Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ribuan turun ke jalanan bantah penahanan Mayor Istanbul

Mar 20, 2025 | 2:19 PM
Gambar edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh Pejabat Media Parti Rakyat Republikan (CHP) pada 19 Mac 2025 ini menunjukkan pandangan udara orang ramai yang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Perbandaran Metropolitan Istanbul semasa satu demonstrasi berlangsung. Polis Turkey telah menyerbu kediaman Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, pada hari yang sama dan menahannya berhubung siasatan kes rasuah, satu tindakan yang dikecam oleh parti pembangkang utama CHP sebagai satu bentuk “rampasan kuasa”.
Gambar edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh Pejabat Media Parti Rakyat Republikan (CHP) pada 19 Mac 2025 ini menunjukkan pandangan udara orang ramai yang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Perbandaran Metropolitan Istanbul semasa satu demonstrasi berlangsung. Polis Turkey telah menyerbu kediaman Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, pada hari yang sama dan menahannya berhubung siasatan kes rasuah, satu tindakan yang dikecam oleh parti pembangkang utama CHP sebagai satu bentuk “rampasan kuasa”. - Foto AFP

ISTANBUL: Ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan utama di Istanbul pada 20 Mac bagi membantah penahanan Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu, tokoh pembangkang yang dilihat sebagai pencabar utama kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Meskipun pihak berkuasa mengenakan larangan demonstrasi selama empat hari, menutup beberapa laluan utama, dan mengehadkan akses ke media sosial, ribuan rakyat tetap berhimpun di hadapan ibu pejabat polis Istanbul, Bangunan Dewan Bandaraya, serta ibu pejabat Parti Rakyat Republikan (CHP), parti yang diterajui oleh Encik Imamoglu.

“Ini bukan demokrasi. Ini hanya bayangan demokrasi. Rakyat tidak layak dilayan sebegini,” kata seorang penunjuk perasaan yang enggan dikenali. “Penahanan ini tidak sah dan tidak berasas. Kami amat kecewa,” kata seorang lagi penunjuk perasaan.

Pihak polis antirusuhan dilihat menutup semua jalan menuju ke Jabatan Keselamatan Vatan, lokasi di mana Encik Imamoglu ditahan selepas penangkapannya.
Seramai 100 orang, termasuk Encik Imamoglu dan beberapa tokoh politik pembangkang yang lain, telah ditahan.

Mereka disyaki terlibat dalam kes rasuah, pemerasan dan penipuan, serta dikaitkan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), kumpulan yang diharamkan dan diklasifikasikan sebagai organisasi pengganas oleh Ankara, Washington dan sekutu Turkey lain.

Penahanan Encik Imamoglu berlaku dalam konteks tindakan keras yang lebih meluas terhadap pemimpin pembangkang, yang menurut banyak pihak sebagai bermotifkan politik.

Beberapa hari sebelumnya, Universiti Istanbul membatalkan ijazah sarjana muda Encik Imamoglu, yang merupakan syarat wajib untuk melayakkan seseorang bertanding dalam pilihan raya menurut undang-undang Turkey.

Ketua CHP, Encik Ozgur Ozel, dalam sidang media pada 19 Mac turut menyelar tindakan itu sebagai cubaan menggugat demokrasi.

“Mereka boleh lakukan apa sahaja keburukan. Kami bersedia. Ini bukan soal perjuangan politik, tetapi soal kewujudan atau kehancuran negara,” tegas Encik Ozel.

Beliau mendakwa bahawa Presiden Erdogan menyasarkan Encik Imamoglu kerana bimbang akan kalah dalam pilihan raya akan datang, memandangkan kekalahan besar yang dialami gabungan pemerintah dalam pilihan raya tempatan tahun 2024.

Bagaimanapun, Menteri Kehakiman Encik Yilmaz Tunc, mempertahankan tindakan pihak berkuasa dan menegaskan bahawa sistem kehakiman negara berfungsi secara bebas. “Menuduh siasatan yang dijalankan oleh badan kehakiman yang bebas dan berkecuali sebagai satu cubaan rampasan kuasa adalah tuduhan yang amat berbahaya dan tidak berasas,” katanya.

“Badan kehakiman tidak menerima arahan daripada sesiapa. Mengaitkan siasatan mahkamah dengan presiden adalah tidak wajar dan mencabuli prinsip pemisahan kuasa.”

Sementara itu, Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, turut menyuarakan kebimbangan serius berhubung penahanan Encik Imamoglu, sambil mengingatkan Turkey tentang tanggungjawabnya sebagai negara calon Kesatuan Eropah.

“Turkey mesti menegakkan nilai-nilai demokrasi, terutamanya hak wakil yang dipilih rakyat. Kami mahu Turkey terus berpaut kepada Eropah, tetapi ini hanya akan berlaku jika ada komitmen jelas terhadap norma dan amalan demokrasi,” katanya di Brussels. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg