PARIS: Gelombang haba ekstrem yang melanda Eropah kini mencetuskan krisis kemanusiaan di Perancis apabila rumah mayat di Paris dilaporkan penuh, menyebabkan keluarga mangsa berdepan kesukaran mendapatkan tempat penyimpanan jenazah ahli keluarga mereka.

Ketika suhu melebihi 40 darjah Celsius melanda sebahagian besar Perancis minggu lalu, jumlah kematian harian meningkat mendadak, terutama dalam kalangan warga emas yang tinggal bersendirian di rumah.

Di sebuah rumah mayat berhampiran Lapangan Terbang Orly di Paris, pemiliknya, Encik Zouhaeir Hertelli berkata beliau kini menerima ratusan panggilan setiap hari daripada pengarah pengebumian dan keluarga yang mencari ruang penyimpanan jenazah.

Namun, dengan kesemua 32 ruang simpanan telah penuh, beliau terpaksa menolak permintaan itu berulang kali.

“Kita sedang berdepan situasi yang amat dahsyat. Saya menerima ratusan panggilan,” katanya.

Beliau berkata peningkatan mendadak jumlah kematian akibat cuaca panas melampau menyebabkan kapasiti rumah mayat di Paris tidak lagi mampu menampung permintaan.

“Kami benar-benar penuh, penuh, penuh,” katanya.

Menurut agensi kesihatan awam Perancis, jumlah kematian meningkat ketara ketika kemuncak gelombang haba minggu lalu apabila suhu siang dan malam mencatat rekod tertinggi baharu.

Pada 24 Jun lalu, lebih 1,200 kematian direkodkan di seluruh negara, iaitu hari paling panas dalam sejarah moden Perancis.

Jumlah itu meningkat kepada lebih 1,400 kes pada 25 Jun dan kekal pada paras sama pada 26 Jun.

Sebagai perbandingan, kadar kematian harian biasa pada April dan Mei hanya sekitar 900 hingga 1,000 kes sehari.

Agensi itu menganggarkan sekurang-kurangnya 1,000 kematian tambahan berlaku dalam tempoh tiga hari sahaja akibat cuaca panas ekstrem, namun angka sebenar dijangka lebih tinggi kerana banyak kematian di rumah dan pusat jagaan warga emas masih belum direkodkan sepenuhnya.

“Jumlah kematian dijangka meningkat melebihi angka awal ini,” menurut kenyataan agensi berkenaan.

Sebanyak 85 peratus daripada kematian yang direkodkan setakat ini melibatkan individu berusia 65 tahun ke atas.

Wilayah Paris pula mencatat peningkatan ketara kematian di rumah, naik hampir 40 peratus sepanjang gelombang haba tersebut.

Situasi itu menyebabkan rumah mayat dan pusat pengurusan jenazah di ibu kota Perancis kehabisan ruang simpanan dalam masa singkat.

Pihak Dewan Bandaraya Paris berkata dua unit penyimpanan sementara dengan kapasiti 20 mayat setiap satu telah dipasang untuk membantu rumah mayat milik bandar raya itu.

Hospital-hospital di Paris turut menyediakan kira-kira 50 ruang tambahan bagi menampung peningkatan jumlah kematian.

Namun, Encik Hertelli berkata langkah itu masih belum mencukupi.

Beliau mendedahkan beberapa pengarah pengebumian terpaksa menghantar mayat sejauh 80 kilometer ke bandar Chartres dan kawasan lain di luar Paris untuk mendapatkan ruang simpanan.

Bagi menambah kapasiti, beliau memohon kebenaran pihak berkuasa untuk memasang kontena sejuk beku sementara di luar premis rumah mayatnya, tetapi masih menunggu kelulusan.

“Keluarga mangsa benar-benar menderita. Kami langsung tiada penyelesaian untuk ditawarkan kerana semua rumah pengebumian sudah penuh,” katanya.

“Kami sangat bersimpati dengan mereka, tetapi kami tidak mampu membantu. Ini masalah besar, sangat besar.”

Seorang lagi pengarah pengebumian di Paris, Cik Veronique Bertrand berkata kebanyakan kes kematian yang dikendalikan ketika ini melibatkan individu yang tinggal bersendirian tanpa pemantauan keluarga atau jiran.

“Sebahagian besar mangsa yang kami uruskan sekarang tinggal bersendirian di rumah dalam keadaan terasing,” katanya.

Menurut beliau, keadaan mayat yang ditemui menunjukkan tiada punca lain selain kesan cuaca panas melampau.

Beliau berkata tragedi itu mengingatkan kembali gelombang haba besar pada 2003 yang meragut kira-kira 15,000 nyawa di Perancis dan mencetuskan perubahan besar dalam sistem penjagaan warga emas negara itu.

Pada 2025 pula, lebih 5,700 kematian dikaitkan dengan cuaca panas ekstrem di negara berkenaan.

“Saya rasa masyarakat perlu sedar semula bahawa tragedi seperti ini boleh berulang,” katanya.

“Kita perlu kembali mengamalkan semangat saling mengambil berat, terutama terhadap jiran atau individu yang tinggal bersendirian.”

Beliau menggesa orang ramai supaya lebih peka terhadap keadaan warga emas dan golongan rentan ketika cuaca panas melampau.

“Mungkin kita perlu bertanya khabar dari semasa ke semasa, memastikan mereka minum air secukupnya dan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

“Dengan peredaran masa, kita mungkin terlupa bahawa keadaan seperti ini boleh berlaku semula dan mungkin menjadi lebih buruk.”

Gelombang haba luar biasa yang melanda Eropah sejak pertengahan Jun kini beralih ke bahagian timur benua itu, tetapi pihak berkuasa kesihatan Perancis masih terus menilai kesan sebenar terhadap jumlah korban.

Pakar iklim berkata peningkatan kekerapan gelombang haba ekstrem di Eropah menunjukkan kesan perubahan iklim global semakin ketara dan boleh memberi ancaman besar kepada kesihatan awam, terutama di bandar padat penduduk seperti Paris.

Dalam masa sama, beberapa pertubuhan kebajikan dan sukarelawan di Paris mula meningkatkan usaha membantu warga emas dan gelandangan dengan mengagihkan air minuman serta membuka pusat perlindungan sementara bagi mengurangkan risiko kematian akibat cuaca panas. - Agensi berita