Topik diikuti
Pergi ke BHkuGelombang 51 serangan gegar tiga wilayah Selatan Thailand dalam empat jam
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, mengadakan mesyuarat tergempar bersama pegawai kanan keselamatan pada 23 Ogos selepas 51 serangan terancang berlaku dalam tempoh beberapa jam di tiga wilayah selatan negara itu, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang cedera.
Serangan menggunakan bom kecil dan perbuatan membakar itu berlaku di Narathiwat, Pattani dan Yala pada malam 22 Ogos, dengan beberapa bangunan kerajaan, kemudahan awam dan sebuah kedai serbaneka menjadi sasaran.
Menurut Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thailand (ISOC), kejadian berlaku antara kira-kira 8 malam dengan tengah malam.
“Beberapa insiden terancang yang bertujuan mencetuskan kekacauan berlaku di pelbagai lokasi di wilayah sempadan selatan,” kata ISOC dalam satu kenyataan.
Serangan itu berlaku ketika Encik Anutin berdepan satu lagi krisis di utara Thailand, yang dilanda banjir teruk.
Beliau mengadakan mesyuarat keselamatan itu sebelum berlepas ke wilayah Nan bagi meninjau kawasan yang terjejas akibat banjir.
Walaupun serangan di selatan berlaku secara serentak di banyak lokasi, penyerang dilaporkan tidak berbalas tembakan dengan anggota tentera atau polis dan tiada kematian dilaporkan.
Tiga orang awam cedera dalam satu letupan bom di tepi jalan di Narathiwat.
Mereka terdiri daripada dua wanita berusia 45 dan 46 tahun serta seorang lelaki berusia 21 tahun.
Ketiga-tiga mangsa dibawa ke hospital dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Antara sasaran serangan ialah sebuah pejabat pentadbiran tempatan, menara telekomunikasi, tiang elektrik dan sebuah kedai serbaneka 7-Eleven di Pattani.
Sebuah kenderaan turut dicuri dari pejabat sebuah pertubuhan pentadbiran daerah kecil di Narathiwat ketika bangunan itu dibakar.
Kenderaan pikap yang terbakar kemudian ditemui ditinggalkan di tepi jalan.
Satu letupan turut merosakkan landasan kereta api di Narathiwat sehingga memaksa perkhidmatan kereta api tempatan dan jarak jauh digantung.
Pihak berkuasa belum dapat memastikan bila perkhidmatan itu boleh disambung semula berikutan keadaan keselamatan yang masih tidak menentu.
Markas tentera Narathiwat turut mengenakan perintah berkurung pada malam 22 Ogos sehingga 6 pagi keesokan harinya.
Gabenor Narathiwat, Encik Boonchuay Homyamyen, berkata pihak berkuasa menjalankan siasatan di beberapa lokasi serangan pada 23 Ogos.
Menurut beliau, tiada serangan baharu dilaporkan pada pagi itu.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap 51 serangan tersebut.
Wilayah selatan Thailand telah berdepan konflik bersenjata sejak 2004, dengan kumpulan pemisah menuntut autonomi lebih luas bagi kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Narathiwat, Pattani dan Yala merupakan tiga wilayah majoriti Muslim di Thailand, sebuah negara yang sebahagian besar penduduknya beragama Buddha.
Penduduk Muslim di selatan sejak sekian lama menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap layanan pihak berkuasa, sementara gerakan pemisah pula telah aktif secara berkala selama beberapa dekad.
Keganasan meningkat dengan ketara pada 2004 dan tindakan keras pihak berkuasa selepas itu dikatakan meningkatkan lagi ketegangan.
Menurut badan pemikir Pemantau Selatan Thailand yang berpangkalan di kampus Universiti Prince of Songkla di Pattani, seramai 7,837 orang terbunuh akibat konflik di selatan Thailand sepanjang 22 tahun lalu.
Walaupun tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan terbaru, serangan seumpama itu sebelum ini sering dikaitkan dengan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN), kumpulan pemisah utama di wilayah selatan.
BRN mempunyai rangkaian dan keupayaan untuk melancarkan serangan secara terancang dan merupakan kumpulan yang terbabit dalam rundingan damai dengan kerajaan Thailand, walaupun proses tersebut sering terhenti dan disambung semula.
Penganalisis keselamatan bebas, Encik Don Pathan, berkata serangan sedemikian dipercayai digunakan BRN untuk menunjukkan keupayaannya dan meningkatkan kedudukan dalam rundingan dengan kerajaan Thailand.
“Dari sudut anggota BRN di lapangan, mereka tidak senang dengan kenyataan membanggakan oleh pegawai tentera dan mahu menggunakan peningkatan keganasan untuk menunjukkan keupayaan mereka,” katanya.
Menurut beliau, walaupun banyak sasaran terbaru membabitkan kemudahan awam, matlamat penyerang dipercayai bukan untuk menyebabkan jumlah korban yang tinggi.
“Mereka mahu menghantar mesej tegas kepada pihak Thailand mengenai apa yang mereka mampu lakukan,” katanya.
Serangan terbaru berlaku kira-kira sebulan selepas satu serangan besar di Narathiwat pada Julai apabila kira-kira 10 penyerang melepaskan tembakan dan melontar bom paip ke sebuah pusat pemeriksaan keselamatan. - Agensi berita
Lima anggota separa tentera terbunuh, manakala enam orang awam cedera, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.
Perkembangan keselamatan terbaru turut berlaku menjelang lawatan dua hari Encik Anutin dan anggota Kabinetnya ke Hat Yai di wilayah Songkhla, selatan Thailand, minggu ini.
Lawatan itu dijadual membincangkan projek pelaburan, langkah mencegah banjir serta isu keselamatan di wilayah selatan.
