Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gaza: Bantahan di universiti AS memuncak

Apr 23, 2024 | 12:35 PM
Para mahasiswa Universiti Columbia, Amerika Syarikat, adakan tunjuk perasaan sebagai menyokong rakyat Palestin pada 22 April.
Para mahasiswa Universiti Columbia, Amerika Syarikat, adakan tunjuk perasaan sebagai menyokong rakyat Palestin pada 22 April. - Foto Reuters

NEW YORK: Kelas di Universiti Columbia dialihkan secara dalam talian pada 22 April apabila protes terhadap perang Israel-Hamas meningkatkan ketegangan di kampus Amerika Syarikat dan menyaksikan penahanan berpuluh-puluh orang di Universiti Yale.

Sekumpulan besar penunjuk perasaan telah menubuhkan “Perkhemahan Solidariti Gaza” di padang sekitar Universiti Columbia, dengan beberapa pelajar Yahudi di institusi berprestij New York itu melaporkan ugutan dan anti-Semitisme di tengah-tengah bantahan selama beberapa hari.

Dalam surat terbuka kepada komuniti universiti, presiden Universiti Columbia, Encik Nemat Shafik berkata, sejak beberapa hari lalu, terdapat terlalu banyak perbuatan yang menakutkan dan mengganggu di kampus universiti tersebut.

“Kekata anti-Semitik, seperti mana-mana bahasa lain yang digunakan untuk menyakiti dan menakutkan orang, tidak boleh diterima dan tindakan sewajarnya akan diambil.

“Untuk mengurangkan dendam dan mempertimbangkan langkah seterusnya, saya mengumumkan bahawa semua kelas akan diadakan secara maya,” tambahnya.

Penunjuk perasaan pro-Palestin memulakan bantahan mereka minggu lalu, menggesa universiti itu menghindari syarikat yang mempunyai hubungan dengan Israel.

Lebih 100 daripada mereka ditahan selepas pihak berkuasa universiti memanggil polis pada 18 April - satu langkah yang telah meningkatkan ketegangan dan mencetuskan kehadiran lebih ramai peserta protes.

Cik Mimi Elias, seorang pelajar fakulti kerja sosial yang ditangkap, memberitahu media pada 22 April: “Kami akan terus berada di sini sehingga mereka bercakap dengan kami dan mendengar tuntutan kami.

“Kami tidak mahu anti-Semitisme atau Islamofobia. Kami berada di sini untuk pembebasan semua.”

Encik Joseph Howley, profesor bersekutu di Universiti Columbia, berkata universiti itu telah menggunakan cara salah dengan melibatkan polis, yang telah menarik “elemen lebih radikal yang bukan sebahagian daripada protes pelajar kami”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg