BEIRUT: Gelombang kedua letupan peranti telah membunuh 20 orang dan mencederakan lebih 450 yang lain pada 18 September di kubu kuat Hezbollah di Lebanon, kata pegawai, mencetuskan kebimbangan meletusnya perang dengan Israel.
Sumber yang rapat dengan Hezbollah berkata alat radio genggam atau walkie-talkie yang digunakan oleh anggotanya meletup di kubu kuatnya di Beirut, dengan media pemerintah melaporkan letupan serupa di selatan dan timur Lebanon.
Rakaman AFPTV menunjukkan orang ramai berlari mencari perlindungan apabila letupan berlaku semasa pengebumian militan Hezbollah di selatan Beirut pada sebelah petang.
“Gelombang letupan yang menyasarkan alat radio genggam telah membunuh 20 orang dan mencederakan lebih 450,” kata Kementerian Kesihatan Lebanon dalam satu kenyataan.
Ia berlaku sehari selepas letupan serentak ratusan alat kelui atau pager yang digunakan oleh anggota Hezbollah membunuh 12 orang, termasuk dua kanak-kanak, dan mencederakan sehingga 2,800 yang lain di seluruh Lebanon.
Lebanon menyalahkan Israel atas serangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Tiada komen daripada Israel, yang hanya beberapa jam sebelum serangan pada 17 September, telah mengumumkan ia akan meluaskan matlamat perangnya dengan Hamas di Gaza dengan menyertakan sekutu kumpulan Palestin, Hezbollah. Pegawai Israel tetap menutup mulut mengenai letupan tersebut.
Encik Amos Harel dari akhbar berhaluan kiri Haaretz, berkata letupan alat kelui dan radio genggam itu telah meletakkan “Israel dan Hezbollah di ambang perang besar-besaran.
“Kami tidak percaya bahawa cara untuk menyelesaikan krisis ini adalah dengan operasi ketenteraan tambahan,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika, Encik John Kirby kepada pemberita.
Hezbollah yang disokong Iran, telah berbalas tembakan hampir setiap hari merentasi sempadan dengan tentera Israel sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober, mencetuskan perang di Gaza.
Menteri Luar Lebanon, Encik Abdallah Bou Habib memberi amaran bahawa “serangan terang-terangan terhadap kedaulatan dan keselamatan Lebanon” adalah perkembangan berbahaya yang boleh “menisyaratkan perang yang lebih luas”.
Hezbollah berkata Israel “bertanggungjawab sepenuhnya atas pencerobohan jenayah ini” dan berikrar membalas dendam.
Kemasukan begitu ramai mangsa yang cedera dilaporkan di kubu kuat Hezbollah. Di hospital Beirut, Dr Joelle Khadra berkata “kecederaan terutamanya pada mata dan tangan, jari terputus dan serpihan di mata yang menyebabkan sesetengah orang kehilangan penglihatan mereka.”
Penganalisis berkata, pihak yang terlibat mungkin telah menyelitkan bahan letupan pada peranti alat kelui sebelum ia dihantar kepada Hezbollah. “Bahan letupan plastik kecil disembunyikan bersama bateri dan diletupkan dari jarak jauh melalui panggilan atau mesej,” kata Encik Charles Lister dari Institut Timur Tengah.
Serangan itu memberi tamparan hebat kepada Hezbollah, yang dicerut kebimbangan mengenai keselamatan komunikasinya selepas kehilangan beberapa komander utama akibat serangan udara Israel beberapa bulan kebelakangan ini.
Sumber yang rapat dengan Hezbollah berkata alat kelui itu “diimport baru-baru ini” dan nampaknya telah “disabotaj daripada sumber”. Alat kelui itu telah ditempah daripada syarikat pengeluar Gold Apollo di Taiwan. Namun syarikat itu berkata ia telah dihasilkan oleh rakan kongsi BAC Consulting KFT yang berpangkalan di Hungary. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg