Topik diikuti
Pergi ke BHkuGaza lancar pelan kecemasan robohkan 255 bangunan berisiko runtuh
Langkah bertujuan tangani bahaya bangunan runtuh bila-bila masa, selepas beberapa kejadian bangunan roboh ragut nyawa penduduk yang berlindung di dalamnya
Gaza lancar pelan kecemasan robohkan 255 bangunan berisiko runtuh
BANDAR GAZA: Pihak berkuasa Gaza melancarkan pelan kecemasan untuk mengosongkan dan merobohkan 255 bangunan yang rosak akibat perang dan dianggap berisiko runtuh.
Ini selepas beberapa kejadian bangunan roboh meragut nyawa penduduk yang berlindung di dalamnya.
Pejabat Media Pemerintah Gaza berkata pada 20 September bahawa pelan itu diketuai Kementerian Kerja Raya dan Perumahan dengan kerjasama beberapa kementerian dan agensi pemerintah, selain badan antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Langkah itu bertujuan menangani bahaya segera daripada bangunan yang boleh runtuh sepenuhnya pada bila-bila masa, terutama struktur yang masih didiami keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
Pelan tersebut diumumkan beberapa hari selepas bangunan Al-Saada di Bandar Gaza runtuh pada 16 September, mengorbankan 21 penduduk Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita.
Bangunan berbilang tingkat itu sebelum ini mengalami kerosakan akibat serangan Israel, tetapi terus didiami beberapa keluarga kerana mereka tidak mempunyai tempat perlindungan lain.
Kejadian itu menonjolkan satu lagi ancaman terhadap penduduk Gaza selepas hampir tiga tahun perang – risiko daripada ribuan bangunan yang mengalami kerosakan struktur, tetapi masih menjadi tempat tinggal penduduk akibat kekurangan perumahan.
Di bawah pelan kecemasan terbaru itu, jabatan berkaitan diarahkan segera memulakan proses mengosongkan bangunan yang dikenal pasti berbahaya.
Notis akan dikeluarkan kepada pemilik dan penghuni supaya meninggalkan bangunan terbabit, manakala papan tanda amaran akan dipasang bagi menghalang orang ramai daripada menghampiri struktur yang berisiko runtuh.
Pihak berkuasa juga akan berusaha menyediakan tempat perlindungan sementara kepada keluarga yang terpaksa berpindah.
Jawatankuasa teknikal pemerintah sedang menjalankan pemeriksaan di lapangan bagi menilai keadaan bangunan rosak, serta mengenal pasti keluarga yang masih tinggal di dalamnya.
Kementerian Pembangunan Sosial pula menjalankan pemeriksaan di beberapa kawasan dan mengenal pasti puluhan keluarga yang perlu dipindahkan.
Pelaksanaan pelan itu melibatkan Kementerian Kerja Raya dan Perumahan, Kementerian Pembangunan Sosial dan Kementerian Pemerintah Tempatan, selain pasukan Pertahanan Awam serta polis Palestin.
Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata operasi itu berdepan beberapa halangan besar.
Antaranya ialah kekurangan dana serta jentera berat dan peralatan yang diperlukan untuk merobohkan bangunan dengan selamat.
Kekurangan tanah yang sesuai untuk menempatkan keluarga yang dipindahkan turut menyukarkan operasi.
Sebahagian keluarga juga dilaporkan enggan meninggalkan bangunan berbahaya kerana tidak mempunyai pilihan tempat tinggal yang sesuai.
Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Gaza berkata pada 16 September bahawa kira-kira 3,000 bangunan telah diklasifikasikan sebagai berbahaya atau berisiko runtuh akibat kerosakan yang dialami sepanjang perang.
Anggaran mengenai jumlah bangunan yang menghadapi risiko segera berbeza antara agensi.
Pertahanan Awam Gaza, misalnya, menganggarkan kira-kira 2,000 bangunan rosak masih didiami keluarga, manakala pegawai PBB turut memberi amaran mengenai ratusan struktur yang menghadapi risiko tinggi untuk runtuh.
Keadaan itu memaksa ribuan penduduk Palestin membuat pilihan sukar antara tinggal di khemah yang sesak dan tidak sesuai atau kembali ke rumah dan bangunan yang rosak.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, 61 penduduk Palestin telah terbunuh dalam kejadian bangunan rosak akibat perang yang kemudiannya runtuh.
Risiko itu dijangka meningkat apabila musim sejuk menghampiri kerana hujan boleh memburukkan lagi keadaan bangunan yang dinding, asas dan struktur sokongannya sudah lemah.
Masalah perumahan terus berlarutan meskipun gencatan senjata antara Israel dengan Hamas berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025.
Sejak itu, beberapa bangunan yang rosak akibat perang dilaporkan runtuh ketika masih didiami keluarga yang tidak mempunyai tempat tinggal alternatif.
Badan bantuan dan pegawai Palestin berkata sekatan Israel terhadap kemasukan bahan binaan, unit kediaman pasang siap dan beberapa jenis peralatan berat mengekang usaha menyediakan tempat perlindungan serta membersihkan runtuhan.
Israel berkata sekatannya terhadap peralatan tertentu bertujuan menghalangnya daripada jatuh ke tangan kumpulan bersenjata.
PBB menganggarkan perang itu menghasilkan kira-kira 61 juta tan runtuhan dan serpihan di Gaza, yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun untuk dibersihkan.
Pejabat Media Pemerintah Gaza menyeru media, pemimpin masyarakat, pertubuhan awam dan keluarga supaya bekerjasama dengan pasukan di lapangan bagi mempercepat pemindahan penghuni bangunan berbahaya.
Jawatankuasa bantuan Mesir pula dilaporkan menyatakan kesediaan menyediakan pengangkutan untuk membawa keluarga terjejas dari bangunan berisiko ke pusat perlindungan yang ditetapkan.
Bagi pihak berkuasa Gaza, keutamaan segera kini adalah memastikan penduduk meninggalkan bangunan yang paling berbahaya sebelum berlaku lebih banyak kejadian runtuhan, sementara usaha mendapatkan tempat perlindungan dan peralatan berat diteruskan. – Agensi berita.
