GAZA: Keputusan Hamas membubarkan badan pentadbiran awam yang mentadbir Gaza sejak hampir dua dekad dilihat sebagai langkah politik penting untuk menghidupkan semula proses damai, namun penganalisis menegaskan tindakan itu belum menyelesaikan isu paling kritikal, iaitu pelucutan senjata kumpulan berkenaan.

Pengumuman dibuat Hamas pada 6 Julai lalu menyaksikan jawatankuasa pentadbiran 15 anggota yang menguruskan hal ehwal awam di Gaza sejak 2007 akan dibubarkan, dengan tanggungjawabnya diserahkan kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) yang dianggotai golongan teknokrat Palestin.

Langkah itu bermakna Hamas bersedia berundur daripada pentadbiran harian Gaza selepas hampir 19 tahun menguasai wilayah berkenaan.

Seorang pegawai Hamas berkata kementerian-kementerian di Gaza sudah mula menyelaras dengan NCAG bagi memastikan proses pemindahan kuasa berjalan lancar.

Pengerusi NCAG, Encik Ali Shaath, yang masih berada di Mesir bersama anggota lain kerana belum dibenarkan memasuki Gaza, berkata pihaknya bersedia mengambil alih pentadbiran sebaik sahaja diberi kebenaran.

“Kami bersedia memikul tanggungjawab apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis berpendapat pengumuman itu lebih bersifat strategi politik berbanding perubahan besar dalam landskap konflik.

Penyelidik pelawat di Majlis Hubungan Luar Eropah, Encik Muhammad Shehada, berkata langkah itu dibuat ketika rundingan damai yang dipelopori Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, masih menemui jalan buntu.

“Ia berlaku ketika proses damai benar-benar tidak menunjukkan sebarang kemajuan,” katanya.

Menurut sumber diplomatik, Hamas mahu menunjukkan bahawa pihaknya terus komited menggerakkan proses damai sambil menuduh Israel gagal memenuhi komitmen di bawah pelan gencatan senjata yang disokong Amerika.

Hamas berulang kali mendakwa Israel masih menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza seperti yang dipersetujui dalam pelan damai berkenaan.

Israel bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Pensyarah komunikasi politik dari Gaza, Encik Iyad al-Qarra, berkata tindakan Hamas bertujuan menafikan alasan Israel untuk meneruskan peperangan.

“Israel sering menggunakan pentadbiran Hamas sebagai alasan untuk meneruskan operasi ketenteraan. Langkah ini bertujuan menafikan hujah itu,” katanya.

Pensyarah Universiti Al-Azhar Gaza, Encik Jamal al-Fadi, pula berkata pengumuman itu turut menghantar mesej kepada negara pengantara dan rakyat Gaza bahawa Hamas bersedia melakukan kompromi.

Namun, beliau mengingatkan bahawa jika NCAG gagal mengambil alih pentadbiran dalam masa terdekat, pengumuman itu mungkin hanya dilihat sebagai taktik politik semata-mata.

Penganalisis lain pula berpendapat Hamas sebenarnya tidak lagi mampu menanggung beban mentadbir Gaza selepas hampir tiga tahun perang memusnahkan sebahagian besar prasarana awam.

Encik Shehada berkata Hamas masih merupakan kuasa dominan di Gaza, tetapi kedudukannya semakin terdesak.

“Mereka tidak mempunyai sumber kewangan dan rangkaian bekalan seperti Hezbollah di Lubnan. Mereka tidak lagi mampu membayar kakitangan awam atau memenuhi keperluan penduduk Gaza,” katanya.

Walaupun bersedia melepaskan pentadbiran awam, Hamas tetap mengekalkan sayap tenteranya dan simpanan senjata, yang dianggap aset terpenting dalam rundingan dengan Israel.

Perkara itu menyebabkan pemerintah Israel menyifatkan pengumuman Hamas sebagai helah politik.
Israel menegaskan perang hanya akan benar-benar berakhir apabila Hamas melucutkan semua senjatanya dan Gaza dinyahsenjatakan sepenuhnya.

Sebaliknya, Hamas berkeras tidak akan menyerahkan senjata selagi belum wujud sebuah pentadbiran Palestin yang baharu dan tentera Israel belum memulakan pengunduran dari Gaza.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu, tentera Israel dilaporkan terus menguasai lebih 60 peratus wilayah Gaza.

Di bawah pelan damai berperingkat yang disokong Amerika dan diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pengunduran penuh tentera Israel hanya dijangka berlaku pada fasa akhir proses keamanan.

Saintis politik Gaza, Encik Mkhaimar Abusada, berkata pembubaran pentadbiran Hamas hanyalah isyarat simbolik.

“Hamas menunjukkan kesediaan melepaskan pentadbiran Gaza, tetapi persoalan sebenar ialah sama ada mereka sanggup melucutkan senjata,” katanya.

Pandangan sama dikongsi Pengarah Eksekutif ORF Timur Tengah, Encik Kabir Taneja, yang menyifatkan langkah Hamas sebagai satu bentuk percaturan politik.

“Ia lebih kepada strategi politik dan bukannya penyerahan kuasa sepenuhnya,” katanya.

Penilaian keselamatan menunjukkan Hamas masih mempunyai antara 4,000 hingga 5,000 anggota di Gaza, sekali gus menjadikan kumpulan itu masih mempunyai pengaruh ketenteraan yang besar.

Sementara itu, perkembangan terbaru itu turut memberi kesan kepada usaha antarabangsa mengiktiraf negara Palestin.

Media Belgium melaporkan pemerintah negara itu kini sedang mempertimbangkan untuk mengiktiraf Palestin secara rasmi selepas Hamas mengumumkan pembubaran badan pentadbirannya.

Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, berkata beliau sudah mengarahkan kabinetnya menyediakan cadangan berhubung pengiktirafan itu.

“Saya tidak pasti sama ada keputusan boleh dibuat minggu ini, tetapi perkara ini akan dibincangkan dalam masa terdekat,” katanya.

Jika langkah itu diteruskan, Belgium berpotensi menjadi antara negara Eropah terbaharu mengiktiraf Palestin, sekali gus meningkatkan tekanan diplomatik terhadap Israel ketika rundingan damai masih menemui jalan buntu. - Agensi berita