Topik diikuti
Pergi ke BHkuGabenor Kalimantan Timur mohon maaf isu perbelanjaan kerusi urut, akuarium
Gabenor Kalimantan Timur mohon maaf isu perbelanjaan kerusi urut, akuarium
Gabenor Kalimantan Timur mohon maaf isu perbelanjaan kerusi urut, akuarium
SAMARINDA: Gabenor Kalimantan Timur, Rudy Mas’ud, memohon maaf kepada orang ramai selepas dikritik hebat berhubung peruntukan Rp25 bilion rupiah (S$1.8 juta) bagi kerja pengubahsuaian kediaman rasmi, termasuk cadangan membeli kerusi urut dan membina akuarium air masin menggunakan dana pemerintah negeri.
Dalam satu kenyataan video yang dimuat naik di Instagram pada 27 April, Encik Rudy berkata projek pengubahsuaian itu tetap diteruskan kerana telah diluluskan oleh pentadbiran sebelumnya.
Namun, beliau menegaskan bahawa perbelanjaan bagi perkara kontroversi akan ditanggung menggunakan wang peribadi. “Sebagai gabenor, saya memahami kebimbangan masyarakat apabila melibatkan dasar dan kemudahan awam. Kritikan yang kuat menunjukkan keprihatinan rakyat terhadap wilayah yang kita cintai,” katanya.
“Saya tidak akan mencari alasan kerana ini adalah tanggungjawab saya. Saya akan menanggung sendiri kos bagi perkara yang tidak berkaitan dengan keperluan rasmi, termasuk kerusi urut dan akuarium air masin,” tambah beliau.
Isu itu mencetuskan kemarahan awam apabila ribuan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan pejabat gabenor pada 21 April lalu, menuntut siasatan terhadap dakwaan pembaziran serta kemungkinan salah guna dana awam.
Penunjuk perasaan menyifatkan perbelanjaan tersebut sebagai tidak wajar, terutama ketika banyak wilayah berdepan tekanan kewangan.
Encik Rudy, yang juga ahli parti Golkar, kini berdepan tekanan berterusan untuk memastikan pengurusan kewangan negeri lebih telus dan berhemah.
Ini bukan kali pertama beliau dikritik berhubung perbelanjaan mewah. Sebelum ini, Encik Rudy mencetuskan kontroversi apabila meluluskan pembelian kenderaan rasmi Range Rover bernilai 8.5 bilion rupiah. Keputusan itu akhirnya dibatalkan selepas mendapat bantahan meluas daripada orang ramai.
“Saya telah memutuskan untuk memulangkan kenderaan tersebut selepas mendengar dan mempertimbangkan pandangan rakyat Kalimantan Timur,” katanya dalam kenyataan terdahulu.
“Pemerintah yang baik adalah pemerintah yang mendengar dan berani membuat keputusan yang bijak,” tambahnya.
Kontroversi itu berlaku dalam konteks tekanan fiskal yang dihadapi kerajaan wilayah di seluruh Indonesia.
Pemerintah pusat telah mengurangkan pemindahan dana kepada wilayah sejak 2025 dan dasar tersebut diteruskan dalam belanjawan 2026, memaksa banyak pentadbiran tempatan mengetatkan perbelanjaan.
Keadaan ini menjadikan sebarang perbelanjaan besar, terutama yang dilihat tidak penting, lebih sensitif dalam kalangan masyarakat.
Encik Rudy memberi jaminan bahawa pentadbirannya akan terus memberi tumpuan kepada dasar yang meningkatkan kesejahteraan rakyat. “Kritikan yang membina akan menjadi dorongan untuk kami membina Kalimantan Timur yang lebih maju,” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Indonesia, Encik Ahmad Irawan, menggesa Kementerian Dalam Negeri menyemak semula peraturan lama berkaitan kemudahan rasmi pemimpin negeri bagi mengelakkan kontroversi serupa pada masa depan. “Piawaian perlu menekankan fungsi, kesesuaian dan kemampuan kewangan wilayah,” katanya. - Agensi berita
