Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Shigeru Ishiba bakal Perdana Menteri Jepun setelah menang pemilihan parti LDP

Sep 27, 2024 | 3:22 PM
Bekas Menteri Pertahanan Jepun, Encik Shigeru Ishiba melambai ketika beliau dipilih sebagai ketua parti pemerintah yang baharu dalam undian kepimpinan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Tokyo, Jepun pada 27 September 2024 dan bakal menjadi Perdana Menteri Jepun seterusnya.
Bekas Menteri Pertahanan Jepun, Encik Shigeru Ishiba melambai ketika beliau dipilih sebagai ketua parti pemerintah yang baharu dalam undian kepimpinan Parti Liberal Demokratik (LDP) di Tokyo, Jepun pada 27 September 2024 dan bakal menjadi Perdana Menteri Jepun seterusnya. - Foto REUTERS

TOKYO: Encik Shigeru Ishiba, ahli politik veteran Jepun, dijangka menjadi Perdana Menteri Jepun yang seterusnya selepas memenangi pemilihan Parti Liberal Demokratik (LDP) pada Jumaat, 27 September. Ini merupakan percubaannya yang kelima dan terakhir untuk mengetuai parti tersebut.

Encik Ishiba berjaya mengatasi pesaingnya, Cik Sanae Takaichi, seorang nasionalis tegar, dalam pusingan akhir pemilihan yang dilihat sebagai antara yang paling tidak dapat dijangka dalam dekad-dekad terakhir ini. Pemilihan kali ini menyaksikan rekod sembilan calon bertanding untuk merebut jawatan tertinggi parti.

Sebagai ketua LDP, yang telah memerintah Jepun hampir keseluruhan tempoh selepas perang, Encik Ishiba secara automatik bakal menjadi Perdana Menteri kerana parti itu mempunyai majoriti dalam parlimen.

Pemilihan ini diadakan susulan pengumuman peletakan jawatan Perdana Menteri, Encik Fumio Kishida pada Ogos lalu. Encik Kishida memutuskan untuk berundur berikutan beberapa skandal yang menjatuhkan reputasi LDP kepada paras terendah dalam sejarah.

Encik Ishiba, yang kini memegang tampuk kepimpinan parti dalam keadaan krisis, perlu menangani kemarahan rakyat yang semakin tertekan dengan kos hidup yang tinggi. Beliau juga menghadapi cabaran mengendalikan situasi keselamatan di Asia Timur yang semakin tidak menentu, terutama dengan tindakan agresif China dan ancaman nuklear Korea Utara.

Dalam ucapan ringkas sebelum pusingan akhir pemilihan, Encik Ishiba menyeru agar Jepun menjadi sebuah negara yang lebih adil dan penuh belas kasihan. Beliau dilihat hampir menangis selepas keputusan akhir diumumkan.

Encik Ishiba, sering mencetuskan kontroversi dalam parti kerana sikapnya yang sering mencabar kepimpinan terdahulu. Ini adalah percubaannya yang kelima untuk mengetuai LDP, dan beliau telah menyatakan ini adalah cubaan terakhirnya.

Antara dasar progresif yang disokong oleh Encik Ishiba adalah mengubah undang-undang untuk membenarkan pasangan suami isteri menggunakan nama keluarga yang berbeza, suatu cadangan yang ditentang oleh Cik Takaichi dan kumpulan konservatif dalam LDP.

Pada usia 67 tahun, kejayaan Encik Ishiba dalam pemilihan ini meletakkan beliau di puncak parti yang telah menguasai politik Jepun selama tujuh dekad terakhir.

Namun, Encik Ishiba kini memimpin LDP dalam keadaan yang mencabar. Sokongan terhadap parti telah merosot berikutan pendedahan hubungan parti dengan sebuah gereja yang dikritik sebagai kultus dan skandal berhubung derma tidak direkodkan.

Sebagai bekas menteri pertahanan yang memulakan kerjaya politik pada tahun 1986, Encik Ishiba pernah dipinggirkan oleh Perdana Menteri Fumio Kishida dan menjadi suara pembangkang dalam parti.

Encik Ishiba juga berjanji untuk memindahkan beberapa kementerian keluar dari Tokyo bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di kawasan luar bandar Jepun. Beliau turut mencadangkan penubuhan agensi yang akan mengawasi pembinaan pusat perlindungan kecemasan di seluruh negara yang sering dilanda bencana.

Walaupun pandangannya yang tegas telah menyebabkan perselisihan dalam parti, Encik Ishiba berjaya meraih sokongan di kalangan ahli-ahli akar umbi yang setia kepadanya selama empat dekad berkhidmat dalam politik Jepun.

Encik Ishiba juga kekal relevan di mata umum menerusi penampilan di media, media sosial, serta saluran YouTube, di mana beliau membincangkan pelbagai isu, termasuk kadar kelahiran yang rendah di Jepun.

Dengan popularitinya di kalangan rakyat biasa, Encik Ishiba kini bersiap sedia untuk mengemudi Jepun dalam tempoh yang penuh cabaran ini. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg