NEW YORK: Pemain dan jutaan penyokong yang mengikuti Piala Dunia 2026 dijangka berdepan cuaca panas melampau minggu ini apabila fenomena “kubah haba” melanda sebahagian besar kawasan tengah dan timur Amerika Syarikat serta beberapa bahagian Canada ketika kejohanan memasuki pusingan kalah mati.

Fenomena cuaca itu dijangka menyebabkan suhu dirasai meningkat ke tahap berbahaya dengan indeks haba di beberapa kawasan Midwest dan Pantai Timur mencecah antara 40 hingga 46 darjah Celsius.

Menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika Syarikat (NWS), “kubah haba” berlaku apabila kawasan tekanan udara tinggi yang besar memerangkap haba dan kelembapan di atmosfera untuk tempoh yang panjang.

Keadaan itu menyebabkan suhu kekal tinggi bukan sahaja pada waktu siang, malah berterusan hingga malam.

Pakar meteorologi kanan AccuWeather, Encik Alan Reppert berkata bandar-bandar utama yang menjadi tuan rumah perlawanan termasuk Toronto, Kansas City, Philadelphia dan East Rutherford di New Jersey dijangka menerima kesan paling ketara.

“Walaupun selepas matahari terbenam, cuaca masih sangat panas. Corak cuaca semasa menunjukkan suhu tinggi pada waktu petang dan berterusan hingga waktu malam,” katanya.

Beliau berkata suhu di New York dijangka mencapai tahap tertinggi sejak 2013 ketika bandar itu menerima kehadiran ribuan penyokong bagi aksi pusingan 16 terbaik di Stadium MetLife, New Jersey pada 5 Julai nanti.

“Memang matahari akan terbenam dan keadaan mungkin sedikit lebih baik, tetapi cuaca masih akan kekal panas,” katanya lagi.

Keadaan cuaca panas ekstrem itu dijangka berlarutan sehingga hujung minggu sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai ulang tahun ke-250 negara itu.

Situasi tersebut sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai keselamatan pemain dan penyokong, terutama selepas isu sama dibangkitkan ketika Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat pada 2025.

Kesatuan Pemain Bola Sepak Profesional Dunia (FIFPRO) sebelum ini menyifatkan cuaca panas melampau sebagai “amaran serius” kepada bola sepak antarabangsa.

Sebagai langkah mengurangkan risiko kesihatan, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa)  melaksanakan rehat hidrasi wajib selama tiga minit pada setiap separuh masa bagi semua perlawanan Piala Dunia tahun ini.

Langkah itu bertujuan membantu pemain mengekalkan tahap hidrasi serta mengurangkan risiko strok haba dan keletihan melampau.

Bagaimanapun, beberapa pengkritik berpendapat rehat tambahan tersebut boleh mengganggu rentak permainan dan momentum pasukan.

Setakat ini, Fifa belum mengumumkan sebarang langkah tambahan walaupun kebimbangan mengenai cuaca panas semakin meningkat.

Di Toronto, pihak berkuasa bandar telah mengaktifkan pelan bantuan cuaca panas selepas Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Canada mengeluarkan amaran haba dari 30 Jun hingga 3 Julai.

Toronto dijadual menjadi tuan rumah perlawanan pusingan 32 terbaik antara Portugal dan Croatia pada 2 Julai.

Beberapa stadium yang menjadi tempat kejohanan seperti di Atlanta, Dallas dan Houston mempunyai bumbung boleh tutup serta sistem pendingin hawa, sekali gus mampu memberi kelegaan kepada pemain dan penyokong.

Namun, bandar seperti Dallas masih berdepan cabaran besar kerana struktur bandar yang dipenuhi konkrit dan asfalt menyebabkan haba mudah terperangkap.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa penyokong yang berada di kawasan terbuka untuk tempoh lama berisiko mengalami dehidrasi dan penyakit berkaitan haba.

Doktor kecemasan Pusat Perubatan Universiti Hackensack di New Jersey, Alina Mitina menggesa penyokong supaya sentiasa mencari kawasan teduh dan minum air secukupnya.

“Kawasan yang mempunyai teduhan benar-benar boleh menyelamatkan nyawa dalam situasi seperti ini,” katanya.

“Selagi terdapat banyak kawasan teduh dan bekalan air yang mencukupi, keadaan akan menjadi lebih selamat.”

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap tanda-tanda awal penyakit berkaitan haba seperti pening, keletihan melampau, sesak nafas dan dehidrasi.

Dalam masa sama, beberapa kajian saintifik sebelum ini memberi amaran bahawa kira-kira satu perempat daripada perlawanan Piala Dunia 2026 berpotensi berlangsung dalam keadaan yang melebihi had keselamatan haba yang disyorkan kepada pemain dan pegawai perlawanan.

Walaupun cuaca panas melampau dijangka menjadi cabaran besar sepanjang minggu ini, penganjur percaya langkah keselamatan yang dilaksanakan mampu membantu mengurangkan risiko kepada pemain dan penyokong.

Penganjur tempatan di beberapa bandar tuan rumah juga dilaporkan meningkatkan penyediaan stesen air minuman, ruang teduh sementara dan pasukan perubatan tambahan di sekitar stadium. - Agensi berita