GAZA: Pada ulang tahun kedua serangan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mencetuskan perang berdarah, Gaza terus dihujani serangan udara Israel yang memusnahkan kehidupan berjuta penduduk.
Pada masa sama, dunia menyaksikan pelbagai acara memperingati tragedi itu pada 7 Oktober serta demonstrasi solidariti untuk Palestin di bandar-bandar besar seluruh dunia.
Di Gaza, suasana penuh kesedihan menyelubungi kem pelarian yang sesak dengan keluarga yang terus kehilangan tempat tinggal.
Encik Mohammed Abu Sultan, 49 tahun, yang melarikan diri bersama 20 anggota keluarganya dari Bandar Gaza ke kem Nuseirat berkata: “Perang telah memusnahkan segala yang saya bina sepanjang hidup saya. Kami sudah dua tahun berlari dari maut.”
Ramai penduduk Gaza menaruh harapan kepada cadangan damai baru yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada awal Oktober lalu. Pelan itu mengandungi gencatan senjata, pembebasan tebusan, serta pengunduran tentera Israel, tetapi juga menuntut perlucutan senjata Hamas. Walaupun agak ragu, ramai melihatnya sebagai peluang untuk keluar dari kitaran kemusnahan yang panjang.
Di pihak Israel, rakyat bersiap memperingati ulang tahun kedua serangan yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan mengakibatkan 251 tebusan diculik ke Gaza.
Upacara kecil diadakan di kibbutz-kibbutz selatan kawasan paling teruk terjejas ketika serangan itu manakala perhimpunan besar dirancang di Tel Aviv bagi menuntut pembebasan baki tebusan yang dipercayai masih hidup.
Pada malam 6 Oktober, beberapa keluarga tebusan berkumpul di luar kediaman Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mengadakan doa dan menyeru pemerintah segera menamatkan perang. “Kami tidak mahu ulang tahun ini sekadar menjadi simbol kesakitan. Kami mahu jawapan, kami mahu keluarga kami pulang,” kata seorang ahli keluarga tebusan.
Di peringkat antarabangsa, demonstrasi solidariti untuk Palestin dirancang di bandar seperti New York, London, Barcelona, Rom, Portland, Seattle dan Los Angeles. Namun, beberapa pemerintah mengambil langkah berjaga-jaga.
Di Bologna, Italy, pihak berkuasa mengharamkan tunjuk perasaan anti-Israel kerana bimbang akan rusuhan selepas protes pada 4 Oktober menjadi tegang. Di Milan, komuniti Yahudi memilih memperingati tragedi 7 Oktober secara sederhana dan tertutup.
Di United Kingdom, Perdana Menteri Encik Keir Starmer menyeru pelajar agar tidak menyertai protes pada ulang tahun tersebut, dengan alasan masa yang dipilih boleh dianggap tidak sensitif terhadap mangsa serangan Hamas. Jurucakap beliau berkata penunjuk perasaan “perlu menunjukkan kemanusiaan” dan mengingati “serangan pengganas yang kejam terhadap Israel pada 7 Oktober.”
Ketua Majlis Kepimpinan Yahudi, Encik Keith Black, pula menegaskan, “Mengadakan protes pada tarikh ini sangat menyakitkan hati keluarga mangsa dan pelajar Yahudi.”
Ketegangan turut dirasai di Australia apabila rancangan penganjuran acara yang dinamakan “Kemuliaan untuk Para Syuhada” di Sydney mengundang kecaman hebat. Perdana Menteri negeri New South Wales, Encik Chris Minns, menyifatkan masa penganjuran itu “sangat tidak wajar dan amat tidak sensitif”. “Kami faham keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Gaza, tetapi melakukannya pada tarikh serangan seolah-olah memuliakan tindakan pengganas Hamas,” katanya kepada stesen radio 2GB.
Namun, peguam dan aktivis Palestin, Encik Ramia Abdo Sultan, yang dijadual berucap di Sydney, menegaskan suara rakyat Palestin kerap cuba disekat.
“Kami tidak dibenarkan berkabung atau meratapi kehilangan keluarga kami,” ujarnya dalam satu rakaman video.
Di sebalik ketegangan jalanan, usaha diplomatik diteruskan.
Pada 6 Oktober, delegasi Israel dan Hamas mengadakan rundingan tidak langsung di Mesir mengenai cadangan damai Trump. Kedua-dua pihak dilaporkan menerima prinsip asas pelan itu, yang turut mendapat sokongan kuasa Arab dan Barat, namun isu pengunduran tentera Israel dan perlucutan senjata Hamas kekal rumit.
Presiden Trump pula dijadual bertemu Encik Edan Alexander, bekas tebusan warga Israel-Amerika, di Rumah Putih sempena ulang tahun itu. Pertemuan itu dilihat sebagai isyarat kesungguhan Washington mencari penyelesaian jangka panjang.
Israel mempertahankan serangannya sebagai hak mempertahankan diri selepas serangan 7 Oktober, manakala kritikan antarabangsa semakin meningkat berikutan gambaran kebuluran, pemindahan besar-besaran dan angka korban Palestin yang menurut pihak berkuasa Gaza telah melebihi 67,000 orang.
Siasatan PBB dan pakar hak asasi manusia menuduh Israel melakukan jenayah perang, tuduhan yang ditolak keras oleh Tel Aviv.
Di kedua-dua belah sempadan, emosi bercampur antara trauma, kemarahan dan harapan yang masih bersisa. Bagi rakyat Gaza, tarikh 7 Oktober mengingatkan kehancuran rumah, kehilangan pekerjaan, dan trauma kanak-kanak yang membesar di bawah bom. Bagi warga Israel, ia hari berkabung dan tuntutan agar tebusan dibawa pulang serta pemerintah dipertanggungjawabkan.
“Perang ini telah meragut masa depan kami,” kata Encik Mohammed Abu Sultan dari Gaza. Di Tel Aviv, seorang ahli keluarga mangsa pula berkata, “Kami mahukan keamanan, tetapi juga keadilan bagi mereka yang dibunuh dan diculik.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg