Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan bekalan elektrik di Hospital Kamal Adwan Gaza ancam nyawa pesakit

Dec 9, 2024 | 4:36 PM
Serangan tentera Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, utara Gaza, pada 6 Disember menyebabkan sebahagian bekalan elektrik dan airnya terputus.
Serangan tentera Israel ke atas Hospital Kamal Adwan di Beit Lahia, utara Gaza, pada 6 Disember menyebabkan sebahagian bekalan elektrik dan airnya terputus. - Foto AFP

JALURAN GAZA: Pengarah Hospital Kamal Adwan di utara Gaza berkata pada 8 Disember bahawa nyawa lebih 100 pesakit berada dalam bahaya selepas bekalan elektrik, oksigen dan air terputus.

Encik Hossam Abu Safiyeh berkata serangan dan pengeboman Israel baru-baru ini merosakkan hospital itu dengan teruk dan memotong bekalan air dan elektrik ke sebahagian besar kemudahan tersebut.

“Disebabkan gangguan bekalan elektrik dan air berterusan, kami merayu kepada masyarakat antarabangsa supaya tampil membantu.

“Keadaan ini amat berbahaya. Kami mempunyai pesakit di Unit Jagaan Rapi (ICU) dan yang lain menunggu pembedahan.

“Akses ke bilik bedah hanya boleh dilakukan selepas bekalan elektrik dan oksigen dipulihkan,” rayu beliau.

Encik Abu Safiyeh berkata hospital itu ketika ini mempunyai 112 pesakit yang cedera, termasuk enam dalam ICU dan 14 kanak-kanak.

Serangan berterusan berhampiran hospital itu “menghalang kami daripada melakukan pembaikan”, tambahnya.

Israel pada 6 Disember berkata ia beroperasi di sekitar kemudahan itu tetapi tidak menembak secara langsung ke hospital.

Kamal Adwan terletak di Beit Lahia, sebuah bandar di tengah-tengah operasi ketenteraan Israel yang bertujuan menghalang Hamas daripada berkumpul semula di utara Gaza.

Hospital itu adalah salah satu kemudahan perubatan terakhir yang masih beroperasi di utara wilayah itu.

Wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di wilayah Palestin, Dr Rik Peeperkorn, berkata hospital itu beroperasi pada tahap “minimum”.

Perang di Gaza dicetuskan oleh serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mengakibatkan kematian 1,208 orang, kebanyakannya orang awam.

Hamas turut menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan tentera Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 44,708 orang, kebanyakannya orang awam, menurut angka daripada kementerian kesihatan wilayah itu, yang dianggap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai boleh dipercayai.

Wilayah Palestin yang hampir musnah itu dilanda masalah kekurangan makanan akibat bantuan kemanusiaan disekat atau semakin kurang disalurkan ke sana.

Hospital yang masih beroperasi juga menghadapi masalah kekurangan ubat-ubatan dan peralatan perubatan untuk merawat pesakit yang cedera akibat perang. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg