Topik diikuti
Pergi ke BHkuGangguan teknologi cetus kebimbangan, Trump dakwa semua ‘baik-baik sahaja’
Gangguan teknologi cetus kebimbangan, Trump dakwa semua ‘baik-baik sahaja’
WASHINGTON: Gangguan teknologi yang melumpuhkan perkhidmatan e-mel bagi banyak syarikat di Amerika Syarikat serta menyebabkan ribuan penerbangan terkandas sejak beberapa hari lalu, turut menjejas Agensi Keselamatan Negara Amerika (NSA) pada 17 November.
Masalah terbaharu itu timbul ketika pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, giat berusaha meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan kewujudan masalah lebih luas.
Dalam satu kenyataan, NSA memaklumkan rangkaiannya mengalami “gangguan sementara” semasa kerja penyenggaraan rutin, namun menegaskan bahawa “keupayaan misi kritikal” kekal beroperasi sepenuhnya.
Siri gangguan terhadap sistem kritikal itu – yang turut menjejas sistem perbankan pada 16 November – menyebabkan segelintir sekutu Encik Trump sendiri tampil menuntut penjelasan lanjut.
“Jika semua ini hanyalah satu kebetulan, ia ibarat kebetulan terbesar dalam sejarah dunia,” kata Senator Josh Hawley, wakil Republikan dari Missouri, kepada media.
Encik Trump sebelum ini cuba meremehkan kejadian berkenaan yang mencetuskan persoalan sama ada pihak pemerintah dan sektor swasta bertindak terlalu terburu-buru dalam mengurangkan kakitangan teknologi mereka.
“Adalah lumrah apabila anda besar dan berkuasa, serta memiliki segala wang. Perkara seperti itu memang berlaku. Semuanya baik-baik sahaja,” kata Encik Trump kepada media di Manila, lokasi beliau menghadiri persidangan ekonomi Asean.
Setiausaha Negara Amerika merangkap penasihat keselamatan negara, Encik Marco Rubio, mengakui kejadian berkenaan “membimbangkan” namun menegaskan ia langsung tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.
“Kami tidak berada di bawah serangan yang mempengaruhi seluruh sistem,” katanya kepada media di Manila.
“Kami langsung tidak mempunyai bukti atau sebarang sebab untuk mempercayai bahawa mana-mana kejadian terpencil atau berasingan ini ada kaitan dengan pihak berniat jahat, penggodam siber, penjenayah, negara asing lain, mahupun mana-mana pelaku jahat,” tambah Encik Rubio.
Gangguan berkaitan teknologi berlaku setiap hari bekerja sejak 12 November lalu, apabila gangguan pada sistem Microsoft menjejas banyak perkhidmatannya, termasuk perkhidmatan e-mel.
Keesokan harinya, Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengarahkan larangan berlepas yang berlarutan selama 4 jam 30 minit – penangguhan perjalanan udara Amerika yang paling lama sejak serangan 11 September 2001.
Rentetan gangguan itu turut merangkumi kegagalan teknologi syarikat penerbangan United Airlines pada 16 November yang menyebabkan kira-kira 150 penerbangan tertunda, pada hari yang sama masalah perisian di JPMorgan Chase menjejas beberapa perkhidmatan perbankannya.
Pada 17 November, Apple memaklumkan pihaknya sedang berusaha memulihkan semula sistemnya selepas satu kemas kini dalaman menyebabkan gangguan menjejas perkhidmatan pelanggan, termasuk iCloud dan Apple Pay.
Masalah itu bagaimanapun bukan berpunca daripada serangan siber, kata Apple.
Para pakar meluahkan kebimbangan bahawa alat kecerdasan buatan (AI) kini memacu lonjakan kegiatan siber, dengan syarikat keselamatan siber kerap mendapati penggodam menggunakannya untuk melancarkan puluhan pencerobohan secara serentak.
Rentetan gangguan teknologi berkenaan berkemungkinan besar berpunca daripada masalah yang timbul semasa kerja naik taraf sistem, kata Pengarah Perisikan Negara Amerika, Encik Jay Clayton, dalam satu temu bual bersama Fox Business, pada 17 November.
“Kami tidak melihat petanda berlakunya serangan siber yang diselaraskan... Dan kami juga tidak melihat petanda kegiatan yang ditaja negara asing di sini. Kami agak yakin mengenai perkara itu,” kata Encik Clayton. – Reuters.