DUBAI: Sekurang-kurangnya 10 negara Arab dijangka berdepan gelombang haba melampau sepanjang minggu ini dengan suhu di beberapa kawasan di Teluk diramal menghampiri atau melebihi 50 darjah Celsius, susulan pembentukan fenomena ‘kubah haba’ yang memerangkap udara panas di rantau itu.

Pakar meteorologi berkata Kuwait, timur Arab Saudi, kawasan pedalaman Amiriah Arab Bersatu (UAE) serta Baghdad di Iraq dijangka mencatat suhu tertinggi, manakala Syria, Jordan, Lebanon dan Oman turut mengalami peningkatan suhu yang ketara.

Platform ramalan cuaca serantau, Arabia Weather, berkata fenomena cuaca itu akan terus mempengaruhi Asia Barat sepanjang minggu pertama Ogos.

Fenomena ‘kubah haba’ atau ‘head dome’ berlaku apabila sistem tekanan udara tinggi memerangkap udara panas berhampiran permukaan bumi, sekali gus menghalang pembentukan awan dan hujan.

Keadaan itu menyebabkan haba terus terkumpul selama beberapa hari berturut-turut, mengakibatkan suhu meningkat ke paras luar biasa.

Di UAE, suhu melebihi 50 darjah Celsius direkodkan di Al Shawamekh, pinggir Abu Dhabi, pada 1 Ogos lalu, sekali gus menjadi antara bacaan tertinggi musim panas pada 2026.

Pihak berkuasa cuaca negara itu bagaimanapun menjangkakan beberapa kawasan di timur dan selatan UAE berpotensi menerima hujan dalam tempoh beberapa hari akan datang, sekali gus memberi sedikit kelegaan daripada cuaca yang amat panas.

Di Kuwait, Jabatan Meteorologi meramalkan suhu maksimum sekitar 48 darjah Celsius pada 2 Ogos dan 3 Ogos, manakala Oman dijangka merekodkan suhu pertengahan 40-an darjah Celsius.

Arab Saudi pula meramalkan suhu sepanjang Ogos akan berada sehingga 2.5 darjah Celsius lebih tinggi daripada purata bulanan, dengan kebanyakan kawasan dijangka mengalami cuaca lebih panas daripada biasa sehingga Oktober.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi (NCM), terdapat kebarangkalian antara 60 hingga 80 peratus bahawa suhu permukaan di seluruh negara akan melebihi paras normal dalam tempoh Ogos hingga Oktober.

Peningkatan suhu paling ketara dijangka berlaku pada Ogos dan Oktober, terutama di wilayah Makkah, Al-Baha, Asir, Najran, Riyadh dan Wilayah Timur.

NCM menjelaskan Ogos dijangka menjadi bulan paling kering dalam tempoh tiga bulan akan datang dengan taburan hujan di bawah paras biasa di beberapa kawasan termasuk Jazan, Najran, Makkah, Madinah, Tabuk dan Wilayah Timur.

Bagaimanapun, keadaan dijangka berubah mulai September apabila hujan sederhana hingga lebat diramalkan melanda beberapa wilayah sebelum menjadi lebih meluas pada Oktober.

Agensi itu turut memberi amaran hujan lebat sehingga amat lebat boleh berlaku di beberapa kawasan menjelang Oktober walaupun suhu kekal tinggi.

Selain cuaca panas, kelajuan angin juga dijangka meningkat sehingga 1.5 meter sesaat di kebanyakan kawasan Arab Saudi dan boleh mencecah 2.4 meter sesaat melebihi paras purata di wilayah tengah, selatan dan timur negara itu pada Oktober.

Pihak berkuasa menggesa agensi kerajaan, pasukan penyelamat dan orang ramai terus memantau amaran cuaca kerana kejadian hujan lebat atau cuaca ekstrem setempat boleh berlaku secara tiba-tiba.

Di UAE, Pusat Meteorologi Kebangsaan memaklumkan hujan dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan timur negara itu sehingga 7 Ogos ini.

Rakaman video yang dikongsi laman pemantau cuaca Storm Centre menunjukkan hujan turun di Masafi, berhampiran sempadan Fujairah dan Ras Al Khaimah, pada 2 Ogos.

Pengerusi Persatuan Astronomi Emirates, Encik Ibrahim Al Jarwan, berkata kemunculan bintang Al Mirzam di ufuk timur menandakan bermulanya fasa terakhir musim panas paling panas di Semenanjung Arab yang dijangka berlarutan sehingga 24 Ogos.

Beliau berkata tempoh itu lazimnya menyaksikan suhu dan kelembapan meningkat serentak, di samping tiupan angin bermusim yang membantu pembentukan awan di kawasan Pergunungan Hajar.

“Secara umum, Ogos dan September adalah tempoh kelembapan paling tinggi di UAE,” katanya.

Pakar cuaca turut menasihatkan orang ramai supaya memperbanyakkan minum air, mengelakkan aktiviti luar dalam tempoh tengah hari hingga petang serta mematuhi semua amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Gelombang haba yang melanda Asia Barat itu berlaku ketika dunia terus berdepan kesan perubahan iklim yang semakin ketara.

Menurut analisis World Weather Attribution, kebakaran hutan yang melanda beberapa negara Eropah sejak beberapa minggu lalu menjadi sehingga 20 kali lebih berkemungkinan berlaku akibat perubahan iklim yang didorong aktiviti manusia.

Gabungan gelombang haba berturut-turut dan kemarau awal musim panas mewujudkan keadaan yang amat kering di Eropah Barat sejak Julai, sekali gus mencetuskan kebakaran hutan besar di Perancis dan Sepanyol.

Pakar iklim berkata peningkatan suhu global bukan sahaja menyebabkan gelombang haba menjadi lebih kerap dan lebih lama, malah meningkatkan risiko kemarau, kebakaran hutan serta cuaca ekstrem di banyak kawasan dunia.

Di Asia Barat, keadaan dijangka terus mencabar sekurang-kurangnya sehingga penghujung bulan Ogos, dengan beberapa bandar utama di Teluk berpotensi mencatat suhu hampir 50 darjah Celsius sebelum cuaca mula beransur stabil menjelang musim luruh. – Agensi berita.