WASHINGTON: Gelombang haba ekstrem kini melanda Amerika Syarikat dan Eropah dengan suhu melampau menyebabkan ratusan kematian, sistem kesihatan tertekan serta pemerintah dikritik kerana didakwa gagal bersedia menghadapi krisis cuaca semakin buruk akibat perubahan iklim.

Di Amerika Syarikat, lebih 160 juta penduduk di 30 negeri kini berada di bawah amaran cuaca panas berbahaya ketika fenomena ‘heat dome’ atau kubah haba menyelubungi sebahagian besar negara itu.

Jabatan Tenaga Amerika turut mengisytiharkan darurat ketika gelombang haba memberi tekanan besar terhadap sistem grid elektrik negara, menurut laporan media tempatan.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Amerika memaklumkan suhu panas melampau dijangka terus melanda kebanyakan kawasan tengah dan timur negara itu dalam beberapa hari akan datang.

Indeks haba di beberapa kawasan dijangka mencecah 46 darjah Celsius.

Bandar utama seperti Boston, New York, Washington, Pittsburgh dan Atlanta turut diletakkan di bawah tahap risiko haba tertinggi.

Di New York, suhu kini mencecah pertengahan 30 darjah Celsius dan bandar raya itu dijangka mencatat suhu sekitar 37 darjah Celsius buat pertama kali sejak 2012.

Pihak berkuasa menjangkakan cuaca panas itu berterusan sehingga sambutan ulang tahun ke-250 penubuhan Amerika pada 4 Julai, sekali gus dijangka menjejaskan pelbagai acara besar negara itu.

Pada masa sama, Eropah baru sahaja melalui gelombang haba paling teruk dan meluas dalam sejarah moden yang menjejaskan lebih 150 juta penduduk.

Sepanyol melaporkan sekurang-kurangnya 1,028 kematian akibat cuaca panas melampau minggu lalu, lebih dua kali ganda berbanding jumlah kematian berkaitan haba tahun sebelumnya.

Belanda pula merekodkan kira-kira 480 kematian berlebihan sepanjang minggu dari 22 hingga 28 Jun lalu.

Pihak berkuasa kesihatan Belanda berkata kebanyakan mangsa ialah warga emas berusia lebih 80 tahun, terutama di kawasan selatan dan timur negara itu yang mencatat suhu paling tinggi.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Encik Hans Kluge, menggesa pemerintah di seluruh benua itu menganggap cuaca panas ekstrem sebagai krisis kesihatan awam.

“Iktiraf haba melampau sebagai krisis kesihatan dan bertindak sebelum suhu mencapai kemuncak,” katanya menerusi hantaran di platform X.

“Hospital dan sistem kesihatan perlu bersedia dengan membebaskan katil, melindungi pesakit berisiko tinggi, memastikan sistem penyejukan dan bekalan elektrik sokongan mencukupi serta membantu petugas kesihatan,” katanya.

Di Perancis, Parti Hijau mengumumkan rancangan mengemukakan usul tidak percaya terhadap pemerintah susulan pengendalian gelombang haba yang dianggap lemah.

Gelombang haba di negara itu menyebabkan kematian berlebihan, hospital sesak, sekolah ditutup dan beberapa festival muzik dibatalkan.

Perkhidmatan cuaca Perancis turut memberi amaran satu lagi gelombang haba dijangka melanda hujung minggu ini.

Cuaca panas luar biasa turut mencetuskan pembelian panik alat pendingin hawa di negara itu.

Ratusan penduduk dilaporkan menyerbu pasar raya Lidl di sekitar Paris untuk mendapatkan pendingin hawa murah sehingga mencetuskan pergaduhan kecil dan pertengkaran.

Polis terpaksa dipanggil ke sekurang-kurangnya dua cawangan pasar raya selepas orang ramai berebut membeli pendingin hawa yang dijual serendah 179 euro ($264).

Seorang penduduk Paris, Encik Mousa Traore, berkata beliau menunggu lebih sejam bersama kira-kira 200 pelanggan lain bagi mendapatkan pendingin hawa tersebut.

“Kemudian polis datang dan kami diberitahu stok sudah habis. Saya rasa polis yang ambil,” katanya sambil ketawa.

Di kawasan Sevran dan Livry-Gargan berhampiran Paris, jalan raya turut sesak apabila orang ramai berpusu-pusu ke pasar raya untuk membeli alat penyejuk udara.

Seorang penduduk dikenali sebagai Lolo berkata beliau akhirnya menyerah kalah kerana keadaan terlalu kelam-kabut.

“Saya tinggalkan kereta beberapa jalan dari pasar raya dan berjalan kaki, tetapi tempat letak kereta sudah penuh dan barisan terlalu panjang. Mustahil untuk masuk,” katanya kepada AFP.

Perancis secara tradisinya kurang menggunakan pendingin hawa kerana musim panas yang sebelum ini sederhana.

Namun peningkatan suhu akibat perubahan iklim mula mengubah sikap masyarakat terhadap penggunaan pendingin hawa walaupun ramai masih melihatnya sebagai tidak mesra alam.

Menurut agensi alam sekitar Perancis, kadar pemilikan pendingin hawa dalam rumah meningkat daripada 18 peratus pada 2023 kepada 24 peratus pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Carrefour, Alexandre Bompard, berkata syarikatnya menjual 30,000 unit pendingin hawa dalam satu hari ketika kemuncak gelombang haba pada 22 Jun lalu.

“Itu 1,000 kali lebih tinggi berbanding hari biasa,” katanya.

Di Jerman pula, perdebatan tercetus mengenai siapa yang bertanggungjawab menyediakan langkah penyesuaian terhadap perubahan iklim sama ada pemerintah pusat atau pihak berkuasa tempatan.

Profesor undang-undang antarabangsa dari Universiti Lanzhou, Encik Douglas De Castro, berkata gelombang haba luar biasa di Eropah membuktikan cuaca ekstrem kini menjadi ancaman besar kepada masyarakat moden. – Agensi berita.