Topik diikuti
Pergi ke BHkuLebih 1.5j anggota jemaah mula tunai haji di tengah cuaca panas, ketegangan geopolitik
Lebih 1.5j anggota jemaah mula tunai haji di tengah cuaca panas, ketegangan geopolitik
Lebih 1.5j anggota jemaah mula tunai haji di tengah cuaca panas, ketegangan geopolitik
MAKKAH: Ibadah Haji 2026 ini secara rasmi bermula pada 25 Mei dengan lebih 1.5 juta anggota jemaah dari seluruh dunia mula berkumpul di Tanah Suci ketika cuaca panas melampau dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah terus membimbangkan.
Sebahagian besar jemaah haji mula tiba di Mina sempena hari Tarwiyah yang jatuh pada 8 Zulhijah (25 Mei). Setibanya di Tanah Suci itu, jemaah memperbanyakkan ibadah dan doa memohon keampunan sebagai persiapan sebelum bergerak ke Arafah pada 9 Zulhijah bagi menunaikan wuquf, iaitu kemuncak ibadah haji.
Jabatan Pasport Arab Saudi (Jawazat) mengumumkan lebih 1.52 juta anggota jemaah luar negara telah tiba di Arab Saudi untuk musim haji 1447 Hijrah. Daripada jumlah itu, lebih 1.4 juta tiba melalui lapangan terbang, manakala 54,100 memasuki Arab Saudi melalui pintu darat dan 6,497 melalui laluan laut.
Jumlah keseluruhan jemaah 2025 lalu dilaporkan mencecah 1.67 juta orang dari dalam dan luar negara. Kehadiran jutaan jemaah berlaku di tengah-tengah gencatan senjata rapuh dalam perang Iran serta ketidaktentuan keselamatan serantau.
Namun bagi ramai jemaah, peluang menunaikan haji mengatasi segala kebimbangan. “Saya mahu menunaikan haji sepanjang hidup saya, selama 40 atau 50 tahun,” kata Encik Jreish Mohammed, 68 tahun, dari Maghribi. “Dan tahun ini (2026), impian saya akhirnya menjadi kenyataan.”
Ritual pertama haji bermula dengan tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali di Masjidil Haram.
Jemaah kemudian melakukan sai antara Bukit Safa dengan Marwah sebelum bergerak ke Mina untuk bermalam menjelang wuquf di Arafah pada 26 Mei.
Di Arafah, jemaah akan berkumpul di padang luas tempat Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbah terakhir baginda. Wuquf di Arafah dianggap kemuncak ibadah haji dan berlangsung dari waktu zuhur hingga menjelang subuh malam Aidiladha.
Arafah terletak kira-kira 20 kilometer dari Makkah bakal menyaksikan jemaah haji berhimpun bermunajat dan beribadah serta mendengar khutbah. Pihak penyiaran Arab Saudi juga akan menyiarkan secara langsung isi khutbah tersebut sambal diiringi 36 jurubahasa.
Selepas itu, jemaah akan bergerak ke Muzdalifah untuk mengutip batu bagi ibadah melontar jamrah sebelum kembali semula ke Mina. Di Mina, lokasi yang dikenali dengan kawasan pergunungan, mercu tanda bersejarah seperti tiga tiang Jamarat dan Masjid Al-Khayf di mana ia merupakan tempat di mana Nabi Muhammad saw beribadah.
Musim haji 2026 berlangsung dalam keadaan cuaca amat panas dengan suhu di Makkah diramal mencecah antara 42 hingga 47 darjah Celsius sepanjang minggu ini.
Ramai jemaah menggunakan payung, kipas tangan dan tuala basah bagi mengurangkan kesan haba ketika melakukan ibadah di kawasan terbuka.
Sukarelawan turut mengagihkan botol air secara percuma manakala kipas gergasi dan semburan kabus air dipasang di kawasan tumpuan jemaah.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi memaklumkan lebih 50,000 petugas kesihatan dan 3,000 ambulans telah ditempatkan di lokasi utama ibadah haji.
Setakat 23 Mei lalu, pasukan perubatan dilaporkan telah merawat sekurang-kurangnya 144 kes strok haba.
Langkah berjaga-jaga itu dipertingkat selepas lebih 1,300 anggota jemaah maut akibat cuaca panas ekstrem ketika musim Haji tahun 2025 lalu apabila suhu melebihi 50 darjah Celsius.
Bagi ramai jemaah, kesukaran cuaca panas tidak menghalang rasa syukur mereka berada di tanah suci.
Jemaah dari Mesir, Encik Samya Abdul Moneim, berkata beliau berasa sangat bahagia kerana akhirnya dapat menunaikan haji. “Saya berada dalam keadaan penuh nikmat dan kegembiraan,” katanya di Makkah.
“Perasaan ini tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya sangat bersyukur.”
Ramai jemaah menganggap Haji sebagai peluang untuk memohon keampunan dosa serta mendekatkan diri kepada Allah swt. Ada antara mereka menunggu bertahun-tahun, menyimpan wang dan menunggu permit sebelum berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci.
Walaupun suasana haji dipenuhi semangat ibadah, konflik di Asia Barat masih membayangi keadaan keselamatan rantau itu. Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pada 23 Mei berkata rundingan damai berkaitan perang Iran dan pembukaan Selat Hormuz “sebahagian besarnya telah dirundingkan”. Beliau menyifatkannya sebagai memorandum persefahaman berkaitan keamanan yang masih perlu dimuktamadkan oleh Amerika, Iran dan negara lain yang terlibat.
Pada masa sama, sebuah video yang dimuat naik oleh Kementerian Pertahanan Arab Saudi menunjukkan sistem pertahanan udara canggih ditempatkan di sekitar Makkah. “Pasukan pertahanan udara bertanggungjawab melindungi ruang udara di kawasan Tanah Suci dan menghadapi semua ancaman udara demi memastikan keselamatan tetamu Allah,” tambah kenyataan kementerian itu.
Ramai jemaah berharap keamanan dapat dicapai segera. “Perang di Iran memberi kesan kepada seluruh dunia,” kata Encik Mohammed Chahada, seorang jemaah dari Mesir berusia 50-an. “Tiada siapa mahukan peperangan atau kemusnahan terhadap negara dan rakyat.”
Ibadah haji menghimpunkan umat Islam daripada pelbagai bangsa, bahasa dan latar belakang ekonomi, sekali gus melahirkan rasa persaudaraan yang kuat dalam kalangan jemaah.
Di Indonesia, negara dengan penduduk Muslim terbesar dunia, pihak berkuasa telah menyediakan pelan kecemasan dan memastikan kos tambahan perjalanan tidak dibebankan kepada jemaah. Di India pula, kenaikan harga bahan api menyebabkan kos perjalanan haji 2026 meningkat.
Walaupun berdepan cuaca panas dan ketidaktentuan politik dunia, jutaan umat Islam tetap memenuhi panggilan haji dengan harapan memperoleh keberkatan, keampunan dan ketenangan jiwa di tanah suci. – Agensi berita.
