Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hospital ranap dalam serangan Israel di utara Gaza

Lebih 40 rakyat Palestin maut termasuk pegawai perubatan dan dua wartawan
Nov 1, 2024 | 3:23 PM
Bekalan perubatan yang terbakar berselerak di dalam bilik simpanan Hospital Kamal Adwan di Beit Lahya, utara Jaluran Gaza, yang terkena peluru serangan udara Israel pada 31 Oktober. 
Bekalan perubatan yang terbakar berselerak di dalam bilik simpanan Hospital Kamal Adwan di Beit Lahya, utara Jaluran Gaza, yang terkena peluru serangan udara Israel pada 31 Oktober.  - Foto AFP

KAHIRAH: Sekurang-kurangnya 46 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan tentera Israel di serata Jaluran Gaza pada 31 Oktober, kebanyakannya di utara yang turut menjejas sebuah hospital, membakar bekalan perubatan dan mengganggu operasi, kata pegawai kesihatan wilayah itu.

Tentera Israel menuduh kumpulan Palestin Hamas menggunakan Hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya untuk tujuan ketenteraan dengan berpuluh-puluh anggotanya dikatakan bersembunyi di sana.

Namun, Pegawai Kesihatan Palestin dan Hamas menafikan tuduhan itu.

Pada hari yang sama, serangan udara Israel ke atas dua rumah di kem Nuseirat di tengah Gaza, telah mengorbankan sekurang-kurangnya 16 rakyat Palestin, kata pegawai perubatan di Hospital Al-Awda di kem pelarian itu.

Mangsa yang maut termasuk seorang paramedik dan dua wartawan tempatan, tambah mereka.

Tentera Israel, yang sebelum ini mendakwa ia telah membongkar prasarana pemerintahan Hamas di utara Gaza, menyatakan kawasan berkenaan kini menjadi tumpuan serangannya.

Pada awal Oktober, tentera Israel telah mengerahkan kereta kebal ke Jabalia, Beit Hanoun dan Beit Lahiya untuk mengusir anggota Hamas yang dikatakan telah berkumpul semula di kawasan tersebut.

Pengarah kejururawatan di Hospital Kamal Adwan, Encik Eid Sabbah, yang berada di Beit Lahiya, menyatakan beberapa kakitangannya mengalami lecur kecil selepas serangan Israel melanda tingkat tiga hospital tersebut.

Tiada laporan mengenai sebarang kemalangan jiwa di hospital itu, yang diserang tentera Israel dan diduduki sementara.

Tentera Israel juga berkata ia telah menawan kira-kira 100 orang yang disyaki anggota Hamas dalam serbuan itu.

Kereta kebal Israel masih ditempatkan di kawasan berdekatan.

Kementerian kesihatan di Jaluran Gaza yang dikendalikan Hamas menyeru semua badan antarabangsa “supaya melindungi hospital dan kakitangan perubatan daripada kekejaman dan pendudukan Israel”.

Tentera Israel mendakwa pasukannya beroperasi di kawasan hospital berdasarkan risikan mengenai kehadiran anggota Hamas dan prasarana mereka di sekitarnya.

“Semasa operasi itu, berpuluh-puluh anggota didapati bersembunyi di hospital, malah ada yang menyamar sebagai kakitangan hospital,” kata pihak tentera dalam satu kenyataan selepas serangan pada 31 Oktober.

Badan amal perubatan, Medecins Sans Frontieres (MSF), berkata salah seorang kakitangannya di hospital itu, Dr Mohammed Obeid, telah ditahan pada 26 Oktober oleh tentera Israel.

Beliau memohon agar perlindungan diberikan kepada Dr Obeid dan semua kakitangan perubatan yang “menghadapi keganasan yang mengerikan ketika mereka menjalankan tugas memberi rawatan”.

Perang Gaza meletus selepas kumpulan Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas dan berterusan Israel ke atas Gaza sehingga kini telah membunuh lebih 43,000 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

Perang juga menyebabkan wilayah Palestin itu dilanda masalah kebuluran dek kurangnya bantuan kemanusiaan memasuki Gaza, kata pihak berkuasa Palestin. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg