GAZA: Selama 34 jam, sebahagian besar daripada lebih 2 juta rakyat Palestin yang tinggal di Jaluran Gaza terputus hubungan bukan saja dengan dunia luar, malah antara satu sama lain.
Mereka tidak mempunyai cara untuk mengetahui sama ada orang yang mereka sayangi masih hidup atau mati. Talian telefon kecemasan berhenti berdering. Paramedik yang terdesak cuba menyelamatkan orang ramai dengan memandu ke arah bunyi letupan. Orang yang cedera dibiarkan mati di jalanan.
Pada Jumaat ketika matahari terbenam, tiga minggu selepas kempen pengeboman Israel di Gaza – dan ketika rakyat Palestin bersiap sedia untuk menghadapi serangan darat Israel – perkhidmatan telefon dan Internet tiba-tiba terputus.
Dua pegawai Amerika Syarikat yang tidak mahu nama mereka disiarkan kerana sensitiviti isu itu, berkata bahawa mereka percaya Israel bertanggungjawab atas masalah terputusnya komunikasi di Gaza.
Panik melanda seluruh wilayah itu.
“Saya merasakan bahawa saya telah menjadi buta dan pekak, tidak dapat melihat atau mendengar,” kata Encik Fathi Sabbah, seorang wartawan yang berpangkalan di Gaza, menulis di profil Facebooknya pada Ahad, selepas perkhidmatan telefon dan Internet disambung kembali.
Hamas – kumpulan bersenjata yang memerintah Gaza – menceroboh pagar sempadan pada 7 Oktober dan membunuh kira-kira 1,400 orang di selatan Israel dan menawan lebih 220 tebusan.
Israel bertindak balas dengan pengeboman udara ke atas Jalur Gaza yang menyaksikan lebih 8,000 orang terkorban sejauh ini.
Sejak itu, penduduk Gaza berkata mereka hidup dalam mimpi ngeri kerana tentera Israel telah memutuskan bekalan elektrik, air dan perubatan ketika ia menghujani wilayah itu dengan pengeboman udara dan artileri tanpa henti.
Encik Ahmed Yousef, seorang penjawat awam berusia 45 tahun yang tinggal di bandar Deir El Balah, berkata: “Kehilangan komunikasi ternyata jauh lebih buruk daripada pemotongan bekalan air dan elektrik,” katanya.
Beliau bukan sahaja tidak dapat menghubungi saudara-mara dan rakan-rakannya, tetapi juga tidak dapat menghubungi orang yang menjual air kepadanya atau orang yang dibayarnya untuk membelikannya roti.
Sangkanya ganguan perkhidmatan telefon dan Internet itu hanyalah sementara tetapi pemadaman menjejas hampir keseluruhan peralatan yang menggunakan elektrik daripada sistem panel solar untuk menonton Al Jazeera, rangkaian televisyen satelit Arab yang menghubungkannya dengan dunia luar.
Perkhidmatan tersebut disambung semula secara spontan pada 4 pagi Ahad, kata Encik Abdulmajeed Melhem, ketua eksekutif Paltel Group, syarikat telekomunikasi utama Palestin.
Syarikat itu tidak membuat sebarang kerja-kerja pembaikan dan tidak memahami bagaimana atau mengapa perkhidmatan telah dikembalikan sebahagiannya, kata beliau.
Beliau percaya bahawa Israel bertanggungjawab atas gangguan dan pemulihan itu. Pegawai Israel setakat ini enggan mengulas mengenai tuduhan bahawa mereka sengaja menyebabkan pemotongan itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg