ISTANBUL: Puluhan ribu rakyat Turkey turun ke jalan raya di seluruh negara pada hujung minggu, 23 Mac sebagai bantahan terhadap penahanan rasmi Datuk Bandar Istanbul, Encik Ekrem Imamoglu, yang dilihat sebagai pencabar utama Presiden Recep Tayyip Erdogan dalam Pilihan Raya Presiden 2028.
Protes yang merebak ke sekurang-kurangnya 55 daripada 81 wilayah di Turkey ini disifatkan yang terbesar sejak demonstrasi Gezi pada 2013.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila pihak keselamatan melepaskan gas pemedih mata, peluru getah, meriam air dan semburan lada ke arah penunjuk perasaan, terutama di hadapan dewan bandaraya Istanbul yang menjadi titik tumpuan utama.
Encik Imamoglu ditahan secara rasmi pada 16 Mac lalu selepas siasatan ke atas lebih 100 individu termasuk ahli politik, wartawan dan ahli perniagaan. Beliau didakwa atas pelbagai tuduhan berat termasuk menubuhkan dan mengetuai organisasi jenayah, menerima rasuah, pemerasan, manipulasi data peribadi secara haram serta penipuan tender.
Beliau kini ditahan di Penjara Silivri dan telah digantung daripada jawatannya sebagai Datuk Bandar oleh Kementerian Dalam Negeri Turki. Penahanan ini berlaku hanya sehari sebelum proses pemilihan calon presiden oleh Parti Rakyat Republikan (CHP), dengan Imamoglu sebagai satu-satunya calon yang bertanding.
“Saya tidak akan tunduk. Tuduhan ini bersifat politik dan merupakan titik hitam kepada demokrasi negara,” tulis Encik Imamoglu dalam catatan di platform X sebelum beliau ditahan.
Isteri beliau, Cik Dilek Kaya Imamoglu, turut berucap kepada ribuan penyokong yang berkumpul di luar dewan bandaraya, menyatakan bahawa “ketidakadilan terhadap suami saya telah menyentuh hati nurani seluruh rakyat.”
Meskipun penahanan itu tidak serta-merta membatalkan kelayakan Encik Imamoglu untuk bertanding, sebarang sabitan terhadap tuduhan yang dihadapinya akan secara automatik menggugurkan peluang beliau untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden 2028.
Perlembagaan Turkey juga mensyaratkan bahawa hanya individu yang memiliki pendidikan tinggi layak menjadi presiden. Namun, Universiti Istanbul mengumumkan pembatalan ijazah Encik Imamoglu pada 11 Mac lalu atas dakwaan ketidakpatuhan akademik – satu lagi halangan kepada pencalonannya.
Peguam Encik Imamoglu berkata mereka akan membawa isu pembatalan ijazah itu ke Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.
Presiden Erdogan dalam kenyataan balasnya menuduh CHP cuba menggugat keamanan negara dan mencetuskan polarisasi dalam kalangan rakyat.
“Protes ini bukan untuk keadilan, tetapi cubaan untuk mencetuskan kekacauan,” ujar Encik Erdogan, sambil menegaskan sistem kehakiman negara kekal bebas.
Namun kenyataan itu dibidas oleh masyarakat sivil dan kumpulan hak asasi yang menuduh pemerintah campur tangan dalam sistem kehakiman demi menyekat pencabar politik utama.
Dalam perkembangan berkaitan, platform X mendedahkan bahawa mereka menerima arahan mahkamah daripada pihak berkuasa Turkey untuk menyekat lebih 700 akaun termasuk milik tokoh politik dan wartawan.
“Arahan ini bukan sahaja tidak sah, malah menyekat hak berjuta-juta rakyat Turkey daripada akses kepada berita dan wacana politik,” kata kenyataan rasmi X.
Walaupun diganggu tindakan keras pihak berkuasa, proses pemilihan calon presiden oleh CHP tetap diteruskan pada 23 Mac dengan penyertaan hampir 15 juta pengundi. Kira-kira 1.6 juta daripadanya merupakan ahli parti manakala selebihnya adalah rakyat biasa yang hadir menunjukkan solidariti terhadap Encik Imamoglu.
“Kami tidak akan tunduk kepada rasa putus asa,” kata Encik Aslihan, 38 tahun, salah seorang pengundi, kepada AFP.
“Rakyat Turkey sudah cukup menderita. Saatnya untuk perubahan telah tiba,” kata Encik Imamoglu dalam pesanan yang disampaikan melalui peguamnya lewat malam 23 Mac. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg