Gambar tahanan, klip fail dan ‘Tuhan sangat bangga’ warnai ucapan ulang tahun pentadbiran Trump
Gambar tahanan, klip fail dan ‘Tuhan sangat bangga’ warnai ucapan ulang tahun pentadbiran Trump
Trump: ‘Anda akan mengetahuinya’ apabila ditanya sejauh mana beliau sanggup bertindak untuk mendapatkan Greenland
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengadakan satu sidang media panjang pada 20 Januari, sempena setahun beliau kembali memegang jawatan presiden di Rumah Putih, yang dipenuhi pujian terhadap pencapaian sendiri, rungutan terhadap pengkritik, serta pelbagai kenyataan kontroversi berkaitan dasar imigresen, isu keselamatan dan hasratnya terhadap Greenland.
Berucap dari podium bilik taklimat Rumah Putih, Encik Trump menyampaikan monolog selama lebih sejam yang sering tersasar daripada mesej asal. Ucapannya melompat daripada isu jenayah dan serbuan imigresen, kepada Sungai Nil, Hadiah Keamanan Nobel, kumpulan motosikal Hells Angels, sehinggalah kepada dakwaan bahawa beliau tidak diberi pengiktirafan sewajarnya.
Pada satu ketika, Encik Trump mengangkat sebuah fail tebal yang menurutnya mengandungi senarai 365 pencapaian dalam 365 hari sejak beliau mengangkat sumpah bagi penggal keduanya pada 20 Januari tahun lalu. “Tuhan sangat berbangga dengan kerja yang telah saya lakukan,’’ katanya sambil memegang fail tersebut di hadapan wartawan.
Namun di sebalik nada kemenangan itu, ucapan Encik Trump turut dipenuhi keluhan. Beliau berulang kali mendakwa pentadbirannya tidak mendapat liputan adil, menyalahkan media yang digelarnya sebagai “berita palsu”, serta menghina lawan politik.
“Mungkin saya mempunyai pasukan perhubungan awam yang lemah, tetapi kejayaan kami tidak mendapat pengiktirafan,” katanya, sambil mendakwa pencapaiannya tidak dihargai.
Dalam ucapannya, Encik Trump sekali lagi mengulangi teori konspirasi lama, termasuk dakwaan palsu bahawa beliau memenangi pilihan raya presiden 2020 yang sebenarnya dimenangi oleh Demokrat, Joe Biden.
Sidang media itu diadakan beberapa jam sebelum Encik Trump berlepas ke Switzerland untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, di mana beliau dijadualkan bertemu pemimpin politik dan tokoh perniagaan global. Dalam konteks itu, beliau memberi bayangan bahawa ucapannya di Davos akan mempertahankan langkah agresifnya berhubung Greenland, wilayah autonomi milik sekutu Amerika, Denmark.
“Kita perlukan ia untuk keselamatan negara,” kata Encik Trump mengenai Greenland. “Keadaan akan berjalan dengan agak baik.” Namun apabila ditanya sejauh mana beliau sanggup bertindak untuk merealisasikan ancaman mengambil alih pulau besar itu, Encik Trump menjawab secara ringkas tetapi mengundang kegusaran sekutu. “Anda akan mengetahuinya,’’ katanya.
Jawapan ringkas itu, yang disampaikan selepas rentetan kenyataan panjang mengenai tahun pertama beliau kembali berkuasa, hadir ketika ancaman Encik Trump terhadap Greenland semakin menguji kestabilan hubungan Amerika Syarikat dengan sekutu-sekutu Eropahnya. Encik Trump menegaskan bahawa beliau yakin boleh mencapai perjanjian dan mendakwa penduduk Greenland yang sebelum ini menolak idea menyertai Amerika Syarikat akan “berasa teruja” selepas beliau bercakap dengan mereka.
Sementara itu, Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, dalam ucapannya di Switzerland, memberi amaran tentang “keretakan” dalam aturan dunia, satu isyarat jelas kepada kebimbangan sekutu terhadap pendekatan unilateral Encik Trump.
Encik Trump turut menolak cadangan Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, untuk mengadakan mesyuarat tergempar negara-negara Kumpulan Tujuh (G&). “Tidak,” katanya. “Saya tidak akan berbuat demikian.”
Nada ucapannya menjadi lebih suram apabila beliau memuji tindakan keras pentadbirannya terhadap pendatang yang berada di Amerika tanpa status sah yang dilaksanakan oleh ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE). Encik Trump turut mempamerkan gambar tangkapan penjenayah yang menurutnya ditahan di Minnesota, sebuah bandar yang kini tegang susulan penembakan seorang wanita oleh seorang ejen ICE di sana awal bulan ini, satu insiden yang mencetuskan bantahan besar dan perdebatan nasional mengenai cara penguatkuasaan imigresen oleh pemerintah persekutuan.
Beliau menyifatkan ejen ICE sebagai “patriot”, dan menuduh penunjuk perasaan yang membantah operasi tersebut sebagai penghasut berbayar. “Bagi saya, sesebuah bandar nampak lebih baik apabila ada anggota tentera,” katanya, sambil mempertahankan tindakan menghantar Pengawal Kebangsaan ke bandar-bandar yang ditadbir Demokrat. Encik Trump juga mendakwa, tanpa mengemukakan data, bahawa kadar jenayah menurun selepas kehadiran tentera di ibu negara Washington.
Dalam satu detik lain yang mencetuskan kecaman, Encik Trump mengeluarkan kenyataan menghina terhadap komuniti imigran Somalia, melabel mereka sebagai “orang yang mempunyai tahap kecerdasan yang sangat rendah” dan mengulangi dakwaan palsu bahawa Somalia bukan sebuah negara. Kenyataan itu dikaitkan dengan justifikasinya terhadap operasi imigresen di Minnesota, yang menurutnya bertujuan membanteras penipuan melibatkan program bantuan makanan persekutuan.
Encik Trump turut mengulangi dakwaan berlebihan bahawa beliau telah membantu menamatkan lapan peperangan luar negara, dan sekali lagi menyatakan kekecewaan kerana tidak dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel. Beliau malah mempersoalkan kenyataan pemerintah Norway bahawa ia tidak mengawal Yayasan Nobel.
Di luar Rumah Putih, sambutan ulang tahun setahun penggal kedua Encik Trump turut dicemari protes besar-besaran di seluruh Amerika Syarikat. Ribuan pekerja dan pelajar berarak di bandar-bandar utama dan kampus universiti bagi membantah dasar imigresen keras beliau.
Protes tercetus susulan kemarahan awam terhadap tindakan ejen persekutuan yang menyeret seorang wanita warga Amerika keluar dari keretanya sebelum seorang ibu berusia 37 tahun, Cik Renee Good, ditembak mati di Minneapolis dalam insiden beberapa minggu lalu.
Ratusan penunjuk perasaan berhimpun di Washington serta bandar-bandar kecil seperti Asheville, North Carolina, dengan laungan “Tiada ICE, Tiada KKK, Tiada Amerika Syarikat fasis” - sebuah slogan yang mencerminkan penolakan terhadap tindakan keras penguat kuasa imigresen, kelompok Ku Klux Klan (KKK) yang terkenal sebagai kumpulan ekstremis berhaluan kanan yang mengamalkan diskriminasi dan keganasan, serta penentangan terhadap apa yang mereka anggap sebagai negara yang “fasis”. - Agensi berita

