NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 6 Julai berkata pihaknya maklum tentang keputusan Hamas membubarkan Jawatankuasa Kerajaan Darurat dan memindahkan tanggungjawab pentadbiran Gaza kepada sebuah badan nasional baharu.

Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, berkata badan dunia itu menyambut baik sebarang langkah yang dapat membantu pelaksanaan gencatan senjata dan memperkukuh usaha mewujudkan pentadbiran Palestin yang lebih bersatu.

“Kami maklum mengenai pengumuman Hamas mengenai pembubaran Jawatankuasa Kerajaan Darurat dan pemindahan tanggungjawab pentadbiran kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG),” katanya dalam sidang media di New York.

“Kami mengalu-alukan sebarang langkah yang menyumbang kepada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata serta matlamat yang terkandung dalam ketetapan Majlis Keselamatan PBB, termasuk perlindungan orang awam dan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan,” ujarnya.

Encik Dujarric berkata PBB terus menyokong usaha mewujudkan pentadbiran Palestin bersatu di bawah Penguasa Palestin.

Pengumuman Hamas itu dibuat ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat untuk mencari penyelesaian politik terhadap konflik di Gaza yang telah berlarutan lebih dua tahun.

Awal 6 Julai, pemerintah Gaza mengumumkan pembubaran Jawatankuasa Pemerintah Darurat serta peletakan jawatan pengerusinya, Encik Mohammed al-Farra, bagi memudahkan proses peralihan kuasa kepada Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG).

Ketua Pejabat Media Hamas di Gaza, Encik Ismail al-Thawabta, berkata langkah itu sebahagian daripada pelan yang dipersetujui pelbagai kumpulan Palestin bagi membuka jalan kepada pentadbiran baharu di wilayah berkenaan.

“Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Darurat secara rasmi menyerahkan peletakan jawatan dan jawatankuasa itu dibubarkan bagi memudahkan proses peralihan pentadbiran kepada NCAG,” katanya.

NCAG merupakan badan teknokrat Palestin yang mengurus hal ehwal awam harian Gaza dan berpangkalan di Kahirah sejak pertengahan Januari lalu.

Bagaimanapun, jawatankuasa itu masih belum dapat memulakan operasi secara rasmi di Gaza berikutan sekatan dan halangan Israel.

Ketua NCAG, Dr Ali Shaath, berkata badan itu bersedia mengambil alih pentadbiran awam Gaza sebaik sahaja memperoleh sumber dan keupayaan yang diperlukan.

“Kami menegaskan NCAG bersedia sepenuhnya untuk memikul tanggungjawab nasional apabila syarat asas dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata kejayaan pentadbiran baharu itu memerlukan satu kuasa pentadbiran, satu undang-undang dan satu pasukan bersenjata di bawah entiti tunggal.

Langkah Hamas itu dilihat sebagai usaha menunjukkan kumpulan berkenaan tidak menghalang pelan damai yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 2025.

Pelan 20 perkara yang diumumkan Washington pada September 2025 itu merangkumi pembebasan tahanan Israel, pengunduran sebahagian tentera Israel dari Gaza, pembentukan pemerintah teknokrat dan proses pelupusan senjata Hamas.

Bagaimanapun, Israel menolak langkah terbaharu Hamas dan tetap menuntut kumpulan itu agar melucutkan semua senjata.

Menteri Luar Israel, Encik Gideon Saar, berkata mana-mana pemerintah awam di Gaza tetap akan berada di bawah pengaruh Hamas selagi kumpulan itu masih bersenjata.

“Selagi Hamas memiliki senjata, mana-mana pemerintah awam tetap akan bergerak mengikut arahan Hamas,” katanya di wadah X.

Sementara itu, keadaan kemanusiaan di Gaza terus membimbangkan walaupun gencatan senjata masih berjalan.

Encik Dujarric berkata jumlah bantuan yang berjaya dibawa masuk ke Gaza pada Jun menurun kepada kurang 42,000 palet berbanding sekitar 46,600 palet pada Mei.

Menurut beliau, hanya 42 peratus bekalan bantuan dari Mesir dan 65 peratus bekalan dari pelabuhan Ashdod berjaya dipunggah di lintasan Karem Abu Salem minggu lalu.

Israel juga terus mengehadkan kemasukan makanan, ubat-ubatan, tempat perlindungan sementara dan rumah pasang siap ke Gaza.

Sejak perang bermula pada Oktober 2023, lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 173,000 lagi cedera dalam serangan Israel di Gaza.

Penduduk Gaza pula berharap langkah terkini Hamas itu dapat mempercepatkan penghujung perang dan membuka jalan kepada pembinaan semula wilayah yang musnah teruk selepas lebih dua tahun konflik berterusan.

Penganalisis politik Palestin berpangkalan di Gaza, Encik Ahed Ferwana, berkata pembubaran badan pemerintah Hamas merupakan langkah politik penting bagi menunjukkan kumpulan itu bersedia memisahkan pentadbiran awam daripada kegiatan politik dan ketenteraan.

Namun, beliau berkata kejayaan proses peralihan itu bergantung kepada beberapa faktor termasuk sokongan Arab dan antarabangsa serta persetujuan mengenai aspek keselamatan dan kewangan.

“Keputusan ini sahaja tidak menjamin kejayaan peralihan. Ia bergantung kepada sama ada jawatankuasa itu dibenarkan menjalankan tugasnya dan sama ada semua pihak mematuhi perjanjian yang dipersetujui,” katanya. – Agensi berita.