Parlimen Indonesia tangguh rancangan tamatkan pemilihan langsung ketua daerah
Parlimen Indonesia tangguh rancangan tamatkan pemilihan langsung ketua daerah
JAKARTA: Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia memutuskan untuk menangguhkan rancangan meminda Undang-Undang Pilihan Raya Daerah pada 2026.
Ini susulan tentangan awam yang semakin meningkat terhadap cadangan untuk menamatkan sistem pemilihan langsung ketua daerah.
Cadangan itu sebelum ini dikaitkan dengan idea yang beberapa kali dibangkitkan oleh gabungan pemerintah pimpinan Presiden Prabowo Subianto untuk kembali kepada sistem lama era Orde Baru, yang mana gabenor, bupati (ketua daerah) dan datuk bandar dipilih oleh Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD), bukan melalui undi rakyat secara langsung, lapor The Jakarta Post.
Sokongan terhadap idea menamatkan pemilihan langsung dilaporkan semakin berkembang dalam kalangan parti propemerintah.
Namun, pemerhati dan aktivis prodemokrasi memberi amaran bahawa langkah tersebut berisiko melemahkan reformasi demokratik yang diperjuangkan sejak kejatuhan rejim autoritarian.
Mereka menegaskan bahawa sistem tidak langsung akan mengalihkan kuasa memilih daripada rakyat kepada elit politik.
Timbalan Speaker DPR, Encik Sufmi Dasco Ahmad, daripada Parti Gerindra, pada 20 Januari berkata bahawa Parlimen tidak bercadang membincangkan cadangan tersebut dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan bahawa pindaan Undang-Undang Pilihan Raya Daerah tidak termasuk dalam senarai Rang Undang-Undang keutamaan 2026.
“Setakat ini, DPR tidak mempunyai rancangan untuk membincangkan pindaan undang-undang tersebut.
“Idea yang berlegar di luar, sama ada ketua daerah perlu dilantik atau dipilih oleh DPRD, tidak dimasukkan dalam agenda dan tidak dipertimbangkan untuk dibahas,” kata Encik Dasco.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau menghadiri mesyuarat bersama Setiausaha Negara Encik Prasetyo Hadi dan pimpinan Suruhanjaya II DPR yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal dalam negeri.
Mesyuarat tersebut dihadiri wakil parti-parti pro-kerajaan serta seorang timbalan pengerusi daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), satu-satunya parti di DPR yang sebelum ini secara terbuka menolak cadangan kembali kepada sistem pemilihan tidak langsung.
Keputusan menangguhkan pindaan itu dibuat ketika bantahan awam semakin jelas.
Tinjauan pendapat terbaru oleh Litbang Kompas yang diterbitkan pada 12 Januari mendapati 77.3 peratus responden menyokong pengekalan pemilihan ketua daerah secara langsung.
Hampir separuh daripada mereka menyatakan demokrasi dan penyertaan awam sebagai sebab utama sokongan tersebut.
Encik Prasetyo pula menegaskan bahawa pemerintah tidak memulakan atau menyokong cadangan untuk mengembalikan sistem pemilihan tidak langsung.
Menurut beliau, pemerintah kekal terbuka untuk berdialog dan akan mempertimbangkan pandangan masyarakat serta parti politik.
“Mengikut arahan Presiden, keutamaan pemerintah adalah bertindak demi kepentingan negara. Walaupun parti-parti politik mempunyai pandangan berbeza, Presiden menekankan bahawa setiap keputusan mesti berkhidmat untuk rakyat dan negara,” katanya.
Dalam masa sama, tumpuan perbincangan antara DPR dan pemerintah kini beralih kepada rancangan menyemak semula undang-undang berkaitan pilihan raya secara lebih terhad.
Sebelum ini, terdapat cadangan untuk menyemak semua undang-undang pilihan raya serentak melalui kaedah omnibus, atau menggubal atau meminda beberapa undang-undang yang berkaitan secara serentak melalui satu rang undang-undang tunggal.
Namun Encik Dasco berkata bagi 2026, fokus akan diberikan kepada pindaan Undang-Undang Pemilihan Umum bagi menyelaraskan beberapa keputusan Mahkamah Perlembagaan yang masih belum dilaksanakan.
Antara keputusan penting yang dirujuk ialah keputusan pada 2024 yang membatalkan ambang pencalonan presiden oleh parti politik, serta keputusan pada 2025 yang memansuhkan ambang perolehan kerusi DPR dan mengarahkan pemilihan presiden serta pilihan raya daerah diadakan secara berasingan bermula 2029.
Encik Dasco turut menolak spekulasi bahawa pindaan itu akan membuka jalan kepada pengenalan semula pemilihan presiden secara tidak langsung.
“Presiden akan terus dipilih secara langsung oleh rakyat,” tegasnya.
Dengan penangguhan pindaan Undang-Undang Pilihan Raya Daerah, Pengerusi Suruhanjaya II DPR daripada Parti NasDem mengesahkan bahawa rancangan menggunakan kaedah omnibus untuk menyemak keseluruhan undang-undang sistem pilihan raya dan struktur politik telah digugurkan.
Namun, keputusan DPR itu tidak terlepas daripada kritikan.
Perkumpulan untuk Pilihan Raya Umum dan Demokrasi (Perludem) menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak konsisten, selepas berbulan-bulan Parlimen mengemukakan idea semakan menyeluruh.
Wakil Perludem, Encik Haykal, memberi amaran tentang kemungkinan cadangan pemilihan tidak langsung dihidupkan semula pada masa hadapan.
“Kami amat bimbang dengan amalan penggubalan undang-undang yang tidak telus, yang sering mengejutkan orang ramai apabila undang-undang dirangka secara tertutup, tergesa-gesa dan tanpa penyertaan awam yang bermakna,” katanya.
Buat masa ini, keputusan menangguhkan pindaan undang-undang tersebut memberi kelegaan kepada kumpulan pro-demokrasi. Namun, perbahasan mengenai masa depan sistem pemilihan ketua daerah di Indonesia dijangka terus menjadi isu sensitif yang akan menguji komitmen pemerintah dan Parlimen terhadap prinsip demokrasi. – Agensi berita.

