa ahli sosiologi berpendapat insiden berkenaan bukan sekadar berpunca daripada pertikaian membeli nasi uduk, sebaliknya mencerminkan ketegangan sosial yang telah lama wujud.

Ahli sosiologi Universiti Nasional Indonesia, Encik Andi Achdian, berkata hubungan masyarakat yang kuat, tekanan ekonomi dan kelemahan mekanisme penyelesaian konflik menyebabkan pertikaian kecil mudah bertukar menjadi keganasan besar.

“Isunya bukan sekadar faktor ekonomi, tetapi juga semangat solidariti yang mendorong tindakan secara berkumpulan,” katanya.

Pensyarah Universiti Negeri Jakarta (UNJ), Encik Rakhmat Hidayat, pula berkata insiden itu lebih tepat dilihat sebagai kemuncak kepada pelbagai masalah struktur yang berlarutan, termasuk ketidakseimbangan pembangunan bandar, penempatan tidak terancang dan kelemahan pengurusan konflik.

“Pergaduhan ini hanyalah pencetus kepada ketegangan sosial yang telah lama terkumpul,” katanya. – Agensi berita.