Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Letupan serentak alat kelui di Beirut bunuh 9, cederakan 3,000

Hezbollah beri amaran balas dendam terhadap Israel selepas menuduh mereka dalangi letupan peranti telekomunikasi mudah alih di serata Lebanon
Sep 18, 2024 | 2:43 PM
Para pekerja kecemasan bekerja keras bagi mengejarkan mereka yang cedera dalam letupan alat kelui di Beirut pada 17 September 2024.
Para pekerja kecemasan bekerja keras bagi mengejarkan mereka yang cedera dalam letupan alat kelui di Beirut pada 17 September 2024. - Foto REUTERS

BEIRUT: Beratus-ratus alat kelui atau pager yang digunakan anggota Hezbollah meletup serentak di serata Lebanon pada 17 September, sehari selepas pegawai Israel berkata mereka bersedia untuk meningkatkan serangan terhadap militan yang disokong Iran itu.

Alat kelui itu meletup di kaki lima, kedai runcit, rumah dan di dalam kereta, membunuh sekurang-kurangnya mengorbankan sembilan orang setakat ini dan mencederakan sekitar 3,000 yang lain, kata pegawai.

Saksi melaporkan asap keluar dari poket seluar sebelum dentuman kuat menyebabkan penggunanya rebah.

Hezbollah berkata sekurang-kurangnya lapan anggotanya terbunuh.

Menurut sumber keselamatan dan rakaman yang disemak oleh agensi berita Reuters, beberapa letupan berlaku selepas alat kelui berbunyi, menyebabkan mereka meletakkan tangan atau membawa ke muka mereka untuk memeriksa skrin.

Hezbollah telah menggunakan alat kelui selama bertahun-tahun untuk menyukarkan mesej mereka dipintas.

Menurut dua pegawai yang mengetahui mengenai serangan itu, sekitar 3.30 petang, alat kelui menerima mesej yang seolah-olah dikirim oleh pemimpin Hezbollah.

Alat kelui berbunyi bip selama beberapa saat sebelum meletup, lapor The New York Times.

Video dari hospital dan dikongsi di media sosial menunjukkan individu mengalami kecederaan pada muka, kehilangan jari dan luka berdarah di pinggul tempat alat kelui itu mungkin disemat.

Letupan itu bagaimanapun tidak menyebabkan kerosakan besar kepada bangunan atau mencetuskan sebarang kebakaran.

Kejadian itu merupakan peningkatan terkini dalam konflik antara Israel dengan Hezbollah menyusuli serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober.

Hezbollah dan sekutunya mula melancarkan roket ke utara Israel sebagai sokongan kepada Hamas. Kedua-dua kumpulan itu disokong oleh Iran.

Menurut pegawai Amerika Syarikat dan pegawai lain yang diberi taklimat mengenai serangan tersebut, Israel menyembunyikan bahan letupan dalam penghantaran alat kelui buatan Taiwan yang diimport ke Lebanon.

Bahan letupan yang sekurang-kurangnya satu atau dua auns atau 56.7 gram itu dimasukkan di sebelah bateri dalam setiap alat kelui, kata dua pegawai.

Lebih 3,000 alat kelui telah ditempah daripada syarikat Gold Apollo di Taiwan dan diedarkan kepada anggota Hezbollah di serata Lebanon, dengan beberapa dikirim kepada sekutu kumpulan itu di Iran dan Syria, kata para pegawai.

Di Syria, alat kelui yang meletup mencederakan sekurang-kurangnya 14 orang, kata Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang berpangkalan di Britain.

Perdana Menteri sementara Lebanon, Encik Najib Mikati, mengutuk apa yang disifatkannya sebagai “pencerobohan penjenayah Israel” dan menyebutnya sebagai “pelanggaran serius kedaulatan Lebanon”.

Menteri Penerangan Lebanon, Encik Ziad Makary, mengecam serangan menyasarkan alat kelui iaitu peranti telekomunikasi yang banyak digunakan oleh Hezbollah dan pelbagai pihak lain di Lebanon.

Hezbollah turut menyalahkan Israel dan memberi amaran bahawa akan ada “hukuman untuk pencerobohan terang-terangan itu”.

Tentera Israel enggan mengulas dan pejabat Perdana Menteri Encik Benjamin Netanyahu tidak menjawab permintaan untuk komen.

Namun, Israel mempunyai sejarah panjang operasi sabotaj dan pembunuhan yang canggih terhadap musuhnya.

Letupan itu berlaku sehari selepas pegawai kanan pentadbiran Presiden Joe Biden, Encik Amos Hochstein, bertemu Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, di Tel Aviv dalam usaha meredakan konflik Israel-Hezbollah.

Dalam satu kenyataan, Encik Gallant berkata beliau telah memberitahu Encik Hochstein bahawa peluang untuk mencapai penyelesaian diplomatik telah tertutup kerana Hezbollah terus-menerus menyokong Hamas.

Jurucakap Jabatan Negara, Encik Matthew Miller, berkata Amerika “tidak terlibat” dalam serangan di Lebanon dan tidak menerima sebarang notis pemberitahuan awal mengenainya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg