Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gagal isytihar harta: Daim bakal didakwa 29 Jan

Jan 27, 2024 | 11:51 AM
AKAN KE MAHKAMAH: Siasatan ke atas Tun Daim Zainuddin, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.
AKAN KE MAHKAMAH: Siasatan ke atas Tun Daim Zainuddin, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Mantan Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di Malaysia pada 29 Januari, berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Tun Daim berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil kenyataannya pada 26 Januari.

“Semalam, pegawai SPRM telah merakam kenyataan daripada saya. Peguam saya telah dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada hari Isnin (29 Januari) atas kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang merupakan kesalahan yang berkaitan dengan pendedahan aset,” katanya.

Menurutnya, beliau bersedia menghadapi prosiding mahkamah.

Sementara itu, Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Tun Daim mengesahkan perkara itu.

Pada Rabu, SPRM mengesahkan mendapat kebenaran untuk mendakwa Tun Daim di mahkamah, namun terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan mantan Menteri Kewangan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata agensi antirasuah itu mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara sejak minggu lalu.

“Saya mengesahkan kami terima kelulusan untuk mendakwa Daim seminggu lalu, namun apabila pegawai kami memaklumkan perkara itu kepada peguamnya, mereka memberitahu beliau dimasukkan ke sebuah hospital swasta,” katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati Tun Daim, yang menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, dimasukkan ke hospital lebih awal sebelum pihaknya mendapat kelulusan untuk mendakwa, namun mereka tidak dimaklumkan mengenai alasan bekas menteri kanan itu menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 23 Januari atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta, termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebelum ini, Toh Puan Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Tun Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

SPRM turut menjelaskan siasatan ke atas Tun Daim berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora, iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut SPRM, kertas siasatan bagi kes itu dibuka pada Februari tahun lepas. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg