JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Prabowo Subianto, yang telah menyatakan rancangannya bertanding dalam pilihan raya presiden buat kali ketiga, semakin mendapat dorongan tujuh bulan sebelum pengundian, menurut satu tinjauan terbaru.
Mantan komander pasukan khas itu, yang sudah dua kali dikalahkan oleh Encik Joko Widodo dalam pilihan raya sebelum ini, kini berada paling depan dalam tinjauan Lingkaran Survei Indonesia yang dikeluarkan pada Isnin, dengan mendapat kadar kelulusan 34.3 peratus.
Ini adalah lebih tinggi daripada 33.9 peratus yang diperolehinya dalam tinjauan pada Mei, apabila beliau buat kali pertamanya mendahului Gabenor Jawa Tengah, Encik Ganjar Pranowo.
Tinjauan terbaru itu menunjukkan Encik Prabowo, 71 tahun, kian mendapat sokongan menjelang pilihan raya presiden yang dijadualkan pada 14 Februari 2024, selepas mengekori Encik Ganjar lebih setahun.
Encik Ganjar, calon daripada parti memerintah Parti Demokratik Indonesia – Perjuangan (PDI-P), masih di tempat kedua dengan 32.7 peratus, diikuti mantan gabenor Jakarta, Encik Anies Baswedan.
“Mendahului tinjauan itu adalah hasil usaha penjenamaan semula yang beliau lakukan sepanjang setahun lalu, yang menyasarkan an milenial,” kata Encik D. Nicky Fahrizal, seorang penyelidik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpangkalan di Jakarta.
“Strategi rapat dengan Encik Jokowi bagi memanfaatkan populariti dan kejayaan pemimpin itu juga telah membuahkan hasil,” katanya.
Penggal kedua dan akhir Presiden Widodo bagi tamat hujung Oktober 2024.
Sedang demam pilihan raya semakin panas, pelabur memantau dengan teliti sama ada pentadbiran baru nanti akan meneruskan dasar-dasar utama Encik Widodo, termasuk penubuhan sebuah ibu kota baru yang bernilai AS$34 bilion ($45.6 bilion) dan menjadikan Indonesia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2045.
Encik Widodo sedang meletakkan dirinya sebagai broker kuasa di Indonesia buat beberapa dekad mendatang, menurut satu laporan agensi berita Bloomberg pada Jun. Dengan popularitinya sekarang paling tinggi, sokongan beliau bagi calon presiden baru sangat penting.
Terlibat dalam pemilihan Encik Ganjar sebagai calon partinya, orang-orang yang dekat dengan presiden itu telah membincangkan kemungkinan beliau menyokong menteri pertahanannya jika Encik Ganjar terkeluar sebelum pilihan raya pada Februari 2024.
Sepanjang sebulan lalu, Encik Widodo dan Encik Prabowo, bekas menantu mantan presiden Suharto, telah bertemu sekurang-kurangnya tiga kali. Semasa satu pertemuan jamuan tengah hari pada 18 Jun, Encik Widodo memberitahu media tempatan bahawa mereka membincangkan beberapa isu politik.
Selepas pertemuan pada 26 Jun di Istana Presiden pula, Encik Prabowo berkata: “Presiden bertanya tentang rancangan masa depan saya.”
Kedua-dua pemimpin itu tidak membuat sebarang ulasan tentang pertemuan tersebut.
Lingkaran Survei menjalankan tinjauan terbarunya dalam kalangan 1,200 responden di seluruh negara antara 30 Mei dan 12 Jun. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg