Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kekurangan bahan api cetus kebimbangan hospital di Gaza

PBB beri amaran penghantaran bantuan ke wilayah yang musnah akibat perang semakin terhalang dek sekatan Israel
Nov 23, 2024 | 3:38 PM
Orang awam yang cedera dilihat terbaring di atas tilam di hospital Kamal Adwan, di Jabalia, utara Jalur Gaza, pada 26 Oktober.
Orang awam yang cedera dilihat terbaring di atas tilam di hospital Kamal Adwan, di Jabalia, utara Jalur Gaza, pada 26 Oktober. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada 22 November bahawa bahan api di hospital mereka hanya cukup untuk dua hari lagi, sebelum mereka terpaksa mengehadkan perkhidmatan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberi amaran bahawa penghantaran bantuan ke wilayah yang musnah akibat perang itu semakin terhalang, dek sekatan Israel.

Amaran itu dikeluarkan sehari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu dan mantan menteri pertahanan, Encik Yoav Gallant – lebih setahun selepas perang ke atas Gaza bermula.

PBB dan pihak lain telah berulang kali mengutuk keadaan kemanusiaan, terutamanya di utara Gaza.

Petugas perubatan Gaza berkata serangan udara Israel pada waktu malam di kawasan Beit Lahia dan Jabalia mengakibatkan kematian dan kehilangan puluhan orang awam.

Dr Marwan al-Hams, pengarah hospital lapangan Gaza, berkata kepada wartawan bahawa dalam masa 48 jam, semua hospital di wilayah itu tidak akan dapat beroperasi atau hanya dapat beroperasi pada kadar terhad, kerana Israel telah menyekat kemasukan bahan api.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata beliau “amat bimbang tentang keselamatan dan kesejahteraan 80 pesakit, termasuk lapan yang berada dalam unit rawatan rapi (ICU)“ di hospital Kamal Adwan, salah satu daripada dua hospital yang masih beroperasi di utara Gaza.

Pengarah Hospital Kamal Adwan, Dr Hossam Abu Safia, memberitahu AFP bahawa hospital itu “dibedil oleh serangan artileri Israel dengan sengaja” pada 22 November, yang mengakibatkan “seorang doktor dan beberapa pesakit cedera”.

Pada 21 November, penyelaras kemanusiaan PBB untuk wilayah Palestin, Encik Muhannad Hadi, berkata bahawa pihak berkuasa Israel “telah menyekat import komersial” lebih daripada enam minggu, sementara “peningkatan dalam serangan perampasan bersenjata” telah mengganggu konvoi bantuan.

Berikrar untuk menghalang Hamas daripada membina kekuatan mereka semula, Israel telah memulakan operasi udara dan darat di Jabalia sejak 6 Oktober, dan kemudian memperluaskannya ke Beit Lahia.

Menurut kementerian kesihatan Gaza, operasi tersebut telah membunuh ribuan orang awam, dan PBB berkata ia mengakibatkan lebih 100,000 orang hilang tempat tinggal, dan berhadapan dengan kelaparan yang teruk.

Pada 21 November, ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu dan Encik Gallant, kerana mempunyai “bukti yang kukuh” yang menunjukkan penglibatan mereka dalam jenayah peperangan dan jenayah terhadap kemanusiaan – menyekat makanan, air, elektrik, bahan api, dan bekalan perubatan orang awam.

Encik Netanyahu menolak dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai “mengarut” dan “palsu”.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, mengatakan waran itu “melampau”, manakala Perdana Menteri Ireland, Encik Simon Harris, berkata mereka akan menangkap Encik Netanyahu jika beliau memasuki Ireland.

Sekurang-kurangnya 44,056 orang telah terbunuh di Gaza sepanjang lebih 13 bulan peperangan, kebanyakannya orang awam, menurut anggaran kementerian kesihatan Gaza yang turut diyakini PBB. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg