MEDAN: Gangguan bekalan elektrik berulang di beberapa wilayah Indonesia sejak beberapa hari lalu bukan sahaja menjejaskan kehidupan harian penduduk, malah mencetuskan krisis bekalan air bersih, mengganggu peperiksaan penting serta dikaitkan dengan beberapa insiden kematian.

Kejadian itu turut mencetuskan kemarahan rakyat terhadap syarikat elektrik milik negara, Perusahaan Listrik Negara atau PLN, apabila gangguan berpanjangan terus berlaku di Sumatera Utara dan beberapa kawasan di Pulau Jawa.

Gangguan elektrik di Sumatera Utara bermula sejak 4 Jun selepas 12 menara penghantaran elektrik PLN rosak akibat hujan lebat dan angin kencang.

PLN pada awalnya menjangka bekalan pulih pada 10 Jun, namun kemudian memaklumkan pemulihan penuh hanya dijangka selesai pada 14 Jun ini.

Di Medan, krisis elektrik kini menyebabkan gangguan besar kepada bekalan air bersih selepas beberapa mesin utama milik syarikat air wilayah, PDAM Tirtanadi, rosak akibat pemadaman elektrik berjadual.

Pengarah Utama PDAM Tirtanadi, Encik Ardian Surbakti, berkata kerosakan itu menjejas operasi rawatan dan pengagihan air bersih kepada ribuan penduduk.

“Kerosakan mesin memberi kesan serius terhadap keupayaan kami menghasilkan dan mengagihkan air bersih,” katanya.

Gangguan air kini menjejaskan tujuh daripada 21 daerah di Medan termasuk Medan Amplas, Medan Kota dan Medan Maimun.

Sebagai langkah kecemasan, pihak berkuasa menghantar lori tangki air bersih ke kawasan terjejas bagi memenuhi keperluan penduduk.

Namun ramai penduduk berkata bantuan itu masih tidak mencukupi.

Encik Jefri Hidayat, penduduk Medan Denai, berkata keluarganya sudah beberapa hari hidup tanpa bekalan elektrik dan air.

“Bekalan elektrik masih belum pulih sepenuhnya, sekarang air pula terputus. Kehidupan semakin susah,” katanya.

Krisis itu turut membawa tragedi apabila sepasang suami isteri ditemui maut di dalam kereta berhawa dingin di Medan selepas dipercayai tidur di dalam kenderaan ketika gangguan elektrik berlaku.

Polis sedang menyiasat kejadian itu, namun siasatan awal menunjukkan pasangan berkenaan mungkin meninggal dunia akibat keracunan karbon monoksida.

Gangguan elektrik turut berlaku di beberapa kawasan di Jawa termasuk Bekasi, Bogor, Sukabumi, Semarang dan Yogyakarta.

Di Sukabumi, seorang murid sekolah rendah terpaksa menarik diri daripada Olimpiad Sains Nasional (OSN) secara dalam talian selepas bekalan elektrik terputus ketika peperiksaan berlangsung.

Nadia Putri Muda Paramita, murid Tahun Lima, berkata dia amat sedih kerana sudah membuat persediaan selama enam bulan.

Video Nadia menangis selepas kejadian itu tular di media sosial dan menerima simpati ramai warga maya.

Di Bogor pula, seorang penduduk dikenali sebagai Nawir kehilangan lima ikan koi peliharaannya selepas sistem pengudaraan akuarium terhenti akibat gangguan elektrik selama lima jam.

“Saya sudah cuba sedaya upaya, tetapi ikan itu tidak dapat diselamatkan kerana tiada oksigen,” katanya kepada Kompas.com.

Beliau turut mengkritik PLN kerana didakwa gagal memberi notis awal kepada pengguna.

“Kalau pelanggan buat silap, kami didenda atau bekalan dipotong. Tetapi apabila mereka buat silap, tiada apa berlaku. Itu tidak adil,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Reformasi Perkhidmatan Asas (IESR), Encik Fabby Tumiwa, berkata rakyat memerlukan penjelasan telus daripada kementerian tenaga dan PLN mengenai tahap kebolehpercayaan sistem elektrik negara.

“Situasi ini menunjukkan kelemahan sistem kawal selia dalam memastikan kestabilan grid elektrik nasional,” katanya.

Jurucakap Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Cik Dwi Anggia, berkata gangguan di beberapa kawasan Jawa berpunca daripada masalah teknikal prasarana PLN dan bukan disebabkan kekurangan bekalan arang batu.

“Kami terus berkoordinasi dengan PLN untuk memperbaiki prasarana supaya gangguan sama tidak berulang,” katanya.

Kemarahan rakyat semakin memuncak apabila sebuah lori tangki Jabatan Bomba Medan dilihat mengisi air di rumah seorang pegawai pemerintah yang juga bapa saudara Gabenor Sumatera Utara, Encik Bobby Nasution.

Penduduk mendakwa berlaku pilih kasih ketika pengagihan bantuan air bersih sedangkan ramai keluarga biasa masih terputus bekalan.

“Kami tiada air sejak malam tadi, tetapi rumah pegawai dapat bantuan dahulu,” kata seorang penduduk dikenali sebagai Cik Marni.

Datuk Bandar Medan, Encik Rico Waas, kemudian mengarahkan semua pegawai daerah memantau pengagihan air bersih agar setiap penduduk terjejas menerima bantuan sewajarnya.

Bagaimanapun ramai penduduk terus menuntut pampasan selepas mengalami kerugian besar akibat gangguan elektrik dan air yang berpanjangan.

“Lampu tiada, air tiada, dan rakyat terus menanggung kerugian,” kata seorang peniaga tempatan, Encik Fadli. – Agensi berita.