Topik diikuti
Pergi ke BHkuLima anggota keselamatan Thai maut diserang hendap di Narathiwat
Lima anggota keselamatan Thai maut diserang hendap di Narathiwat
PM Anutin kecam tindakan pengganas yang sengaja sasar anggota kerajaan
Lima anggota keselamatan Thai maut diserang hendap di Narathiwat
BANGKOK: Lima anggota pasukan keselamatan Thailand terbunuh manakala enam orang awam, termasuk dua kanak-kanak, cedera selepas sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sekatan keselamatan di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, dalam antara serangan paling berdarah di rantau bergolak itu dalam tempoh beberapa tahun.
Serangan yang berlaku sekitar 6.45 petang pada 22 Julai itu menyasarkan sekatan Bukeh Sami di daerah Ra-ngae apabila sekumpulan penyerang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam melepaskan tembakan bertubi-tubi dan membaling bom paip ke arah anggota keselamatan yang sedang bertugas.
Markas Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Wilayah 4 memaklumkan penyerang kemudian melarikan diri selepas merampas tiga laras raifal AK-47, tiga jaket kalis peluru dan tiga telefon bimbit milik anggota yang terbunuh.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang disiarkan pihak berkuasa menunjukkan sekumpulan suspek berpakaian serba hitam menaiki bahagian belakang sebuah trak pikap hitam sebelum serangan berlaku.
Pasukan keselamatan kemudian menemui kenderaan itu kira-kira 21 kilometer dari lokasi kejadian dalam keadaan dibakar bagi menghapuskan bukti.
Mereka yang terbunuh dikenal pasti sebagai Sarjan Kelas Pertama Theerayoot Somakerd serta empat anggota Renjer Sukarelawan iaitu Sakeereeya Jehna, Wimol Dapthong, Nathasit Kaeosena dan Solahuding Pi.
Kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Enam orang awam turut cedera, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang mengalami kecederaan pada kaki dan kini dirawat di hospital dalam keadaan stabil.
Rakaman televisyen Thai PBS menunjukkan beberapa rumah berhampiran turut mengalami kerosakan akibat serangan itu.
Sebuah rumah mengalami kerosakan pada bumbung, pintu dan tingkap, manakala sebuah motosikal yang diparkir di luar musnah. Sebuah lagi rumah dipenuhi kesan tembakan pada pagar besinya.
ISOC Wilayah 4 menyifatkan serangan itu sebagai perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana dilakukan di kawasan penempatan awam tanpa menghiraukan keselamatan penduduk.
“Tindakan melancarkan serangan di kawasan komuniti tanpa mengambil kira nyawa orang awam, termasuk kanak-kanak, menunjukkan pelaku hanya mahu menyebarkan keganasan dan memusnahkan keamanan,” menurut kenyataan ISOC.
Pihak berkuasa turut berikrar akan mempercepat siasatan dan memburu semua individu yang terbabit sehingga mereka dibawa ke muka pengadilan.
Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, mengecam serangan itu dan menyifatkannya sebagai tindakan pengganas yang secara jelas menyasarkan anggota kerajaan.
“Ini adalah serangan pengganas yang bertujuan membunuh pegawai kerajaan dan merupakan ancaman serius terhadap keselamatan negara,” kata jurucakap kerajaan, Cik Rachada Dhnadirek, memetik kenyataan perdana menteri.
Ketua pembangkang, Encik Natthaphong Ruengpanyawut, turut mengutuk serangan itu sambil menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Beliau menggesa kerajaan mempercepat usaha mengesan dan mendakwa semua suspek selain memastikan bantuan segera diberikan kepada mangsa yang cedera dan keluarga anggota keselamatan yang terkorban.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu dan belum ada tangkapan dilakukan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Thailand sebelum ini sering mengaitkan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) dengan beberapa serangan besar di wilayah sempadan selatan.
Narathiwat, Pattani dan Yala merupakan tiga wilayah paling selatan Thailand yang majoriti penduduknya beragama Islam Melayu, berbeza dengan majoriti penduduk Thailand yang beragama Buddha.
Wilayah itu telah bergolak sejak kebangkitan semula gerakan pemisah pada 2004, dengan lebih 7,700 orang terbunuh dalam pelbagai insiden keganasan.
Penduduk Islam di kawasan itu sejak sekian lama mendakwa mereka dipinggirkan dan dilayan sebagai rakyat kelas kedua, manakala tindakan keras pasukan keselamatan sering memburukkan lagi ketegangan.
Walaupun tahap keganasan menurun berbanding sedekad lalu, serangan bersenjata dan letupan bom masih berlaku secara berkala.
Pada 2019, sekumpulan anggota menyerang sebuah sekatan keselamatan di Yala menggunakan bom tangan dan senjata api sehingga mengorbankan 15 orang.
Penyelidik hak asasi manusia Amnesty Antarabangsa Thailand, Encik Chanatip Tatiyakaroonwong, berkata serangan terbaru itu berbeza daripada kebanyakan insiden sebelum ini kerana turut mengorbankan dan mencederakan orang awam.
“Kebanyakan serangan di selatan Thailand menyasarkan anggota keselamatan, tetapi kali ini jumlah korban lebih tinggi dan orang awam, termasuk kanak-kanak, turut menjadi mangsa tembakan,” katanya.
Insiden itu berlaku hanya sehari selepas sebuah kereta yang dipenuhi bahan letupan diletupkan berhampiran sebuah balai polis di daerah Muang, Narathiwat, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa kumpulan bersenjata sedang meningkatkan semula serangan mereka.
Serangan terbaru itu juga berlaku ketika kerajaan Thailand sedang berusaha menghidupkan semula rundingan damai dengan BRN yang sebelum ini terhenti.
Ketua perunding baharu Thailand, Encik Thanut Suvarnananda, sebelum ini berkata pasukan rundingan akan mengambil kira pandangan semua pihak yang terkesan akibat konflik bagi mencari penyelesaian berkekalan.
Namun, serangan berdarah di Narathiwat itu menunjukkan usaha memulihkan keamanan di wilayah sempadan selatan Thailand masih berdepan cabaran besar. – Agensi berita.